Topik diikuti
Pergi ke BHkuPoh Koon hargai sokongan, bimbingan SM Lee
Poh Koon hargai sokongan, bimbingan SM Lee
Poh Koon hargai sokongan, bimbingan SM Lee
Mantan Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon, mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kanan Encik Lee Hsien Loong kerana mengiktiraf keadaannya untuk berundur daripada jawatan politik dan menumpukan lebih banyak masa terhadap keluarga.
Dalam satu catatan Facebook pada 5 Jun, Dr Koh berkata beliau bertemu Encik Lee semasa makan tengah hari dan mengucapkan terima kasih atas sokongan, dorongan dan pemahamannya, sedang beliau kembali bekerja dalam sektor kesihatan sebagai pakar bedah.
“Kebaikan, nasihat, dan persahabatan anda (Encik Lee) sangat bermakna bagi saya, dan saya akan sentiasa menghargainya,” ujarnya.
Dr Koh sebelum ini telah berkata beliau meletak jawatan daripada pejabat politik atas sebab-sebab keluarga, berkuat kuasa 1 Jun.
Peletakan jawatannya itu diumumkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 22 Mei, dengan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah menerima peletakan jawatan Dr Koh.
Menerusi hantaran Facebook pada 22 Mei, Dr Koh – yang mempunyai dua anak perempuan dan isteri, juga seorang doktor – meluahkan bahawa sejak menceburi politik pada 2015, beliau kurang meluangkan masa sebagai suami, bapa, dan anak.
Baginya, keperluan keluarga kini menuntut perhatian yang sukar disepadukan dengan tuntutan jawatan politik.
Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata GRC Tampines menghormati keputusan Dr Koh untuk meletak jawatan sebagai pemegang jawatan politik agar dapat meluangkan masa bersama keluarganya.
Dalam satu catatan Facebook pada 22 Mei, Encik Masagos berkata bahawa beliau sudah mengenali Dr Koh – kedua-duanya Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines – sebagai seorang yang bertanggungjawab.
Dr Koh akan terus berkhidmat sebagai AP kawasan undi Tampines Central di GRC Tampines.
Sejarah politik beliau bermula pada 2013 dengan kekalahan kepada Cik Lee Li Lian daripada Parti Pekerja (WP) dalam pilihan raya kecil SMC Punggol East.
Beliau kemudian membentuk sebahagian daripada pasukan GRC Ang Mo Kio dalam Pilihan Raya Umum 2015 (GE2015) dan mula memegang jawatan politik tidak lama selepas itu pada 2016.
Dr Koh ditempatkan di GRC Tampines dalam GE2020 bagi menggantikan mantan Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, yang bertanding di GRC East Coast, dan mengekalkan kerusinya bagi GRC Tampines sekali lagi pada 2025.
