Topik diikuti
Pergi ke BHkuMengapa suka makan snek sebelum tidur?
Hormon lapar, tabiat harian, dan rangsangan otak terhadap makanan manis jadi punca seseorang terus idam makanan walaupun sudah kenyang selepas makan malam
Mengapa suka makan snek sebelum tidur?
LONDON: Anda sudah menikmati makan malam dan berasa kenyang, tetapi setengah jam kemudian, anda kembali ke dapur untuk mencari biskut, coklat atau makanan ringan.
Keadaan ini mungkin biasa dialami ramai orang, tetapi mengapakah keinginan untuk makan masih muncul walaupun perut sudah kenyang?
Penyelidikan menunjukkan kira-kira satu pertiga orang mengambil makanan ringan setiap malam selepas makan malam.
Dalam kalangan mereka yang berusia antara 18 dengan 24 tahun pula, empat daripada lima orang sukar menahan keinginan tersebut.
Profesor Madya dalam bidang Selera Makan dan Obesiti serta pakar pemakanan di Universiti Leeds, Britain, Dr Kristine Beaulieu, berkata tabiat itu boleh menimbulkan masalah kesihatan, terutama jika dilakukan secara berlebihan.
Beliau merujuk kepada kajian yang menunjukkan semakin banyak seseorang makan dalam tempoh dua jam sebelum tidur, semakin tinggi kemungkinan mereka mengalami pertambahan berat badan dan obesiti.
Namun, keinginan makan pada waktu malam bukan semata-mata berpunca daripada kurang disiplin.
Ia turut dipengaruhi hormon, cara otak bertindak balas terhadap makanan dan tabiat harian.
Selera makan meningkat pada waktu malam
Walaupun manusia menghabiskan tempoh yang panjang tanpa makan ketika tidur, penyelidikan menunjukkan selera makan secara semula jadi cenderung meningkat pada waktu malam.
Keadaan ini boleh berlaku tanpa mengira jumlah makanan yang diambil sepanjang hari.
Profesor James Betts, yang mengkaji bagaimana tubuh memproses makanan dan tenaga di Universiti Bath, Britain, berkata antara faktor utamanya ialah hormon ghrelin, yang dikenali sebagai hormon lapar.
Paras hormon ini secara umum lebih tinggi pada penghujung hari.
“Walaupun parasnya biasanya menurun selepas makan, keadaan itu sebenarnya lebih ketara selepas hidangan pertama pada hari tersebut, bukan selepas makan tengah hari atau makan malam,” jelas beliau.
Ghrelin dihasilkan terutama dalam perut dan bertindak pada bahagian otak yang dikenali sebagai hipotalamus untuk merangsang selera makan.
Apabila makanan memenuhi dan meregangkan perut, penghasilan hormon tersebut berkurangan.
Bagaimanapun, jenis makanan yang diambil turut menentukan berapa lama seseorang berasa kenyang.
Menurut Profesor Betts, makanan yang kaya dengan protein dan serat serta mempunyai isi padu yang mencukupi boleh membantu seseorang berasa kenyang lebih lama.
Sebaliknya, makan malam yang kurang berkhasiat atau tidak cukup mengenyangkan boleh menyebabkan seseorang kembali lapar dan mencari makanan ringan.
Bagi sesetengah individu, kebimbangan akan terjaga akibat lapar pada tengah malam turut mendorong mereka makan sebelum tidur.
Tabiat harian pengaruhi keinginan untuk makan
Pakar selera makan di Universiti Birmingham, Profesor Suzanne Higgs, berkata keinginan makan boleh tercetus apabila seseorang berada dalam keadaan yang kerap dikaitkan dengan tabiat mengambil snek.
“Sebagai contoh, jika seseorang biasanya makan snek ketika menonton televisyen, hanya dengan menghidupkan televisyen sudah boleh membuatkan mereka terasa mahu makan,” katanya.
Keinginan makan pada waktu malam bukan hanya disebabkan rasa lapar.
Penyelidikan menunjukkan keinginan terhadap makanan tinggi kalori juga meningkat pada penghujung hari, didorong oleh sistem ganjaran otak dan bukannya keperluan sebenar tubuh terhadap tenaga.
Dr Beaulieu berkata keinginan terhadap makanan tinggi lemak lebih kuat pada waktu malam berbanding makanan rendah lemak.
“Keinginan mendapatkan keseronokan daripada makanan boleh mengatasi isyarat kenyang, menyebabkan kita masih mahu makan snek atau pencuci mulut walaupun sudah kenyang,” katanya.
Makanan kaya gula, lemak atau garam terus merangsang sistem ganjaran otak walaupun seseorang baru selesai menikmati hidangan yang banyak.
Keadaan ini menjelaskan mengapa seseorang masih mencari biskut atau coklat pada 9 malam meskipun sudah makan malam.
Ini bermakna keinginan tersebut bukan semestinya berpunca daripada kegagalan mengawal diri, sebaliknya turut dipengaruhi tindak balas biologi tubuh.
Adakah makan sebelum tidur ganggu tidur?
Bukti penyelidikan mengenai hubungan antara pengambilan snek pada waktu malam dengan mutu tidur masih belum memberikan jawapan jelas.
Bagaimanapun, makan dalam jumlah yang banyak pada lewat malam boleh menjejas penghadaman dan persediaan semula jadi tubuh untuk tidur.
Beberapa kajian menunjukkan makanan tinggi karbohidrat ditapis dan gula tambahan, termasuk roti putih, nasi putih, biskut dan kek, mungkin dikaitkan dengan mutu tidur yang lebih rendah.
Penyelidik percaya makanan tersebut boleh menyebabkan perubahan paras gula dalam darah yang lebih ketara serta mempengaruhi isyarat hormon yang mengawal tidur dan selera makan.
Namun, hubungan sebab dan akibat masih sukar dipastikan.
Ini kerana individu yang kurang tidur juga mungkin lebih cenderung mengambil makanan manis.
Pakar tidur dan jam biologi tubuh di Universiti Surrey, Profesor Jonathan Johnston, berkata kekurangan tidur diketahui bukan sahaja meningkatkan selera makan, malah menguatkan keinginan terhadap makanan tinggi kalori.
Profesor Betts pula berkata bukti sedia ada belum mencukupi untuk membuat kesimpulan bahawa pengambilan snek pada lewat malam semestinya mengganggu tidur.
Tindak balas setiap individu terhadap makanan sebelum tidur juga mungkin berbeza.
Cara kawal keinginan makan sebelum tidur
Pakar menyarankan supaya seseorang terlebih dahulu mengenal pasti punca mereka mahu makan pada waktu malam.
Jika benar-benar lapar, pengambilan makanan yang lebih mengenyangkan pada waktu siang dan malam mungkin membantu.
Namun, jika keinginan itu berpunca daripada tabiat, perubahan rutin harian dan perancangan makanan ringan lebih awal boleh menjadi penyelesaian.
Profesor Higgs berkata makan sambil melakukan kegiatan lain, seperti menonton televisyen, boleh menyebabkan seseorang mengambil makanan secara berlebihan kerana kurang memberikan perhatian terhadap jumlah yang dimakan.
Bagaimanapun, Dr Beaulieu menegaskan bahawa seseorang tidak perlu menghentikan pengambilan snek pada waktu malam sepenuhnya.
Sebaliknya, pengambilan makanan dalam jumlah sederhana lebih mudah diamalkan secara berterusan.
Antara pilihan lebih sihat termasuk buah-buahan, yogurt dan kekacang.
Malah, menikmati sedikit coklat sekali-sekala juga tidak menjadi masalah.
“Tidak mengapa menikmati makanan yang diingini sekali-sekala, asalkan secara sederhana,” katanya.
Menurut beliau, perkara paling penting ialah menjadikan makanan sihat sebagai pilihan utama di rumah.
“Jika makanan yang sering diidamkan tidak sentiasa tersedia di dalam almari, sebaliknya terdapat pilihan yang lebih sihat, kemungkinan besar anda akan memilih makanan yang lebih baik untuk kesihatan,” katanya. – Agensi berita.