Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NHG Health anjur festival sukan inklusif, mesra warga emas

Oct 6, 2025 | 7:07 PM
NHG, Health, inklusif
Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Encik Tan Kiat How (paling kanan), mencuba aplikasi mudah alih yang membimbing pesakit melalui proses pembedahan mereka. - Foto NHG HEALTH

Pengendali penjagaan kesihatan NHG Health telah melancarkan pertandingan sukan masyarakat bersifat inklusif, Sukan Kesihatan 15M, sewaktu festival kesihatan awam, NHG Healthiverse, yang diadakan buat julung kalinya.

Festival sepanjang dua hari itu yang bermula pada 5 Oktober dan diadakan di Hab Sukan Singapura, dihadiri Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Encik Tan Kiat How.

Menurut kenyataan NHG Health pada 5 Oktober, lebih 40,000 orang, terdiri daripada penduduk, kakitangan penjagaan kesihatan dan rakan kongsi masyarakat, menghadiri festival bersifat inklusif itu.

Acara itu merupakan susulan kepada Gerakan Sosial 15M NHG Health, yang menyasarkan untuk menambah sebanyak 15 juta tahun hayat sihat bagi penduduk yang menetap di daerah tengah dan utara Singapura, tambah kenyataan itu.

“Acara kesukanan ini menunjukkan komitmen kelompok (utara dan tengah) untuk membina jalinan sosial yang kukuh dan memastikan penduduk tidak kira usia dan keupayaan dapat turut serta dalam aktiviti gaya hidup aktif.

“Melalui Sukan Kesihatan 15M tahunan yang baru, penduduk boleh mengambil bahagian dalam aktiviti fizikal secara berkumpulan, berinteraksi dan menjalinkan hubungan antara satu sama lain.

“Ini sekali gus menjadikan kesihatan sebagai satu perjalanan bersama yang merentas generasi dan keupayaan,” tambah kenyataan itu lagi.

Lebih 80 pasukan dari 12 kawasan di daerah tengah dan utara Singapura bertanding bagi acara-acara sukan yang telah disesuaikan.

Antaranya ialah sukan bola lantai atau ‘floorball’ di mana kayu pemegang diubah suai dan mengambil kira maklum balas warga senja.

Menerusi maklum balas yang diterima, kayu ‘tic-tac floorball’ misalnya boleh diubah ukuran panjangnya, lantas memastikan ia bukan sahaja lebih mesra warga senja, bahkan membolehkan warga senja yang mengalami mobiliti terhad untuk mengambil bahagian.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) perkhidmatan penjagaan warga emas Blossom Seeds Limited, Cik Ong Siew Chin, berkata:

“Para warga emas (kelolaan kami) pada mulanya bimbang tentang keupayaan (untuk bermain) dan tahap keselamatan.

“Dengan melibatkan mereka dalam proses reka bentuk, kami dapat memahami keperluan mereka secara lebih baik, menerima maklum balas untuk mencipta dan berinovasi bersama.

“Melalui perkongsian yang bermakna ini, kami sangat teruja untuk membantu mencipta kayu bola lantai baru dan inovatif yang membuatkan permainan lebih selamat, lebih inklusif dan menyeronokkan.”

Ketua, Kesihatan Penduduk bagi NHG Health dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur NHG Healthiverse, Cik Ong Jing Fang, berkata acara sukan itu menyerlahkan sifat inklusif dan menggalakkan gaya hidup aktif “bagi pelbagai peringkat usia”.

“Apabila penduduk berlatih dan bermain (sukan) bersama-sama, kami berharap ia dapat membina masyarakat lebih sihat dan bahagia,” ujarnya.

Acara tersebut dianjurkan bersama NHG Health dan rakan kongsi seperti AWWA, Blossom Seeds, Politeknik Nanyang, Yayasan Home Nursing, Politeknik Republic dan TOUCH Community Services.

Ia turut disokong DesignSingapore Council dan Sports SG.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg