Kementerian Kesihatan (MOH) sedang menyemak gaji doktor perubatan di bawah skim Klinisian Hospital (HC) agar ia setimpal dengan tuntutan model penjagaan pesakit baru di hospital awam.
Di bawah model tersebut, peranan Klinisian Hospital boleh diperluas untuk menjaga pesakit secara menyeluruh dan doktor tersebut boleh dilantik sebagai Doktor Utama.
Semakan ini sebahagian usaha MOH untuk meningkatkan pembangunan dan perkembangan kerjaya HC, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, pada 20 September.
Selain semakan gaji, MOH juga memperkenalkan tangga kerjaya baru dalam skim HC iaitu peringkat Gred Apex, yang dikenali sebagai Ketua Kanan Klinisian Hospital, ujarnya.
Ini bermakna, peringkat tangga kerjaya bagi HC - yang diperkenalkan sejak 2020 - kini ditambah daripada tiga kepada empat.
Ketika berucap di Upacara Peneguhan Ikrar Doktor Perubatan oleh Majlis Perubatan Singapura (SMC) pada 20 September, Encik Ong berkata:
“Angka gaji bagi tangga kerjaya HC akan disemak dan ditetapkan supaya setimpal dengan doktor-doktor dalam laluan kerjaya lain yang memainkan peranan serupa.
“Saya menggalakkan doktor-doktor junior yang berminat menceburi amalan perubatan dalam suasana hospital supaya mempertimbangkan untuk menyertai skim HC sebagai pilihan yang menawarkan kerjaya bermakna.”
Encik Ong menyatakan demikian kepada sekitar 500 doktor yang hadir di Konservatori Muzik Yong Siew Toh (YST) di Universiti Nasional Singapura (NUS), untuk melafazkan ikrar komitmen menjaga pesakit serta standard profesional dan etika yang tinggi.
Beliau turut mengumumkan perubahan pada model penjagaan bagi pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital awam.
Di bawah model penjagaan baru, Doktor Utama antara lain menggalas peranan sebagai penyelaras pelan rawatan untuk seseorang pesakit.
Menurut MOH, Doktor Utama akan membangunkan pelan penjagaan menyeluruh untuk pesakit dengan mendapatkan kepakaran daripada doktor pakar atau profesional penjagaan kesihatan yang berkaitan, di bawah model penjagaan baru ini.
Sehubungan itu, Encik Ong berkata dengan perubahan yang dilaksanakan, doktor perubatan dalam sektor penjagaan kesihatan awam kini dapat menceburi tiga teras utama meliputi doktor keluarga, HC dan doktor pakar.
“Setiap satu daripada teras ini mempunyai kekuatan dan keupayaan yang saling melengkapi antara satu sama lain.
“Secara keseluruhan, ia menawarkan hala tuju kerjaya yang serupa dari segi perkembangan penting dan peluang kepimpinan, dan paling penting, yang bermakna,” ujar beliau.
Menurut MOH, sekitar 150 doktor berada di bawah skim HC sejak ia diperkenalkan pada 2020.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg