Kementerian Kesihatan (MOH) bakal melancarkan program penjagaan pencegahan pertamanya yang berdasarkan ujian genetik mulai 30 Jun.
Dalam satu kenyataan pada 19 Jun, MOH berkata ujian genetik ini akan mengenal pasti individu yang berisiko mempunyai kolesterol tinggi disebabkan gen mereka – atau lebih dikenali sebagai Familial Hypercholesterolaemia (FH) – pada peringkat awal.
Dengan ini, ia dapat mengurangkan risiko menghidap penyakit jantung pada usia lebih muda bagi individu sedemikian dengan usaha campur tangan awal.
Menjelaskan lebih lanjut tentang program ini, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, dalam satu catatan Facebook pada 19 Jun, menyatakan FH merupakan kondisi gen keturunan dan menjejas sekitar 20,000 orang di sini.
“Kondisi ini boleh membawa kepada kadar kolesterol yang sangat tinggi dan mempunyai risiko serangan jantung lebih tinggi pada usia muda,” ujarnya.
Beliau menambah warga Singapura dan penduduk tetap (PR) yang menjalani ujian ini akan mendapat subsidi, dengan individu yang layak dapat memanfaatkan dana MediSave.
Ia sebahagian daripada usaha berterusan MOH bagi membangunkan penjagaan pencegahan ramalan di bawah inisiatif SG Lebih Sihat.
Beliau berkata: “Klinik umum (GP) dan poliklinik akan bantu mengenal pasti individu yang disyaki mempunyai FH dan merujuk individu ini, ibu bapa mereka, anak-anak dan adik-beradik mereka untuk ujian genetik.”
MOH berkata antara langkah penjagaan pencegahan yang boleh diberikan termasuk mengamalkan gaya hidup sihat atau terapi merendahkan kolesterol bagi mengurangkan risiko penyakit jantung pada usia lebih muda.
Sebagai permulaan, ujian genetik ini akan dijalankan di Pusat Penilaian Genomik (GAC) pertama yang terletak di Pusat Jantung Negara – dikendalikan SingHealth dan ia akan mula menerima rujukan kes mulai 30 Jun, tambah kementerian itu.
Lebih banyak GAC akan dibuka pada masa hadapan, yang bakal dikendalikan National Healthcare Group (NHG) dan National University Health System (NUHS) bagi memenuhi keperluan penduduk di sini, ujar MOH.
Menurut MOH, warga Singapura atau PR yang didiagnos menghidap tahap kolesterol yang sangat tinggi oleh doktor boleh dirujuk ke GAC untuk ujian genetik FH.
Jika mereka diuji positif FH, individu ini dikenali sebagai pesakit indeks atau pesakit tahap pertama.
Anggota keluarga terdekat seperti ibu bapa, adik-beradik dan anak-anak mereka berisiko positif FH, dan mereka juga akan digalakkan untuk menjalani ujian genetik.
Pemeriksaan melalui rujukan keluarga itu digelar sebagai ‘cascade screening’, dan membolehkan pengesanan awal bagi FH dalam kalangan anggota keluarga tersebut supaya langkah pencegahan awal dapat diambil.
Bagi pesakit indeks, bayaran pemeriksaan adalah antara $117 dan $575, bergantung pada subsidi yang diterima yang boleh mencecah hingga 70 peratus, kata MOH.
Golongan Generasi Merdeka dan Generasi Perintis juga boleh mendapatkan subsidi tambahan.
Bayaran bagi pesakit yang menjalani pemeriksaan dengan rujukan keluarga adalah antara $53 dan $253 selepas subsidi.
MOH berkata pesakit juga boleh menggunakan dana MediSave atau Fleksi-MediSave bagi mereka berusia 60 tahun dan ke atas, di samping subsidi yang diberikan, bagi membayar ujian genetik FH itu.
“Pesakit dinasihatkan untuk membuat janji temu susulan dengan penyedia penjagaan utama di poliklinik atau klinik GP, atau dengan doktor keluarga jika mereka mendaftar di bawah inisiatif SG Lebih Sihat bagi pengurusan berterusan,” tambah MOH.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg