Kematian akibat bunuh diri dalam kalangan orang dewasa berusia 30-an tahun meningkat 50 peratus daripada 66 kes pada 2023, kepada 99 kes pada 2024.

Umur median mereka yang meninggal dunia akibat bunuh diri pada 2025 ialah 48.5 tahun, yang tertinggi sejak 2017, menurut angka terkini yang dikeluarkan pada 27 Julai.

Umur median ialah umur pertengahan apabila semua kes disusun mengikut umur.

Bagi wanita, umur median meningkat daripada 39.9 tahun pada 2024, kepada 48.9 tahun pada 2025.

Sebanyak 441 kematian akibat bunuh diri dilaporkan di Singapura pada 2024, menurut angka muktamad yang disediakan Laporan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) 2025.

Bilangan tersebut 1.6 peratus lebih tinggi daripada 434 kes pada 2023.

Bagi 2025, ICA merekodkan secara sementara 256 kematian akibat bunuh diri.

Angka ini angka awal dan bukan muktamad.

Samaritans of Singapore (SOS) berkata angka sebenar mungkin berbeza dengan ketara berdasarkan pengalaman semakan data 2024.

Laporan ICA 2024 pada mulanya merekodkan 322 kematian akibat bunuh diri bagi 2023, namun angka itu disemak kepada 434 dalam laporan 2025, meningkat 34.8 peratus selepas mengambil kira kes kematian yang masih menunggu keputusan siasatan koroner.

ICA berkata peningkatan itu masih berada dalam julat turun naik angka yang dijangkakan.

Walaupun kematian akibat bunuh diri menurun dalam kumpulan umur lain, kes dalam kalangan orang dewasa berusia 30 hingga 39 tahun meningkat.

Bunuh diri kekal punca kematian kedua tertinggi bagi kumpulan ini, dan punca utama dalam kalangan belia berusia 10 hingga 29 tahun.

Lelaki terus mencatatkan jumlah kematian lebih tinggi, dengan 290 daripada 441 kematian pada 2024.

Dalam kalangan mereka yang berusia 60 tahun ke atas, jumlah kematian lelaki tiga kali ganda berbanding wanita.

SOS berkata umur dan jantina mempengaruhi kematian serta cubaan bunuh diri. Berdasarkan panggilan ke talian bantuan krisis 24 jam, golongan berusia 30 hingga 39 tahun sering berdepan tekanan berkaitan keluarga, pekerjaan dan pengasingan sosial, manakala belia berusia 10 hingga 29 tahun bergelut dengan isu keluarga, pendidikan dan hubungan sesama manusia.

Menurut SOS, lelaki lebih cenderung mengalami pengasingan sosial, kurang mendapatkan bantuan ketika menghadapi tekanan emosi dan lebih berkemungkinan membunuh diri.

Sebaliknya, wanita merangkumi kira-kira satu pertiga daripada kematian akibat bunuh diri, tetapi menyumbang 62.5 peratus daripada panggilan dan perbualan dalam talian berkaitan bunuh diri yang diterima SOS pada 2024.

Menurut SOS, hal ini mencerminkan kecenderungan wanita mendapatkan bantuan, lazimnya sebagai tindak balas terhadap tekanan berkaitan peranan sosial seperti tanggungjawab penjagaan dan keganasan berasaskan jantina.

Punca kematian akibat faktor luaran, termasuk bunuh diri, kemalangan dan sebab luaran lain, merangkumi 2 peratus daripada 26,499 kematian yang didaftarkan di Singapura pada 2025.

Kadar kematian akibat bunuh diri ialah 8.23 bagi setiap 100,000 penduduk.

SOS berkata pihaknya berjaya meredakan krisis dan menghalang seorang daripada risiko bunuh diri yang hampir berlaku setiap 13 jam.

Sepanjang tahun lalu, badan itu mengendalikan lebih 55,000 panggilan dan perbualan dalam talian, selain memberi kaunseling serta sokongan kepada lebih 1,200 individu.

Pengarah Perubatan Connections MindHealth, Encik Jared Ng, berkata perkara itu bukan sekadar angka. Setiap angka mewakili individu dan keluarga yang menanggung kehilangan.

Beliau berkata pencegahan bermula apabila seseorang menyedari perubahan pada rakannya dan terus bertanya walaupun jawapannya, “Saya baik-baik sahaja.”

Talian Bantuan

Kesejahteraan Mental

- National Mindline: 1771 (24 jam) / 6669-1771 (melalui WhatsApp)

- Samaritans of Singapore: 1-767 (24 jam) / 9151-1767 (CareText 24 jam melalui WhatsApp)

- Singapore Association for Mental Health: 1800-283-7019

- Silver Ribbon Singapore: 6386-1928

- CHAT, Centre of Excellence for Youth Mental Health: 6493-6500/1

- Talian Bantuan Wanita (Aware): 1800-777-5555 (hari bekerja, 10.00 pagi - 6.00 petang)

- Talian Bantuan Warga Emas: 1800-555-5555 (hari bekerja, 9.00 pagi - 5.00 petang)

- Tinkle Friend (untuk kanak-kanak sekolah rendah): 1800-2744-788

- Mindfull Community HQ (untuk penjaga, keluarga dan individu dalam proses pemulihan): 6460-4400 (hari bekerja, 9.00 pagi hingga 5.00 petang)

Kaunseling

- Touchline (Kaunseling): 1800-377-2252
- Touch Care Line (untuk penjaga): 6804-6555
- Counselling and Care Centre: 6536-6366
- We Care Community Services: 3165-8017
- Shan You Counselling Centre: 6741-9293
- Clarity Singapore: 6757-7990
- Care Corner Counselling Centre: 6353-1180

Sumber Dalam Talian

- mindline.sg/fsmh
- eC2.sg
- chat.mentalhealth.sg
- carey.carecorner.org.sg (untuk individu berumur 13 hingga 25 tahun)
- limitless.sg/talk (untuk individu berumur 12 hingga 25 tahun)