Bayangkan anda sedang berdiri di hadapan Kaabah dengan hati penuh syukur.

Tetapi kaki pula berbunyi ‘krak krak’ macam pintu lama.

Usah risau, anda tidak keseorangan!

Ramai jemaah warga emas menghadapi cabaran fizikal semasa menunaikan haji.

Dengan sedikit persediaan, kita boleh kekal cergas dan dapat menikmati ibadah dengan lebih tenang.

Haji Itu Ibadah, Bukan Maraton

Secara jujur, ibadah haji melibatkan banyak kegiatan berjalan – kadangkala sehingga beberapa kilometer sehari. Tawaf, sai, perjalanan ke Mina, Arafah… semuanya memerlukan stamina.

Walaupun haji bukan pertandingan larian, badan tetap perlu berlatih sedikit demi sedikit agar ia tidak menghadapi ‘kejutan budaya’!

Mula Dari Rumah: Jalan Itu Ibadah

Tidak perlu terus mendaftar untuk menyertai marathon.

Mulakan dengan berjalan kaki di kawasan rumah dan menetapkan sasaran yang realistik contohnya dalam 20 hingga 30 minit sehari; tiga hingga lima kali seminggu.

Jika anda boleh berbual sambil berjalan tanpa tercungap-cungap, itu petanda baik.

Kalau anda boleh berjalan sambil mengadu tentang harga sayur yang naik – tahniah, anda sudah mencapai tahap ‘kardio santai’!

Senaman Ringkas Tapi Berkesan

Tidak perlu ke gimnasium mahal atau mendapatkan jurulatih peribadi.

Cuba naik turun tangga; duduk dan bangun dari kerusi tanpa bantuan tangan; serta buat regangan ringan setiap pagi.

Kalau bangun dari kerusi pun sudah rasa macam nak minta bantuan jiran, itu petanda sudah tiba masanya mulakan latihan!

Kekuatan Kaki Penting

Semasa haji, kaki bak ‘hero sebenar. Jaga kaki sebaik-baiknya.

Pakai kasut yang selesa dan kerap digunakan, bukan kasut baru yang masih keras.

Latih kaki dengan berjalan di permukaan berbeza – taman, laluan berbatu atau pusat beli-belah (ini alasan sah untuk ‘window shopping’ atau cuci mata).

Minum Air: Usah Tunggu Dahaga

Di Makkah dan Madinah, cuaca panas boleh menyebabkan dehidrasi dengan cepat. Jangan tunggu tekak kering baru minum air.

Pemakanan: Bukan Masa Diet Ekstrem

Ramai yang fikir nak kurus cepat sebelum haji. Hati-hati! Diet yang terlalu ketat boleh menyebabkan badan menjadi lemah.

Beri tumpuan pada protein (ikan, ayam, kekacang); sayur dan buah-buahan; dan kurangkan makanan terlalu manis dan berminyak.

Kalau nampak kuih lapis, boleh makan… tetapi jangan sampai pinggan pun ikut berlapis-lapis!

Sakit Kronik: Kawal, Usah Abaikan

Bagi yang ada kencing manis, darah tinggi atau sakit jantung, pastikan semua terkawal sebelum berangkat. Bawa ubat secukupnya.

Temui doktor awal untuk dapatkan pelan kesihatan. Ingatlah Tanah Suci, bukan ke zon ‘adventure extreme’ (pengembaraan ekstrem) tanpa persediaan.

Latih Mental: Sabar Itu ‘Otot’ Dalaman

Selain fizikal, mental juga perlu kuat. Haji melibatkan kesesakan, panas, dan kadangkala menguji kesabaran.

Latih diri untuk beratur tanpa merungut; tetap senyum walau orang lain potong barisan; dan tarik nafas panjang (ini juga kira senaman).

Rehat Sebahagian Daripada Ibadah

Jangan paksa diri. Cari masa beristirahat. Gunakan kerusi roda jika diperlukan – tiada siapa menilai, yang penting ibadah diterima.

Kadang-kadang, strategi terbaik bukan berhabis-habisan, tetapi tidak terburu-buru dan ia berterusan.

Hakikatnya, badan kita tidak sama seperti umur 25 tahun dahulu.

Lutut mungkin berbunyi, pinggang mungkin ‘membantah’, dan tahap stamina mungkin tidak setinggi mana.

Tapi jangan risau, Allah melihat segala usaha, bukan kelajuan kita berjalan.

Jika berjalan perlahan, kita punya lebih masa untuk berdoa.

Cergas Itu Bukan Sempurna

Menjadi ‘fit’ atau cergas untuk haji bukan bermaksud menjadi atlet Olimpik.

Ia bermaksud cukup kuat untuk melaksanakan ibadah dengan selesa, selamat, dan penuh khusyuk.

Mulakan dari sekarang. Sedikit demi sedikit. Jangan tunggu pada saat akhir.

Ingat kalau anda boleh berjalan dengan senyuman (walaupun dalam hati berkata “penatnya ya Allah”), itu sudah satu kemenangan besar.

Selamat berlatih dan semoga perjalanan anda dipermudahkan, langkah anda diberkati, dan setiap peluh yang keluar menjadi saksi usaha anda.

Perjalanan ke Tanah Suci, setiap langkah adalah ibadah.

Penulis ialah Presiden Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA) yang juga Pakar Perbidanan dan Sakit Puan di Pusat Pakar Pacific Healthcare.