Topik diikuti
Pergi ke BHkuPakar: Kes Covid-19 masih terkawal, usah panik
Pakar: Kes Covid-19 masih terkawal, usah panik
Virus tular dalam fasa endemik; vaksinasi main peranan penting kekalkan perlindungan
Pakar: Kes Covid-19 masih terkawal, usah panik
Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) berkata jumlah anggaran kes Covid-19 meningkat kepada 12,700 kes pada minggu 10 hingga 16 Mei, berbanding 8,000 kes pada minggu sebelumnya.
Purata kemasukan harian ke hospital turut meningkat daripada 56 kepada 73 kes.
Perlukah bimbang dengan peningkatan kes?
Orang ramai perlu berwaspada, tetapi usah panik.
Peningkatan kes menunjukkan kekebalan terhadap virus semakin berkurangan dari semasa ke semasa.
Virus itu masih terus menular dalam fasa endemik dan keadaan itu boleh mendedahkan warga emas serta individu yang mempunyai masalah kesihatan kronik kepada risiko jangkitan.
Vaksinasi terus memainkan peranan penting dalam mengekalkan perlindungan.
Vaksin Covid-19 sedia ada masih berkesan dalam melindungi diri daripada varian yang sedang menular.
Saya menggalakkan orang ramai berbincang dengan doktor keluarga masing-masing untuk memahami risiko penyakit serius dan cara terbaik melindungi diri.
Perbezaan gelombang kali ini
Keadaan kali ini tidak seperti 2020.
Singapura turut mencatat peningkatan jangkitan pada Mei 2024 dan 2025, dan keadaan sama dilihat sekali lagi pada 2026.
Ini menunjukkan virus itu masih mudah berjangkit walaupun ramai mempunyai kekebalan hasil jangkitan semula jadi dan vaksinasi sebelum ini.
Ia mungkin berlaku disebabkan kekebalan daripada vaksin dan jangkitan lalu semakin berkurangan.
Data semasa daripada CDA juga tidak menunjukkan varian dominan ketika ini, NB.1.8.1 yang merupakan keturunan varian JN.1, lebih mudah merebak atau menyebabkan penyakit lebih serius berbanding varian terdahulu.
Bagaimanapun, varian NB.1.8.1 kini menyumbang lebih separuh daripada kes tempatan, menunjukkan virus itu terus bermutasi untuk mengelakkan perlindungan imuniti sedia ada.
Apa yang kita lihat sekarang ialah Covid-19 mula berfungsi seperti virus pernafasan endemik lain yang mempunyai gelombang berkala.
Selain jangkitan akut, terdapat juga bukti komplikasi selepas jangkitan, seperti kesan terhadap sistem kardiovaskular.
Sesetengah individu yang tidak mengalami gejala teruk juga boleh mengalami kesan tersebut.
Gejala biasa perlu diberi perhatian
Gejala varian NB.1.8.1 masih sama seperti jangkitan saluran pernafasan atas lain, termasuk hidung berair, sakit tekak, sakit kepala, demam dan ketidakselesaan pernafasan secara umum.
Saya sering memberitahu pesakit walaupun Covid-19 mungkin terasa seperti selesema biasa, ia tidak boleh dianggap tidak berbahaya atau tidak mudah berjangkit.
Jangkitan ringan pada individu sihat masih boleh merebak kepada ahli keluarga lain seperti datuk dan nenek yang sudah berusia atau saudara-mara yang lebih berisiko.
Jika anda tidak sihat, anda digalakkan duduk di rumah, elakkan tempat sosial dan dapatkan nasihat perubatan jika gejala bertambah buruk.
Langkah jika positif Covid-19
Mereka perlu mengelakkan diri daripada pergi ke tempat kerja, sekolah atau kawasan awam sehingga gejala benar-benar pulih.
Jika perlu keluar ketika masih bergejala, mereka perlu mengurangkan interaksi sosial, memakai pelitup muka, mengelakkan tempat sesak dan tidak bertemu individu berisiko seperti warga emas atau pesakit dengan sistem imun lemah.
Amalkan kebersihan seperti mencuci tangan dengan kerap dan menutup mulut serta hidung ketika batuk atau bersin.
Jika individu yang disahkan positif Covid-19 itu ialah warga emas, wanita hamil, individu imunokompromi iaitu mereka yang mempunyai sistem imun lemah seperti pesakit barah, penerima pemindahan organ atau individu yang mengambil ubat menekan imuniti, atau mempunyai penyakit sedia ada, mereka perlu berjumpa doktor lebih awal.
Mereka tidak seharusnya menunggu sehingga gejala menjadi lebih serius kerana mereka mungkin memerlukan pemantauan lebih rapi.
Perlukah pakai pelitup muka?
Tiada keperluan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka secara menyeluruh.
Bagaimanapun, memakai pelitup muka adalah langkah bijak dan mudah terutama di ruang tertutup yang sesak, klinik, pengangkutan awam atau ketika melawat warga emas dan individu berisiko.
CDA secara khusus mengesyorkan pemakaian pelitup muka apabila seseorang mengalami gejala pernafasan.
Bagi individu berisiko tinggi, ia adalah langkah mudah untuk mengurangkan pendedahan dan risiko penularan.
Warga emas, masalah kesihatan dan risiko
Ya, sememangnya.
CDA dan Kementerian Kesihatan (MOH) mengenal pasti individu berusia 60 tahun ke atas, penghuni pusat jagaan warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis atau penyakit jantung sebagai kumpulan berisiko tinggi untuk mengalami Covid-19 yang serius.
Ini penting kerana Covid-19 bukan sekadar jangkitan pernafasan.
Kajian menunjukkan jangkitan Covid-19 boleh meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular jangka panjang termasuk angin ahmar, gangguan rentak jantung, kegagalan jantung dan pembekuan darah.
Vaksin dapat mengurangkan risiko dijangkiti Covid-19 serta membantu mengurangkan kemungkinan mendapat komplikasi serius selepas jangkitan.
Oleh itu, kita perlu terus berwaspada dan melindungi diri sebaik mungkin daripada jangkitan Covid-19.
Perlu suntikan penggalak?
MOH terus mengesyorkan vaksin Covid-19 tahunan bagi individu berusia 60 tahun ke atas, individu berisiko tinggi berusia enam bulan ke atas dan penghuni pusat jagaan warga emas.
Individu yang layak disaran mengambil dos tambahan kira-kira setahun selepas dos terakhir atau sekurang-kurangnya lima bulan selepas dos sebelumnya.
Vaksin terkini direka untuk lebih sepadan dengan varian yang sedang menular dan mempunyai profil keselamatan yang setanding.
Vaksin itu juga diberikan secara percuma kepada penduduk yang layak.
Saya sangat menggalakkan orang ramai berbincang dengan doktor keluarga masing-masing mengenai vaksin.
Jika sah Covid-19
Langkah mudah masih berkesan.
Jika ada ahli keluarga yang tidak sihat atau menunjukkan gejala jangkitan pernafasan, tangguhkan perjumpaan keluarga, lawatan ke rumah datuk dan nenek atau saudara-mara berisiko, serta elakkan perjalanan yang tidak perlu.
Pastikan perjumpaan diadakan di kawasan dengan pengudaraan baik, kerap mencuci tangan, tidak berkongsi makanan atau peralatan makan ketika sakit dan memakai pelitup muka jika mempunyai gejala pernafasan.
Bagi keluarga yang mempunyai warga emas, memastikan vaksinasi mereka dikemas kini sebelum musim cuti sekolah atau kegiatan sosial yang lebih aktif, boleh membantu mengurangkan risiko penyakit serius.
Bilakah perlu dapat rawatan perubatan?
Kebanyakan kes ringan boleh pulih di rumah dengan rehat dan rawatan simptomatik.
Bagaimanapun, seseorang perlu mendapatkan rawatan jika gejala bertambah buruk, demam berpanjangan atau mengalami kesukaran bernafas dan sakit dada.
Jika pesakit ialah warga emas atau individu berisiko tinggi, mereka perlu mendapatkan rawatan lebih awal.
Walaupun hospital ketika ini masih mampu mengendalikan keadaan semasa, pemeriksaan awal tetap penting terutama bagi pesakit berisiko tinggi yang menunjukkan gejala semakin serius.
Mesej bagi elak panik
Ramai rakyat Singapura sudah belajar hidup bersama virus Covid-19 dan jangkitan ini.
Bagaimanapun, kita tidak boleh leka atau mengambil ringan terhadap virus tersebut.
Covid-19 kini menjadi sebahagian daripada kehidupan endemik.
Menguruskan virus endemik bermaksud mengamalkan tabiat sihat secara tekal dan bukan bertindak dalam keadaan panik.
Pendekatannya mudah iaitu lakukan langkah kecil lebih awal.
Duduk di rumah apabila sakit, pakai pelitup muka jika mempunyai gejala, lindungi warga emas dan pastikan vaksin tahunan dikemas kini jika anda tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi atau disyorkan mengambilnya.
Gelombang berkala seperti ini kini menjadi sebahagian daripada norma baharu dan memastikan imuniti sentiasa dikemas kini adalah cara kita melindungi golongan paling berisiko dalam masyarakat.
Penulis ialah Pakar Perubatan Keluarga dan Kesihatan Awam, Klinik Perubatan Mission (Hougang).
