Topik diikuti
Pergi ke BHkuPembedahan kecilkan buah dada tamatkan penderitaan bertahun
Pembedahan kecilkan buah dada tamatkan penderitaan bertahun
Selama bertahun-tahun, Cik Rebecca Ng Siew Li, terpaksa menanggung sakit leher, bahu dan belakang tanpa menyedari saiz buah dadanya yang besar menjadi antara punca masalah tersebut.
Wanita berusia 38 tahun itu turut menghadapi kesukaran melakukan kegiatan harian, termasuk berlari, bersukan dan mencari pakaian yang sesuai dengan bentuk tubuhnya.
Namun, kehidupannya berubah selepas menjalani pembedahan mengecilkan buah dada pada Disember 2024, yang bukan sahaja membantu mengurangkan kesakitan fizikal, malah meningkatkan keyakinan dirinya.
Ibu dua anak yang bekerja dalam industri insurans itu berkata masalah tersebut bermula sejak zaman persekolahan apabila saiz buah dadanya meningkat dengan cepat daripada saiz B kepada D ketika usia pertengahan belasan tahun.
Selepas melahirkan anak dan menyusukan bayi, saiz buah dadanya bertambah sehingga 36E.
Keadaan itu menyukarkannya melakukan kegiatan fizikal, terutama sukan yang memerlukan banyak pergerakan.
“Perkara mudah seperti berlari terasa hampir mustahil. Saya jarang berasa selesa melakukan kegiatan lasak kerana buah dada saya sentiasa menghalang pergerakan.
“Akhirnya, saya memilih untuk tidak menyertai kegiatan sedemikian bagi mengelakkan rasa tidak selesa,” katanya.
Selain kesukaran fizikal, Cik Ng turut berdepan ejekan mengenai bentuk tubuhnya sejak di bangku sekolah.
Beliau sering menjadi bahan gurauan rakan lelaki, terutama ketika mengikuti kelas pendidikan jasmani.
Walaupun berasa tersinggung, beliau memilih untuk ketawa bersama mereka kerana bimbang bantahan hanya akan menyebabkan ejekan bertambah buruk.
Pengalaman tersebut membuatkannya semakin berharap memiliki buah dada yang lebih kecil.
Masalah itu berterusan apabila beliau memasuki maktab rendah dan kemudian alam pekerjaan.
Beliau terpaksa membeli pakaian bersaiz besar bagi menyembunyikan bentuk tubuhnya, selain menghadapi kesukaran mendapatkan coli yang memberikan sokongan mencukupi.
Kebanyakan coli yang dipakainya perlu diimport kerana pilihan tempatan tidak sesuai, manakala tali coli yang tebal meninggalkan kesan tekanan pada bahunya.
Selepas melahirkan anak, beliau mula mengalami sakit leher, bahu dan belakang yang semakin mengganggu kehidupannya.
Bertahun-tahun beliau mendapatkan rawatan perubatan tradisional Cina untuk mengurangkan kesakitan tanpa mengetahui punca sebenar masalah itu.
Hanya selepas mencari maklumat mengenai gejalanya di Internet, beliau mula mengesyaki bahawa berat buah dadanya mungkin menyumbang kepada kesakitan tersebut.
Beliau turut mencuba diet dan senaman, namun usaha itu tidak berjaya mengurangkan saiz buah dada atau mengatasi kesakitannya.
Keputusan selepas selesai susukan anak
Cik Ng akhirnya mengambil keputusan menjalani pembedahan selepas anak keduanya selesai menyusu badan.
Beliau sebelum itu menangguhkan pembedahan kerana bimbang prosedur tersebut boleh menjejas keupayaannya menyusukan bayi.
Peluang mendapatkan rawatan muncul apabila beliau menemani seorang rakan berjumpa pakar bedah plastik, Dr Lee Hanjing, dari Argent Plastic Surgery di Hospital Mount Alvernia.
Pertemuan tersebut mendorongnya mendapatkan konsultasi sendiri.
Menurut Cik Ng, Dr Lee menjelaskan bahawa pengurangan saiz buah dada yang ketara diperlukan bagi membantu mengurangkan tekanan berpanjangan pada leher dan belakangnya.
Dalam pembedahan itu, sekitar 700 hingga 800 gram tisu buah dada dibuang, iaitu kira-kira 350 hingga 400 gram daripada setiap belah buah dada.
Oleh sebab prosedur tersebut dianggap perlu dari sudut perubatan dalam kesnya, sebahagian besar kos pembedahan ditanggung insurans.
Bagaimanapun, beliau mengakui tempoh pemulihan bukan sesuatu yang mudah.
Cik Ng dimasukkan ke hospital selama tiga hari dan perlu menggunakan alat saliran serta mesin sedutan khas bagi membantu proses penyembuhan.
Dua minggu pertama selepas pembedahan amat tidak selesa, manakala parut pembedahan mula terasa gatal pada minggu ketiga.
Beliau turut melakukan beberapa kegiatan lebih awal daripada yang disarankan doktor, termasuk menghadiri mesyuarat kerja secara dalam talian dan melancong ke Guangzhou, China, kira-kira tiga minggu selepas pembedahan.
Dr Lee tidak menggalakkan perjalanan udara terlalu awal selepas pembedahan kerana risiko pembekuan darah dalam saluran darah vena, boleh menyebabkan komplikasi serius pada paru-paru.
Menurut Cik Ng, beliau mengambil masa sekitar empat hingga enam minggu sebelum kembali pulih sepenuhnya.
Kembali aktif dan lebih yakin
Hasil pembedahan itu mula dirasainya sebaik sahaja sedar daripada prosedur tersebut apabila beban pada dadanya tidak lagi terasa.
Saiz buah dadanya berkurangan daripada 36E kepada 34C, membolehkannya bergerak dengan lebih selesa.
Kini, beliau bukan sahaja boleh berlari, malah mula bermain golf, kembali mengikuti taekwondo dan menyertai kelas senaman ‘pilates’.
Beliau juga lebih mudah mencari pakaian yang sesuai – sesuatu yang sebelum ini menjadi cabaran sepanjang hidupnya.
Perubahan tersebut turut meningkatkan keyakinannya di tempat kerja sehingga beliau mula menerima undangan menjadi penceramah.
Menurutnya, antara sebab wanita teragak-agak menjalani pembedahan mengecilkan buah dada termasuk tanggapan bahawa prosedur itu semata-mata untuk kecantikan, selain kebimbangan mengenai kos, kesakitan dan tempoh pemulihan.
Beliau menasihatkan wanita yang mengalami masalah serupa supaya mendapatkan penilaian pakar dan menyemak perlindungan insurans sekiranya pembedahan diperlukan atas sebab kesihatan.
Bagi Cik Ng manfaat terbesar bukan perubahan penampilan, sebaliknya kebebasan menjalani kehidupan tanpa kesakitan berterusan.
“Pembedahan ini benar-benar mengubah kehidupan saya. Saya tidak lagi hidup dengan kesakitan berterusan, manakala penampilan yang lebih baik hanyalah manfaat tambahan.
“Saya langsung tidak menyesali keputusan ini. Kalau ada satu perkara yang saya kesalkan, saya berharap saya menjalani pembedahan ini lebih awal,” katanya.