Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kurang ulang-alik ke hospital di bawah model jagaan baru

Sep 20, 2025 | 5:28 PM
Hospital Alexandra, Dr Neeta Kesu Belani, Osman Abdollah, Hadijah Osman
Klinisian Hospital Kanan di Hospital Alexandra, Dr Neeta Kesu Belani (kiri), menggalas peranan Doktor Utama kepada pesakitnya, Encik Osman Abdollah (tengah). Mereka ditemani anak Encik Osman, Cik Hadijah Osman. - Foto ST

Sudah menjadi lumrah tahunan untuk Cik Hadijah Osman menghabiskan Cuti Penjagaan Warga Senja (ECL) dan sebahagian daripada Cuti Tahunan (AL) sejak beberapa tahun kebelakangan ini untuk menghantar ayahnya, Cik Osman Abdollah, 91 tahun, bertemu doktor.

Apa yang mengecewakannya adalah janji temu bersama doktor sering kali perlu dibuat di hospital berbeza dan bersama doktor pakar berbeza, sekali gus merumitkan beliau menyusun jadual kerjanya.

Bahkan beliau dan ayahnya, yang mempunyai masalah jantung dan buah pinggang, pernah terpaksa bertemu doktor di tiga hospital berbeza yang terletak berjauhan antara satu sama lain pada hari-hari yang berlainan.

Bercakap dengan Berita Minggu (BM) ketika ditemui di Hospital Alexandra untuk menghantar ayahnya menjalani pemeriksaan darah baru-baru ini, Cik Hadijah, 59 tahun, seorang penjawat awam berkata:

“Ayah sudah lebih 10 kali dimasukkan ke hospital. Kali pertama adalah 1997 kerana serangan jantung. Sejak itu, kami telah ke sekurang-kurangnya tiga hospital berbeza bagi mendapatkan rawatan dan janji temu susulan.

“Kesian juga ayah perlu ke sana-sini, lagi-lagi kerana ayah tak boleh jalan jauh.”

Namun sejak awal 2025, Cik Hadijah boleh menarik nafas lega.

Encik Osman kini menerima jagaan kesihatan di bawah model penjagaan baru dan janji temu beliau di hospital awam lebih tersusun dan telah berkurangan.

Ini bermakna, Cik Hadijah tidak perlu mengambil cuti kerja sekerap tahun-tahun lalu – beliau hanya menggunakan ECL sekali sehingga masa ini.

Ini berbanding purata empat hingga lima hari cuti dalam tempoh sama yang perlu diambilnya sebelum ini.

Encik Osman kini dijaga oleh Dr Neeta Kesu Belani, Klinisian Hospital Kanan di Hospital Alexandra – salah satu daripada tiga hospital awal yang melaksanakan model penjagaan baru.

Dr Neeta, yang berperanan sebagai Doktor Utama, membangunkan pelan penjagaan menyeluruh untuk Encik Osman dengan mendapatkan kepakaran daripada doktor pakar atau profesional penjagaan kesihatan yang berkaitan, jika perlu.

MOH mengumumkan pada 20 September bahawa di bawah model penjagaan baru ini, pesakit seperti Encik Osman, yang mendapatkan rawatan di hospital awam, hanya perlu berurusan dengan seorang doktor sahaja untuk mendapat rawatan menyeluruh.

Menurut Encik Osman, beliau berpuas hati kerana tidak lagi perlu ulang-alik ke hospital secara kerap untuk mendapat jagaan susulan.

Bahkan, menurut beliau, sebahagian janji temu itu dilakukan menerusi panggilan video.

“Bagus juga, sudah tak perlu jalan banyak sangat atau pergi jauh-jauh,” ujarnya, yang kini menetap bersama anak lelakinya yang ketiga di kawasan Jurong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg