Lebih ramai jururawat akan dilatih untuk memainkan peranan utama dalam penjagaan kesihatan di peringkat masyarakat.
Ia termasuk memegang jawatan kepimpinan di rumah jagaan dan menyediakan perkhidmatan penjagaan akhir hayat dalam masyarakat, sebagai langkah menangani isu penduduk kian menua.
Demikian dinyatakan oleh Menteri Kesihatan merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Encik Ong Ye Kung.
“Jika penjagaan di peringkat masyarakat (dapat dijalankan secara) berkesan… saya percaya kita akan dapat mengesan masalah kesihatan seawal mungkin.
“Dan jika ia dapat dikesan awal, keadaan akan menjadi kurang serius, dan rawatan juga boleh dilakukan dengan lebih mudah,” katanya.
Encik Ong berkata demikian semasa menyampaikan Anugerah Merit Jururawat 2025 yang berlangsung di Hotel Shangri-La di Orange Grove Road, pada 7 Julai, lapor The Straits Times (ST).
Seramai 141 jururawat menerima anugerah tersebut atas pencapaian cemerlang serta sumbangan mereka dalam mengangkat martabat kerjaya kejururawatan.
Tiga peranan kejururawatan akan dipertingkat bagi memperkukuh penjagaan kesihatan di peringkat masyarakat, termasuk menempatkan jururawat di Pos Kesihatan Masyarakat (CHP).
Buat masa ini, sekitar 90 peratus Pusat Penuaan Aktif (AAC) sudah mempunyai CHP, dan jururawat akan bertugas di pusat-pusat tersebut seminggu sekali.
Menurut Encik Ong, jangkauan luas AAC wajar dimanfaatkan bagi menyediakan penjagaan pencegahan atau penjagaan berterusan kepada warga emas, melalui CHP.
Langkah itu akan melengkapi rawatan akut di hospital dan mengukuhkan strategi penjagaan pencegahan negara, SG Lebih Sihat, serta usaha doktor keluarga.
Setiap hari, terdapat enam pesakit ginjal serta 60 pesakit jantung dan angin ahmar baru di Singapura.
Menurut Encik Ong, jika CHP dapat menyokong mereka yang belum sedar tentang masalah kesihatan mereka atau yang enggan mendapatkan rawatan, jumlah itu boleh dikurangkan.
“Jururawat di CHP perlu berperanan sebagai titik pertemuan pertama bagi penduduk yang mempunyai penyakit kronik, keperluan kesihatan pencegahan atau gejala awal,” katanya.
Mereka akan dapat menjalankan penilaian kesihatan, memberi kaunseling kesihatan kepada pesakit, dan memastikan pesakit mematuhi pelan kesihatan yang telah ditetapkan oleh doktor SG Lebih Sihat mereka.
“Pesakit hanya perlu berjumpa doktor SG Lebih Sihat mereka sekali atau dua kali setahun. Antara tempoh itu, mereka boleh bertemu jururawat di CHP,” tambahnya.
Dengan latihan, jururawat CHP juga boleh menjalankan preskripsi sosial, iaitu membantu pesakit meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan mereka dengan menghubungkan pesakit tersebut dengan perkhidmatan masyarakat.
Mereka juga boleh menawarkan rujukan serta mengurus pesakit yang mempunyai masalah kesihatan mental yang stabil, katanya.
Satu sistem diperlukan untuk menyediakan maklumat belakang tabir dan sokongan nasihat yang relevan kepada jururawat masyarakat supaya mereka dapat menjalankan tugas secara berdikari, tambah Encik Ong.
Dalam penjagaan jangka panjang, Kementerian Kesihatan (MOH) telah meningkatkan kemahiran jururawat di rumah jagaan bagi memperbaiki mutu penjagaan pesakit, supaya mereka tidak perlu kerap dipindahkan atau berulang-alik ke hospital akut.
Kini, MOH mahu memperkukuh proses tersebut dengan melatih lebih ramai jururawat klinikal untuk memimpin penjagaan dalam persekitaran penjagaan jangka panjang.
MOH sedang berusaha ke arah membolehkan jururawat klinikal – bermula dengan jururawat amalan lanjutan (APN) – menilai keadaan pesakit, memulakan rawatan atau ubat-ubatan peringkat awal, serta menjalankan semakan berkala enam bulan bagi pesakit kronik mengikut protokol yang ditetapkan di rumah jagaan.
Langkah itu akan membantu mengurangkan jumlah kemasukan hospital dan lawatan ke jabatan kecemasan, sekali gus mengurangkan peralihan pesakit dan meningkatkan mutu penjagaan, jelas Encik Ong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg