Topik diikuti
Pergi ke BHkuMulut senget dan kejang bukan gejala remeh walau berlaku seketika
Mulut senget dan kejang bukan gejala remeh walau berlaku seketika
Mulut senget dan kejang bukan gejala remeh walau berlaku seketika
Sesi makan tengah hari bersama rakan-rakan di sebuah pusat makanan merupakan perkara yang masih diiingati.
Ketika itu, Encik Muhammad Firdaus, 25 tahun (bukan nama sebenar), mendapati wajahnya mula bergerak sendiri tanpa dapat dikawal.
Ketika berada di pusat makanan di Bedok, secara tiba-tiba, bahagian kiri mulutnya berkedut menjadi senget dan tertarik ke tepi selama beberapa saat.
Beliau menyangka ia sekadar kesan keletihan selepas berjaga malam menyiapkan tugasan kuliah.
Namun, kejadian itu mula berulang hampir setiap hari.
Pada mulanya, kejang hanya berlaku ketika beliau makan atau minum.
Beberapa bulan kemudian, otot di sekeliling mata kiri pula mula bergerak sendiri sebelum kekejangan itu perlahan-lahan merebak ke pipi, rahang dan leher.
“Pada mulanya saya fikir ia hanya kejang biasa yang akan hilang sendiri. Saya cuba tidur lebih awal, kurangkan tekanan dan minum lebih banyak air, tetapi keadaan semakin teruk.
“Semakin lama, saya tidak lagi boleh mengawal pergerakan sebelah kiri muka.
“Kadang-kadang ia berlaku ketika saya sedang bercakap dengan pensyarah, membuat pembentangan atau berbual dengan rakan,” katanya.
Beliau mengakui keadaan itu bukan sahaja menyebabkan ketidakselesaan fizikal, malah memberi kesan besar terhadap keyakinan dirinya.
“Ramai yang memandang pelik. Ada yang menyangka saya sengaja membuat mimik muka. Ada juga yang bertanya sama ada saya mengalami angin ahmar.
“Ketika menghadiri temu duga kerja sambilan atau berjumpa orang baharu, saya sentiasa bimbang muka saya akan tiba-tiba bergerak sendiri.
“Lama-kelamaan saya menjadi kurang yakin untuk bercakap dengan orang ramai,” katanya.
Selama hampir empat tahun, Firdaus mendapatkan rawatan di beberapa klinik dan hospital.
Pelbagai kemungkinan diberikan, daripada tekanan, keletihan sehinggalah gangguan otot, namun gejalanya terus menjadi semakin kerap dan semakin kuat.
Pemeriksaan neurologi akhirnya mendapati beliau tidak mengalami masalah pendengaran, kelemahan anggota badan atau gangguan saraf lain.
Namun, ujian elektromiografi (EMG) menunjukkan kegiatan elektrik otot mukanya tidak normal, manakala imbasan resonans magnetik (MRI) dan angiografi resonans magnetik (MRA) menunjukkan terdapat salur darah yang menekan saraf muka di pangkal otak.
Berdasarkan penemuan itu, pakar memutuskan untuk melakukan pembedahan penyahmampatan mikrovaskular (microvascular decompression), iaitu prosedur bagi mengalihkan salur darah yang menekan saraf.
Penemuan semasa pembedahan mendedahkan punca sebenar kejang yang dialami pesakit.
Pakar mendapati salur darah itu bukan sekadar menekan saraf muka seperti lazimnya berlaku, malah menembusi saraf berkenaan, menyebabkan saraf sentiasa menerima tekanan setiap kali arteri itu berdenyut.
Keadaan yang amat jarang berlaku itu tidak dapat dikesan menerusi imbasan sebelum pembedahan.
Kisah Firdaus menunjukkan bahawa gejala yang pada mulanya kelihatan seperti kekejangan kecil pada kelopak mata atau mulut tidak semestinya berpunca daripada keletihan atau tekanan.
Dalam sesetengah kes, ia boleh menjadi petanda kepada kejang separuh wajah iaitu gangguan saraf yang jarang berlaku tetapi mampu menjejas pertuturan, penglihatan, keyakinan diri dan mutu hidup jika tidak dirawat.
Pada peringkat awal, pesakit lazimnya hanya mengalami kekejangan ringan pada satu bahagian wajah.
Namun, dari masa ke masa, kekejangan menjadi semakin kerap, semakin kuat dan mula merebak ke otot lain pada bahagian muka yang sama, termasuk pipi, rahang dan leher.
Ramai orang pernah mengalami kekejangan kelopak mata akibat kurang tidur, tekanan atau keletihan.
Dalam kebanyakan keadaan, gangguan itu bersifat sementara dan akan pulih dengan rehat.
Bagaimanapun, apabila kekejangan berlaku berulang kali, hanya melibatkan sebelah wajah dan semakin merebak ke bahagian lain, ia tidak lagi boleh dianggap sebagai kekejangan biasa.
Sebaliknya, keadaan itu mungkin menandakan gangguan pada saraf muka yang memerlukan pemeriksaan lanjut oleh pakar neurologi bagi mengenal pasti puncanya dan menentukan rawatan yang sesuai.
Bagi Muhammad Firdaus, pengalaman selama empat tahun hidup dengan wajah yang bergerak sendiri mengubah persepsinya terhadap gejala yang pada awalnya dianggap remeh.
“Kalau saya tahu lebih awal bahawa kejang kecil itu sebenarnya tanda penyakit saraf, saya tentu tidak akan menunggu begitu lama untuk mendapatkan rawatan.
“Saya harap orang lain tidak menganggap kejang sebelah wajah sebagai perkara biasa kerana rawatan awal boleh mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk,” katanya.
