Kementerian Kesihatan (MOH) merancang menghimpunkan lebih ramai pegawainya di bawah satu bumbung, di sebuah bangunan pejabat baru yang akan dibina di Outram Park.
Bangunan tersebut mungkin menjadi ibu pejabat baru kementerian itu.
Bangunan pejabat baru di MacAlister Road itu akan dibina dalam kawasan kampus Hospital Besar Singapura (SGH).
Ia akan “menempatkan MOH dan pelbagai agensi MOH yang kini terpisah di seluruh negara”, kata jurucakap kementerian itu pada 30 Mei.
Ibu pejabat MOH yang sedia ada di Bangunan Kolej Perubatan, sebuah monumen negara, menduduki sebahagian tapak yang diperuntukkan bagi bangunan baru itu.
Bangunan pejabat baru tersebut adalah satu daripada dua pembangunan baru berkaitan penjagaan kesihatan yang diketahui, melalui dokumen awam terkini daripada Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).
Satu lagi pembangunan ialah kemudahan penjagaan kesihatan baru berhampiran stesen MRT Paya Lebar yang sedang dikaji, lapor The Straits Times (ST).
Bagi bangunan di kawasan SGH pula, ia dijangka menyediakan ruang pejabat seluas 55,442 meter persegi, dan ruang kedai runcit seluas 352 meter persegi.
Tapak bangunan baru itu berukuran sekitar 20,000 meter persegi – bersamaan kira-kira tiga padang bola.
Pada masa ini, tapak tersebut menempatkan dua monumen negara yang digunakan oleh MOH sejak 1987 – Bangunan Kolej Perubatan dan Bangunan Tan Teck Guan – serta sebuah tempat letak kereta terbuka.
Sebahagian tapak tersebut juga digunakan sebagai kawasan bagi helikopter penyelamat, selain menempatkan Harrower Hall – yang dibina pada 1931 sebagai ruang istirahat bagi pelajar sekolah perubatan pertama Singapura yang ditubuhkan pada 1905.
Jurucakap MOH menyatakan bahawa spesifikasi dan garis masa pembinaan bangunan pejabat baru itu masih dimuktamadkan.
Butiran lanjut mengenai pembinaan tersebut akan diberikan apabila tersedia.
Naib Presiden Majlis Antarabangsa bagi Monumen dan Tapak Warisan (Icomos) Singapura, Dr Yeo Kang Shua, berkata bahawa pembangunan bangunan pejabat baru itu adalah peluang menyerlahkan lagi kepentingan visual dan kehadiran fizikal kededua monumen negara di tapak tersebut.
Menurut beliau, pada masa ini, belum ada rasa atau “suasana ketibaan” yang menyerlah bagi tetamu yang melawat Bangunan Kolej Perubatan itu, yang dirasmikan pada 1926 sebagai kolej perubatan pertama dibina khas di Singapura.
Bagi Bangunan Tan Teck Guan pula, yang pernah menempatkan sekolah perubatan tersebut ketika bangunan itu dibuka pada 1911, Dr Yeo berkata ia sering dilupakan dan boleh dimanfaatkan sebagai hab sosial, sebagai sebahagian pembangunan pejabat yang dirancang.
Bangunan itu kini berpagar dan tidak boleh diakses oleh orang ramai.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg