Sepanjang lebih empat dekad sebagai jururawat psikiatri, Encik Abu Shah Surati, menyaksikan banyak perubahan – daripada wad setingkat kepada bangunan bertingkat, perubahan profil pesakit hinggalah peralihan penjagaan daripada hospital kepada masyarakat.

Namun, satu perkara yang tidak pernah berubah bagi jururawat berusia 67 tahun itu ialah prinsip bahawa pesakit dengan masalah kesihatan mental perlu dilayan dengan empati, hormat dan tanpa prasangka.

Prinsip sama yang cuba diterapkannya kepada lebih 2,000 pelajar kejururawatan yang dibimbingnya sepanjang 20 tahun sebagai Pengajar Klinikal di Institut Kesihatan Mental (IMH).

Bagi Encik Abu Shah, yang telah berkhidmat sebagai jururawat IMH selama lebih 40 tahun, pesakit bukan sekadar individu yang memerlukan rawatan, malah manusia yang mempunyai perasaan, pengalaman dan cabaran hidup seperti orang lain.

“Selepas membimbing begitu ramai pelajar, saya sedar apa yang mereka pelajari bergantung kepada keterbukaan dan kesediaan mereka untuk belajar.

“Apa yang saya harap mereka bawa bersama ialah kesungguhan untuk melihat setiap pesakit yang ditemui seolah-olah mereka sedang menjaga diri sendiri – seseorang yang berhak dihormati, diterima dan dijaga dengan belas ihsan yang tulus,” katanya.

Beliau percaya apabila prinsip itu benar-benar difahami seseorang jururawat, ia akan terpancar dalam cara mereka menjaga pesakit.

Malah, pengalaman bersama pesakit turut membentuk peribadi dan nilai seseorang jururawat sepanjang kerjayanya.

Encik Abu Shah berkata empati amat penting dalam kejururawatan psikiatri kerana di sebalik penyakit yang dialami, pengalaman pesakit sebenarnya tidak terlalu berbeza daripada kehidupan orang lain.

“Kisah mereka tidak begitu berbeza daripada kita – cabaran yang dihadapi, konflik dengan anggota keluarga atau rakan, serta ketika kita sendiri tidak menangani sesuatu dengan baik bersama orang yang kita sayangi.

“Kita semua pernah melaluinya,” katanya.

Perbezaannya, penyakit mental boleh menjejas cara seseorang melihat keadaan di sekeliling, berasa dan bertindak.

Sebagai contoh, halusinasi dan kepercayaan yang tidak berasaskan realiti boleh mengubah persepsi seseorang sehingga menyukarkan mereka berhubung dengan orang lain.

“Empati bermula apabila kita menyedari bahawa kita sebenarnya tidak begitu berbeza,” katanya.

Pendekatan itu turut diterapkan dalam cara Encik Abu Shah mengajar.

Daripada bergantung sepenuhnya kepada penerangan buku teks, beliau menggunakan contoh kehidupan harian untuk membantu pelajar memahami pengalaman pesakit.

Bagi menerangkan bagaimana seseorang mengalami halusinasi pendengaran, misalnya, beliau meminta pelajar membayangkan seorang ibu atau bapa terus-menerus bercakap atau berleter kepada mereka tanpa henti tetapi mereka langsung tidak mempunyai cara untuk menjauhkan diri daripada suara tersebut.

Analogi mudah itu bertujuan membantu pelajar memahami mengapa pesakit mungkin mengalami tekanan atau bertindak dengan cara tertentu.

Menurut Encik Abu Shah, ramai pelajar tiba di IMH untuk menjalani latihan dengan perasaan takut atau mempunyai tanggapan tertentu mengenai pesakit mental.

Ada yang mendengar pelbagai cerita, melihat video individu yang sedang mengalami tekanan di media sosial atau mengikuti laporan mengenai kejadian serius membabitkan pesakit yang dibawa ke IMH.

Tugas Pengajar Klinikal ialah membantu mereka membezakan antara persepsi dengan keadaan sebenar.

“Kami mendidik mereka dan memperbetulkan salah tanggapan.

“Kami mengajar mereka bagaimana menilai keadaan mental pesakit, langkah berjaga-jaga yang perlu diambil dan bagaimana membezakan pesakit yang mungkin mendatangkan risiko daripada pesakit yang sebenarnya sedang menderita,” katanya.

“Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan,” tambahnya.

Menurut beliau, menjelang akhir latihan klinikal, kebimbangan dalam kalangan pelajar biasanya berkurangan dengan ketara.

Mereka mula memahami bahawa apabila seseorang pesakit bertindak agresif, perbuatan itu mungkin berpunca daripada keadaan kesihatannya dan bukan semata-mata kerana mahu mencederakan orang lain.

Perubahan persepsi itu merupakan antara perkara paling penting yang beliau mahu pelajarnya bawa bersama selepas meninggalkan IMH.

Encik Abu Shah turut mengambil berat keadaan emosi pelajar, bukan sekadar prestasi klinikal mereka.

Apabila seseorang melakukan kesilapan, beliau tidak hanya menumpukan kepada apa yang dilakukan dengan salah.

Sebaliknya, beliau akan bertanya: “Apa yang anda fikir kesannya?” dan memberi peluang kepada pelajar menilai sendiri tindakan mereka serta belajar daripada pengalaman tersebut.

Pendekatan itu mewujudkan persekitaran yang membolehkan pelajar berasa selamat untuk bertanya, melakukan kesilapan dan memperbaiki diri.

Sumbangannya dalam pendidikan kejururawatan kini mendapat pengiktirafan menerusi Anugerah IMH Guru Cemerlang (Star Teachers) yang diperkenalkan sempena Hari Jururawat IMH 2026.

Anugerah baharu itu mengiktiraf Pengajar Klinikal yang bukan sahaja mengajar kemahiran teknikal, malah menjadi contoh kepada pelajar serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang bersifat terangkum dan menyokong.

Bagi Encik Abu Shah, antara kepuasan terbesar ialah melihat seorang bekas pelajarnya yang kemudian menyertai IMH sebagai jururawat kini turut menerima anugerah sama.

“Ia amat memuaskan. Apabila melihat seseorang yang pernah kita bimbing kemudian menerima pengiktirafan yang sama, ia menunjukkan bahawa apa yang kita curahkan kepadanya membawa makna.

“Beliau membawanya ke hadapan dan membentuknya mengikut caranya sendiri. Bagi saya, itulah ganjaran terbesar,” ujarnya.

Sepanjang kerjayanya, Encik Abu Shah turut menyaksikan perubahan besar dalam kejururawatan psikiatri Singapura.

Ketika mula bertugas, kebanyakan pesakit yang dijaganya terdiri daripada individu dalam lingkungan usia produktif.

Kini, jururawat merawat pesakit daripada pelbagai peringkat usia, daripada golongan sangat muda hingga warga emas, dengan setiap kumpulan mempunyai keperluan dan cabaran berbeza.

Penjagaan kesihatan mental juga beralih daripada pendekatan yang lebih tertumpu kepada institusi kepada penjagaan berasaskan masyarakat.

Encik Abu Shah, menyifatkan pengalamannya lebih 40 tahun dalam kerjayanya itu terasa seperti “tayangan slaid selama 40 minit” yang dipenuhi kesedihan dan kegembiraan.

“Perubahan memang menyakitkan, tetapi tanpa perubahan tiada kemajuan. Kita perlu terus bergerak ke hadapan.

“Jika kita menghabiskan seluruh masa memandang ke belakang, kita akan tersandung dengan apa yang berada di hadapan,” katanya.

Warisan yang mahu ditinggalkannya pula sederhana tetapi penting – supaya generasi jururawat selepasnya terus melihat nilai setiap pesakit dan menjaga mereka dengan empati serta kebaikan.

“Dalam saat paling mencabar sekalipun, kami cuba memahami apa yang mereka lalui dan memenuhi keperluan mereka dengan belas ihsan tanpa menghakimi.

“Kami melihat mereka sebagai manusia yang mempunyai nilai dan menjaga mereka sedemikian. Itulah warisan yang saya harap dapat ditinggalkan,” tambahnya.