Maraton ziarah Raya: Usah lupa jaga makan
Suasana perayaan di Singapura sewaktu Lebaran memang cukup terasa.
Aroma rendang yang mereneh perlahan menyelinap melalui koridor flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), cahaya lampu berwarna-warni di Geylang Serai memeriahkan malam, dan pada masa yang sama muncul dilema klasik di fikiran:
“Bolehkah aku habiskan lagi sepotong kuih tapak kuda ni?”
Sering kali, nasihat tentang menjaga pemakanan ketika Hari Raya kedengaran agak membosankan seperti “kurangkan kuah” atau “perhatikan saiz hidangan”.
Namun hakikatnya, tidak ramai yang mahu memikirkan soal kalori ketika sedang menikmati suasana kunjung-mengunjung.
Daripada melihat juadah Hari Raya semata-mata dari sudut sekatan atau kawalan, mungkin sudah tiba masanya kita mendekatinya dengan perspektif lebih segar.
Ia bukan sekadar makan dalam jumlah yang sedikit, tetapi belajar menghargai setiap rasa, aroma dan tekstur hidangan dengan lebih mendalam.
Dengan menikmati juadah secara perlahan dan penuh kesedaran, seseorang masih boleh merasai kemeriahan pelbagai hidangan tradisional tanpa perlu makan secara berlebihan.
Pendekatan itu bukan sahaja menjadikan pengalaman menjamu selera lebih bermakna, malah membantu tubuh kekal selesa dan bertenaga sepanjang Hari Raya.
Nikmati Setiap Suapan
Sambutan Lebaran bukan sekadar menziarahi satu rumah, tetapi seakan-akan sesi maraton kunjung-mengunjung dari satu rumah ke rumah yang lain.
Jika rumah pertama sudah dianggap seperti bufet “makan sepuas hati”, selera kita sebenarnya sudah habis seawal permulaan perjalanan.
Sebaliknya, bayangkan diri anda seperti seorang pengkritik makanan profesional yang sedang menikmati menu rasa pelbagai hidangan.
Seorang pengkritik tidak sekadar memenuhi pinggan dengan pelbagai makanan. Mereka memilih dengan teliti, memberi perhatian kepada setiap hidangan untuk memahami keunikan dan usaha di sebalik setiap masakan.
Apabila melihat juadah yang terhidang, cuba perhatikan keistimewaannya.
Adakah sayur lodeh itu segar dengan kerangupan sayurannya, atau adakah aroma kunyitnya lebih menyerlah?
Adakah rendang daging dimasak sehingga cukup lembut hingga mudah terlerai apabila disentuh?
Dengan mengambil hidangan dalam bahagian kecil tetapi penuh perhatian, kita bukan sahaja menghargai usaha tuan rumah, malah dapat menikmati setiap suapan dengan lebih bermakna tanpa membebankan sistem pencernaan.
Pendekatan itu membolehkan kita terus menikmati kunjungan dari rumah ke rumah sepanjang Hari Raya dengan lebih selesa dan bertenaga.
Keajaiban ‘3 Suapan’
Kajian sains menunjukkan kenikmatan paling kuat daripada sesuatu makanan biasanya terhasil daripada suapan pertama.
Pada saat itulah deria rasa kita paling peka terhadap gabungan rasa, aroma dan tekstur hidangan tersebut.
Selepas beberapa suapan, deria rasa kita mula mengalami fenomena yang dikenali sebagai sensory-specific satiety.
Dalam keadaan ini, makanan yang sama masih terasa enak, tetapi unsur kejutan atau rasa wau yang dirasai pada suapan pertama mula berkurangan.
Dengan kata lain, semakin banyak kita makan hidangan yang sama, semakin berkurang kepekaan deria kita terhadap keenakan rasanya.
Cuba Amalkan Peraturan 3 Suapan:
Suapan pertama (pengenalan): Nikmati tekstur tart nanas yang lembut dan bermentega, yang terasa seolah-olah mencair perlahan dalam mulut.
Suapan kedua (eksplorasi): Perhatikan lapisan rasa yang lebih halus, seperti sentuhan bunga cengkih dalam inti hidangan atau haruman pandan yang lembut dalam sepotong kuih lapis.
Suapan ketiga (penutup): Rasai kelembutan kek tapak kuda dengan inti Nutella yang kaya dan memuaskan, kemudian berhenti sebelum rasa tersebut menjadi biasa.
Dengan berhenti ketika kepuasan berada di puncak, kita memastikan memori makanan itu kekal indah, bukannya menjadi ingatan kabur akibat rasa terlalu kenyang atau senak perut.
Kuasai Seni Diplomasi
Kita semua pernah melaluinya. Pinggan sudah kosong, namun seorang mak cik yang prihatin tiba-tiba berdiri di depan dengan senduk di tangan, bersedia menambah lagi hidangan.
Keadaan seperti itu cukup lazim ketika kunjungan Hari Raya. Dalam budaya kita, menolak makanan kadangkala terasa seolah-olah menolak tanda kasih sayang.
Di sinilah seni diplomasi halus memainkan peranan.
Caranya bukan sekadar mengatakan “tidak”, tetapi menyampaikan penghargaan dengan kata-kata yang ikhlas.
Dengan menukar tumpuan kepada pujian terhadap masakan yang dihidangkan, kita sebenarnya menghormati usaha tuan rumah sambil menjaga keselesaan diri.
Pendekatan itu juga membantu mengekalkan suasana mesra dan harmoni sepanjang kunjungan.
Sebagai contoh, seseorang boleh berkata dengan nada lembut: “Cik, cukup dulu ya. Saya nak makan perlahan-lahan supaya boleh betul-betul nikmati rasanya. Masakan cik memang sedap, sayang kalau saya makan cepat-cepat.”
Apabila penolakan disampaikan sebagai satu bentuk penghargaan terhadap hidangan, ia bukan sahaja lebih sopan, malah mampu menyentuh hati tuan rumah.
Dalam banyak keadaan, kata-kata yang tulus seperti itu lebih bermakna daripada sekadar menerima tambahan makanan di pinggan.
‘Pencuci’ Deria Rasa
Cuaca panas lembap di Singapura, ditambah pula dengan juadah Raya yang kaya dengan rasa manis dan masin, kadangkala boleh mengelirukan isyarat sebenar tubuh kita.
Ada kalanya ketika tangan mahu mencapai sepotong lagi ketupat atau kuih, sebenarnya tubuh kita hanya memerlukan air.
Strateginya mudah. Apabila beralih dari satu rumah ke rumah yang lain, cuba kurangkan minuman manis seperti air sirap atau minuman bergas.
Sebaliknya, utamakan air kosong sebagai cara untuk “menyegarkan” semula deria rasa.
Air kosong membantu menghidratkan tubuh dalam cuaca Singapura yang panas dan lembap.
Pada masa yang sama, ia memberi ruang kepada tubuh untuk menikmati hidangan secara lebih seimbang walaupun kita dikelilingi pelbagai juadah Raya.
Apabila lidah tidak lagi diliputi sisa rasa manis atau rempah daripada hidangan sebelumnya, kita dapat merasai keaslian setiap masakan dengan lebih jelas.
Haruman serai dan lengkuas dalam serunding, misalnya, akan terasa lebih menyerlah apabila deria rasa kita kembali segar.
Dengan cara ini, setiap hidangan dapat dinikmati dengan lebih bermakna, tanpa perlu makan secara berlebihan
Rai Silaturahim, Bukan Sekadar Hidangan
Hakikatnya, hidangan hanyalah perantara, manakala hubungan persaudaraan itulah inti pati sebenar sambutan Hari Raya.
Makan secara sedar bukan sekadar soal menjaga tubuh, tetapi tentang benar-benar hadir dan menikmati saat bersama keluarga dan sahabat.
Apabila kita tidak dibebani rasa tidak selesa akibat makan berlebihan, kita lebih mudah memberi perhatian kepada perbualan, gelak tawa dan cerita yang dikongsi di ruang tamu.
Di situlah sebenarnya nilai perayaan itu terletak.
Pada masa yang sama, jangan kita lupakan tabiat sihat yang telah dipupuk dengan penuh disiplin sepanjang Ramadan.
Dengan mengamalkan “seni menjamah sedikit”, kita masih dapat menikmati pelbagai juadah tanpa berasa terlalu kenyang atau letih.
Akhirnya, kita dapat meninggalkan setiap rumah dengan tubuh yang masih bertenaga, bukan lesu.
Dengan cara itu, kita benar-benar dapat menghargai masa yang diluangkan bersama keluarga dan sanak saudara yang tersayang sepanjang musim Lebaran.
Penulis Pakar Perubatan Keluarga dan Gaya Hidup Sihat.


