Beberapa hospital, termasuk Hospital Besar Changi (CGH) dan Hospital Besar Sengkang (SKH), telah menyaksikan peningkatan dalam jumlah pesakit di jabatan kecemasan masing-masing, sekali gus menyebabkan masa menunggu menjadi lebih panjang.
Kedua-dua hospital itu memaklumkan perkara tersebut di akaun Facebook masing-masing pada 14 Mei sekitar 1 petang, sambil menasihati hanya individu dengan keadaan kecemasan serius atau mengancam nyawa datang bagi mendapatkan rawatan ke jabatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E).
Pesakit yang mengalami gejala ringan hingga sederhana seperti batuk, sakit tekak atau selesema, dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan di klinik perubatan umum (GP) atau poliklinik.
Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) turut menghadapi peningkatan jumlah pesakit di A&E sejak 13 Mei, yang berpunca daripada cuti hujung minggu yang panjang baru-baru ini, kata jurucakap hospital berkenaan.
“Meskipun terdapat peningkatan kecil dalam kes Covid-19, peningkatan jumlah pesakit di jabatan kecemasan kami secara keseluruhan bukan disebabkan oleh Covid-19 sahaja,” katanya.
Pihak berkuasa, pada 13 Mei, berkata mereka sedang memantau peningkatan terkini dalam jumlah kes Covid-19.
Namun setakat ini, tiada petunjuk varian yang sedang menular dalam negara, lebih mudah berjangkit atau menyebabkan gejala yang lebih teruk berbanding varian sebelum ini.
Pada 5.30 petang, 14 Mei, anggaran masa menunggu untuk menemui doktor di jabatan A&E KTPH ialah 107 minit, dengan 135 pesakit sedang menunggu giliran.
Menjelang 6.30 petang, masa menunggu turun kepada 71 minit, dengan 124 pesakit masih menunggu giliran berjumpa doktor, menurut kemas kini di laman web hospital berkenaan.
“Walaupun terdapat peningkatan jumlah pesakit, jabatan kecemasan di KTPH tetap beroperasi sepenuhnya dan keadaan masih terkawal,” kata jurucakap KTPH.
Beliau menambah bahawa masa menunggu di jabatan A&E bergantung kepada keadaan pesakit dan mereka yang mengalami masalah perubatan kritikal akan diberi rawatan segera.
Apabila The Straits Times (ST) melawat CGH sekitar 5.30 petang pada 14 Mei, terdapat poster besar di luar A&E yang menyatakan anggaran masa menunggu mungkin berlanjutan sekurang-kurangnya lima hingga lapan jam, disebabkan jumlah pesakit yang ramai.
Ketika ST melawat SKH pada sekitar 7 malam, tiada barisan pesakit kelihatan, tetapi anggaran masa menunggu untuk berjumpa doktor di A&E dipaparkan sebagai tiga jam 38 minit.
Keadaan kelihatan lebih tenang di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) pada 14 Mei.
Pada 5.59 petang, kemas kini di laman web TTSH menunjukkan terdapat 12 pesakit sedang menunggu untuk berjumpa doktor di jabatan A&E, dengan masa menunggu purata selama 76 minit.
Menjelang 7.24 malam, bilangan pesakit yang menunggu giliran meningkat kepada 15, tetapi masa menunggu secara purata telah berkurang kepada 64 minit.
Jumlah anggaran kes Covid-19 meningkat kepada 14,200 kes antara 27 April dengan 3 Mei, berbanding 11,100 kes pada minggu sebelumnya.
Namun, masih belum jelas sama ada peningkatan kes itu memberi kesan kepada kemasukan pesakit ke A&E.
Pemerintah telah memaklumkan bahawa ia telah mengambil beberapa langkah untuk mengurangkan beban pesakit di hospital.
Antaranya, meningkatkan bilangan katil di hospital sedia ada, membina Kampus Hospital Besar Timur di Bedok North serta rumah-rumah penjagaan baru, selain secara berperingkat memperluas perkhidmatan rawatan hospital di rumah.
Pada masa yang sama, pemerintah aktif menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup lebih sihat bagi mencegah penyakit kronik melalui inisiatif seperti strategi penjagaan kesihatan, SG Lebih Sihat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg