Mantan Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon, telah menyertai semula Hospital Besar Singapura (SGH), tempat beliau pernah berkhidmat sebagai doktor.

Dr Koh memberitahu The Straits Times pada 30 September bahawa beliau kini merupakan pakar bedah perunding pelawat di SGH, dan akan meneruskan kerja-kerja klinikal secara sambilan.

Dalam satu hantaran media sosial, Dr Koh, 54 tahun, berkata dengan kepulangannya ke amalan klinikal di SGH, beliau berharap dapat “terus menghubungkan orang ramai, idea dan keupayaan merentasi sektor penjagaan kesihatan awam dan swasta”.

Menurutnya, SGH telah membawa masuk sistem robotik pembedahan Toumai yang pertama di Singapura untuk penilaian klinikal.

Berdasarkan maklumat di laman web pengeluar, sistem itu adalah robot pembedahan berbilang lengan yang boleh melakukan pembedahan laparoskopik invasif minimum.

Ia boleh digunakan untuk prosedur merangkumi urologi, pembedahan am, ginekologi, dan pembedahan toraks.

Dr Koh juga akan membantu hospital tersebut untuk memacu projek-projek menarik seperti sistem robotik itu, “untuk mengembangkan keupayaan dan membangunkan perkongsian awam-swasta bagi mengukuhkan ekosistem penjagaan kesihatan kita”.

Beliau yang dilatih sebagai pakar bedah kolorektal, meletak jawatan pada 1 Jun atas sebab-sebab keluarga.

Menurutnya ketika itu, beliau ingin meluangkan masa bersama keluarganya dan akan kembali ke sektor penjagaan kesihatan sebagai pakar bedah.

Dr Koh mempunyai dua orang anak perempuan bersama isterinya, yang juga seorang doktor. Beliau terus berkhidmat sebagai Anggota Parlimen GRC Tampines.

Sebelum menceburi politik, Dr Koh merupakan pengarah dan pengasas perkhidmatan kesihatan genomik barah kolorektal di SGH dari 2009 hingga 2013.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai pengarah makmal penyelidikan genetik molekul barah kolorektal di SGH dari 2008 hingga 2013, dan merupakan perunding pakar bedah usus di hospital tersebut.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti