Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih ramai pesakit peroleh rawatan di rumah susulan peluasan program MOH

Oct 3, 2025 | 6:39 PM
MIC@Home, MOH
Di bawah program ‘The Mobile Inpatient Care @ Home’ (MIC@Home), pesakit dijaga pasukan doktor hospital, jururawat dan karyawan kesihatan dalam keselesaan di rumah mereka sendiri. - Foto fail

Lebih ramai pesakit kini menerima penjagaan peringkat hospital di rumah sendiri ekoran langkah meluaskan program, ‘The Mobile Inpatient Care @ Home’ (MIC@Home), secara berperingkat kepada pesakit yang sebelum ini tidak dimasukkan ke hospital.

Pesakit itu termasuk mereka yang dirujuk ke program tersebut melalui pengamal perubatan umum (GP) swasta, poliklinik, pasukan penjagaan masyarakat dan rumah penjagaan, lapor The Straits Times (ST).

Kementerian Kesihatan (MOH) melancarkan MIC@Home secara rasmi pada 2022 bagi pesakit yang pulih selepas tinggal di hospital, untuk mengurangkan permintaan bagi katil di hospital.

Pada 3 Oktober, Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) mengumumkan bahawa versi programnya, yang dipanggil NUHS@Home, telah memberikan rawatan di rumah kepada hampir 7,000 pesakit setakat ini, sekali gus menjimatkan lebih 42,000 katil hari hospital.

NUHS, kelompok penjagaan kesihatan awam yang menjaga penduduk di bahagian barat, merintis NUHS@Home pada September 2020.

Sempena sambutan ulang tahun kelima NUHS@Home, kelompok berkenaan berkata ia telah meluaskan program itu secara berperingkat sejak 2024.

Sehingga 31 Ogos, ia telah menjaga sekitar 200 pesakit yang dirujuk melalui pusat perhubungan masyarakat – 56 daripada rumah jagaan NTUC Health; 64 daripada pasukan penjagaan masyarakat NUHS; dan selebihnya daripada poliklinik dan GP.

Pesakit itu antara lain mengalami masalah seperti radang paru-paru, jangkitan saluran kencing dan selulitis, yang lazimnya menjejas warga emas dengan pergerakan terhad.

Tanpa program itu, mereka terpaksa dimasukkan ke hospital akut, sekali gus menambah permintaan terhadap katil hospital.

Selain NUHS, dua lagi kelompok penjagaan kesihatan awam di Singapura juga telah melaksanakan program penjagaan di rumah.

SingHealth, yang menjaga penduduk di timur, menyediakan penjagaan di rumah kepada pesakit yang tidak dimasukkan ke hospital, dan sedang berusaha meluaskan perkhidmatan kepada lebih ramai pesakit.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan SingHealth, Profesor Lee Chien Earn, memberitahu ST kelompok itu telah menerima rujukan bagi penjagaan di rumah daripada kumpulan polikliniknya bagi kes bayi baru lahir yang menghidap penyakit kuning sejak Januari 2024.

Hospital Besar Sengkang (SKH), yang merupakan sebahagian daripada kelompok SingHealth, juga telah memperkenal perkhidmatan SKH@Home dengan penduduk Rumah Jagaan Grace Lodge sejak Oktober 2023.

Di bawah MIC@Home, pesakit dijaga pasukan doktor hospital, jururawat dan karyawan kesihatan bersekutu dalam keselesaan rumah mereka sendiri melalui gabungan teleperundingan dan lawatan ke rumah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg