Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Myokimia isyarat mata perlu rehat

Dec 18, 2025 | 1:10 PM
myokimia, mata, rehat, kesihatan
Myokimia boleh berlaku dengan pergerakan yang kecil atau sedikit tetapi ada juga berlaku pergerakan besar sehingga menimbulkan rasa tidak selesa pada individu terbabit. - Foto hiasan PIXABAY

Myokimia adalah keadaan apabila berlaku pergerakan kecil otot di sekitar mata yang berlaku berulang kali tanpa kawalan.

Ia juga dikenali ‘eye twitching’ dalam bidang perubatan, gejala itu dikategorikan sebagai salah satu bentuk gangguan neuromuskular ringan yang sering berpunca daripada tekanan, kurang tidur, atau rangsangan saraf yang tidak seimbang.

Walaupun kelihatan seperti gangguan kecil, ramai yang berasa tidak selesa atau bimbang ia mungkin tanda penyakit saraf.

Hakikatnya, myokimia biasanya tidak berbahaya dan sembuh dengan sendiri selepas beberapa hari atau minggu.

Pakar Perunding Oftalmologi UiTM Private Specialist Centre (UPSC), Dr Abdullah Ashraf Rafique Ali, berkata myokimia boleh berlaku pada mana-mana otot badan dan paling kerap membabitkan bahagian sekeliling mata terutamanya kelopak di bawah mata.

“Myokimia boleh berlaku dengan pergerakan yang kecil atau sedikit tetapi ada juga berlaku pergerakan besar sehingga menimbulkan rasa tidak selesa pada individu terbabit.

“Jika di sekitar mata sahaja yang bergerak, selalunya ia tidak berbahaya dan boleh dikategorikan sebagai ‘self limiting’ yang mana ia akan pulih sendiri tanpa rawatan khusus,” katanya ketika ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) baru-baru ini.

Beliau berkata kebiasaannya gejala myokimia akan hilang dalam tempoh beberapa hari atau minggu justeru ia tidak perlu dikhuatiri.

Katanya, ia boleh berlaku pada sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat umur dan juga boleh berpunca daripada gaya hidup dan tekanan harian seseorang individu.

“Individu boleh mengalami myokimia mungkin berhadapan dengan stres dan keresahan, kurang tidur atau keletihan melampau, pengambilan kafein berlebihan, bersenam terlalu banyak dan mata kering atau berlaku keradangan pada mata.

“Dalam keadaan luar biasa, ia juga boleh menjadi petanda penyakit lain contohnya autoimun (seperti Multiple Sclerosis) atau tumor. Bagaimanapun, ini sangat jarang berlaku dan secara amnya, jika hanya myokimia ia tidak berbahaya,” katanya.

Mengulas sama ada penggunaan meluas gajet dalam era digital juga menjurus kepada myokimia, Dr Abdullah Ashraf berkata tiada kajian khusus berhubung perkara itu buat ketika ini.

Bagaimanapun, katanya myokimia mungkin lebih berisiko berlaku pada individu yang menggunakan komputer, telefon bimbit secara berlebihan terutamanya dalam kalangan generasi muda.

“Apabila mata terdedah lama kepada skrin, ia menjadi kering dan mudah terjejas. Ini boleh menyebabkan saraf otot di kawasan mata lebih sensitif dan cepat bergerak tanpa kawalan.

“Oleh itu berehat daripada skrin dan menggunakan pelembap mata boleh membantu mengurangkan gejala ini,” katanya.

Dr Abdullah Ashraf berkata kebanyakan kes myokimia tidak memerlukan rawatan khas.

Jelasnya, sekiranya gejala berlarutan lebih dua hingga tiga bulan, atau membabitkan bahagian lain pada muka, pemeriksaan lanjut perlu dilakukan bagi mengesan kemungkinan penyakit lain.

“Jika punca adalah tumor, biasanya bukan hanya mata yang terbabit. Akan ada gejala lain seperti kelemahan otot, kebas atau pergerakan luar biasa pada wajah,” katanya.

“Selain itu, jika pergerakan otot menyebabkan mata tertutup sendiri atau membabitkan seluruh wajah, ia bukan lagi myokimia tetapi keadaan lain seperti blepharospasm atau hemifacial spasm.

“Dalam kes sebegini, pemeriksaan pengimejan resonans magnetik (MRI) perlu dilakukan untuk melihat keadaan saraf yang mengawal otot tersebut,” katanya.

Beliau berkata rawatan myokimia bergantung kepada punca. Antara langkah yang boleh membantu termasuk mengurangkan penggunaan gajet dan memberi rehat pada mata; mengawal stres dan mendapatkan tidur mencukupi; mengurangkan pengambilan kafein dan menggunakan pelembap mata bagi mengurangkan kekeringan.

Menurutnya, jika keadaan berlarutan walaupun semua pemeriksaan menunjukkan tiada masalah lain, suntikan botox boleh digunakan bagi melegakan pergerakan otot.

“Pesakit yang saya rawat kebanyakannya pulih dalam masa singkat, terutama jika puncanya stres atau keletihan. Ada juga kes terpencil yang berlanjutan kerana masalah lain seperti sinusitis,” katanya.

Dr Abdullah Ashraf menasihatkan individu yang menghidap myokimia agar tidak panik kerana kebiasaannya ia tidak berbahaya dan boleh hilang dengan sendiri.

“Yang penting, kenal pasti punca dan ambil langkah untuk mengurangkan stres serta merehatkan mata. Jika gejala berterusan atau menyebabkan ketidakselesaan yang mengganggu, dapatkan pemeriksaan pakar untuk memastikan tiada punca lain yang lebih serius.

“Kesimpulannya, myokimia mungkin kelihatan seperti masalah kecil, namun ia boleh menjadi isyarat bahawa tubuh sedang memberi amaran yang anda perlukan rehat,” katanya.

Antara punca myokimia:

– Kesan sampingan sesetengah ubat

– Keletihan

– Kurang tidur

– Terlalu banyak melakukan kegiatan fizikal

– Pengambilan kafein, tembakau atau alkohol

– Tekanan (stres)

– Menegangkan kelopak mataIritasi pada mata

Kadangkala myokimia juga boleh disebabkan:

– Kepekaan terhadap cahaya

– Kecederaan pada kornea

– Mata kering

– Uveitis (keradangan mata)

– Blefaritis (keradangan kelopak mata)

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg