Sekitar 2,500 pekerja dalam sektor rantaian bekalan penjagaan kesihatan awam dijangka meraih manfaat daripada peluang peningkatan kemahiran dan rekaan semula pekerjaan.

Inisiatif tersebut menyusuli pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) pada 19 Ogos antara Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan (HSEU) serta ALPS, sebuah agensi pemerolehan dan rantaian bekalan bersepadu bagi sektor penjagaan kesihatan awam Singapura.

Khususnya, kerjasama baharu itu bertujuan memperkukuh keupayaan tenaga kerja serta memacu usaha kemampanan dalam sektor penjagaan kesihatan awam.

MOU tersebut melantik ALPS sebagai ‘Queen Bee’ pertama, iaitu syarikat peneraju dalam industri yang dilantik untuk membimbing dan melatih perusahaan lebih kecil, bagi sektor penjagaan kesihatan.

Menerusi kerjasama itu, ketiga-tiga pihak tersebut akan bekerja rapat dengan syarikat dalam bidang pemerolehan dan rantaian bekalan penjagaan kesihatan untuk mengenal pasti cabaran bersama berkaitan tenaga kerja dan perniagaan, khususnya dalam aspek kemampanan, serta membangunkan penyelesaian praktikal secara bersama.

Ini termasuk peningkatan kemahiran, penerapan teknologi dan program bimbingan.

Di samping itu, ALPS menyasar memperluaskan inisiatif Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) NTUC kepada lebih 100 perusahaan kecil dan sederhana (SME) dalam rantaian bekalan penjagaan kesihatan awam.

Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, berkata ALPS berada dalam kedudukan yang baik untuk menghimpunkan syarikat-syarikat dalam rantaian bekalan penjagaan kesihatan bagi menangani cabaran bersama dan merebut peluang baharu.

“Kerjasama ini membolehkan transformasi tenaga kerja dan perniagaan dilaksanakan pada skala yang lebih besar merentas keseluruhan ekosistem.

“Pada masa yang sama, menerusi projek di bawah Geran CTC, kami memastikan pekerja kolar biru dan kolar putih dalam sektor ini mendapat manfaat melalui pekerjaan yang lebih baik, peluang kerjaya yang lebih kukuh serta kebolehpasaran yang berterusan,” ujarnya, yang juga Menteri di Pejabat Perdana Menteri.

Kerjasama tersebut dilaksanakan sedang sektor penjagaan kesihatan meningkatkan usaha untuk mengurangkan kesan terhadap alam sekitar dan mencapai matlamat kemampanan.

Menurut satu kenyataan bersama oleh NTUC, HSEU, dan ALPS pada 19 Ogos, sektor penjagaan kesihatan menyumbang kira-kira 5 peratus daripada pelepasan gas rumah hijau, dengan sekitar 70 peratus daripadanya berpunca daripada kegiatan rantaian bekalan dan pemerolehan di peringkat global.

Sehubungan itu, ALPS akan memanfaatkan rangkaian vendor dan rakan kongsinya untuk memacu inisiatif hijau serta menyokong syarikat dan pekerja menyesuaikan diri dengan penerapan amalan yang lebih mampan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ALPS, Cik Yong Hwee Yee, berkata kerjasama itu akan memperkukuh keupayaan dalam aspek kemampanan, melengkapkan pekerja dengan kemahiran hijau serta membantu syarikat menerapkan amalan yang lebih mampan.

“Dengan bergerak ke hadapan sebagai satu ekosistem, kami dapat menterjemahkan matlamat bersama kepada hasil yang praktikal dengan mewujudkan nilai berpanjangan untuk rakan kongsi kami, peluang yang lebih baik untuk vendor dan rakan kongsi SME, serta ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih hijau dan mampan untuk Singapura,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden NTUC dan HSEU, Cik K Thanaletchimi, berkata kerjasama tersebut akan memperluaskan peluang kepada pekerja di seluruh rantaian bekalan penjagaan kesihatan.

“(Ini dengan) menyediakan sokongan kepada mereka untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang baharu seperti kemampanan dan kecerdasan buatan (AI), di samping meningkatkan gaji dan prospek pekerjaan mereka serta membina ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih mampan,” jelasnya.