Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih 1,000 bakal raih kemahiran AI melalui kerjasama Mendaki, AI S'pura
Lebih 1,000 belia, graduan, pencari kerja, golongan pertengahan kerjaya dan individu yang kembali ke alam pekerjaan dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam bakal dilengkapi kemahiran kecerdasan buatan (AI) praktikal menerusi kerjasama tiga tahun antara Yayasan Mendaki dengan AI Singapura.
Ini menyusuli termeterainya satu Memorandum Persefahaman (MOU) di Pusat NTUC pada 15 Ogos sempena pelancaran Ready@Work (R@W), inisiatif pembangunan tenaga kerja Mendaki yang menyediakan bimbingan kerjaya, peningkatan kemahiran dan sokongan pekerjaan.
Di bawah kerjasama itu, sekitar 120 Pakar Jurulatih AI daripada Rangkaian Profesional Mendaki akan dilatih sepanjang tiga tahun untuk membantu meluaskan pengetahuan dan penggunaan AI dalam masyarakat.
Kerjasama itu turut merangkumi peluang seperti pementoran, latihan amali, pendedahan di tempat kerja dan pengambilan pekerja.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, berkata cabaran hari ini bukan untuk menghentikan perubahan yang dibawa teknologi dan AI, tetapi memastikan masyarakat bersedia menghadapinya.
Beliau menegaskan mobiliti sosial kini tidak boleh bergantung kepada pendidikan atau kelayakan semata-mata.
“Ia juga mengenai memiliki kemahiran, pendedahan, rangkaian dan keyakinan untuk mengubah kelayakan itu menjadi peluang,” katanya.
Encik Zaqy turut menekankan pentingnya menyediakan laluan untuk mereka yang mungkin perlu berhenti seketika daripada kerjaya, menukar haluan atau bermula semula.
“Kita mahu membina Singapura di mana rehat daripada kerjaya, kemunduran atau perubahan ekonomi tidak menutup pintu kepada aspirasi anda,” katanya.
Pengarah Pengurusan Pihak Berkepentingan, Perkhidmatan Kerjaya dan Kumpulan Perkongsian (CSPG) Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, berkata kebimbangan mengenai keupayaan mengekalkan kemahiran relevan dalam dunia pekerjaan yang semakin dipengaruhi AI turut disuarakan pekerja Melayu/Islam.
“Apa yang saya dengar secara konsisten adalah pentingnya mempunyai akses kepada peluang yang baik, sokongan ketika melalui tempoh perubahan, serta rangkaian yang diyakini,” katanya.
Menurut Dr Wan Rizal, kerjasama MENDAKI dengan e2i telah menghasilkan 11 bengkel AI yang memberi manfaat kepada hampir 470 pekerja Melayu/Islam setakat ini.
Namun, katanya, matlamatnya melangkaui usaha membantu seseorang mendapatkan pekerjaan seterusnya.
“Kami ingin membina ekosistem sokongan yang lebih kukuh, di mana pekerja dilengkapi dengan kemahiran yang tepat, disokong sepanjang tempoh perubahan, dan dikelilingi masyarakat yang mampu memberi mereka keyakinan,” katanya.
Sejak Januari, R@W telah menyokong hampir 400 individu dalam memperkukuh kesiapsiagaan kerjaya dan kebolehgajian mereka.
