Topik diikuti
Pergi ke BHkuPembedahan teknik baharu beri harapan kepada pesakit Alzheimer
Pembedahan teknik baharu beri harapan kepada pesakit Alzheimer
Prosedur pertama di Asia Tenggara tunjuk peningkatan tingkah laku dan fungsi kognitif pesakit
Pembedahan teknik baharu beri harapan kepada pesakit Alzheimer
Satu prosedur pembedahan baharu yang diuji Hospital Besar Changi (CGH) menunjukkan hasil memberangsangkan dalam membantu memperbaiki gejala tingkah laku dan psikologi pesakit Alzheimer tahap ringan hingga sederhana.
Penyakit Alzheimer ialah penyakit otak yang menyebabkan kemerosotan daya ingatan, pemikiran dan fungsi kognitif secara beransur-ansur, serta merupakan bentuk demensia paling lazim dihidapi warga emas.
Pada 2025, CGH memulakan percubaan klinikal bagi prosedur dikenali sebagai pintasan limfatik-vena serviks untuk penyakit Alzheimer atau CLyVeB-AD-1 – iaitu pembedahan yang menyambungkan saluran limfa di bahagian leher kepada vena berhampiran bagi membantu otak menyingkirkan protein toksik yang dikaitkan dengan penyakit Alzheimer.
Prosedur itu mengubah suai teknik pembedahan pintasan limfatik yang sebelum ini digunakan untuk merawat limfedema, iaitu keadaan apabila cecair limfa terkumpul dan menyebabkan anggota badan seperti tangan atau kaki membengkak akibat saluran limfa tersumbat atau rosak.
Bagi rawatan Alzheimer, pakar bedah menyambungkan nodus limfa di bahagian leher kepada vena berhampiran bagi membantu meningkatkan aliran keluar sisa dari otak, termasuk protein amiloid dan tau yang boleh terkumpul serta merosakkan sel otak dan menjejas daya ingatan serta fungsi pemikiran pesakit.
Protein tau ialah sejenis protein semula jadi yang terdapat dalam sel-sel otak (neuron).
Fungsi utamanya adalah menstabilkan mikrotubul, iaitu struktur halus yang bertindak seperti ‘landasan’ atau ‘rangka’ dalam sel saraf.
Mikrotubul membantu mengekalkan bentuk sel dan mengangkut nutrien serta bahan penting dari satu bahagian neuron ke bahagian lain.
Proses itu berlaku melalui sistem glimfatik dan limfatik meningeal, iaitu rangkaian saliran semula jadi otak yang berfungsi membersihkan dan menyingkirkan bahan buangan serta protein toksik daripada otak melalui cecair badan
Penolong Profesor Klinikal Vincent Tay, Konsultan Perkhidmatan Pembedahan Plastik, Rekonstruktif dan Estetik CGH, berkata prosedur itu memberi harapan baharu kepada pesakit Alzheimer kerana pilihan rawatan sedia ada ketika ini masih terhad dan kebanyakannya hanya membantu memperlahankan gejala penyakit.
“Prosedur ini memberi peluang untuk kami menggunakan kepakaran pembedahan mikro limfatik bagi membantu pesakit Alzheimer yang sebelum ini mempunyai pilihan rawatan sangat terhad,” katanya.
Beliau yang juga penyiasat utama percubaan itu berkata pembedahan berkenaan berpotensi memperlahankan perkembangan penyakit selain meningkatkan mutu hidup pesakit dan mengurangkan beban keluarga.
Penolong Profesor Klinikal Jeremy Sun berkata prinsip pembedahan itu hampir sama dengan rawatan limfatik sedia ada, namun tumpuan rawatannya berbeza.
“Dengan menyambungkan struktur limfatik di leher kepada vena untuk meningkatkan sistem semula jadi otak membuang sisa, kami berpotensi membantu membersihkan protein toksik yang terkumpul dalam penyakit Alzheimer,” katanya.
Profesor Sun mengetuai perkhidmatan pembedahan plastik, rekonstruktif dan estetik CGH.
Perkembangan itu berlaku ketika kira-kira 100,000 penduduk Singapura hidup dengan demensia dan sekitar 70 peratus daripadanya menghidap Alzheimer.
Percubaan CGH itu mendapat kelulusan lembaga semakan institusi SingHealth dan turut didaftarkan dalam clinicaltrials.gov, pangkalan data kendalian Perpustakaan Perubatan Nasional Amerika Syarikat.
Setakat ini, empat pesakit wanita berusia antara 61 dengan 73 tahun yang menghidap Alzheimer tahap ringan hingga sederhana telah menjalani prosedur tersebut.
Dalam tempoh enam bulan selepas pembedahan, keputusan imbasan dan ujian makmal menunjukkan pengurangan protein toksik berkaitan Alzheimer dalam cecair serebrospinal, iaitu cecair yang mengelilingi otak dan saraf tunjang pesakit.
Pesakit turut menunjukkan peningkatan dalam ujian Pemeriksaan Status Mental Mini (MMSE) dan Penilaian Kognitif Montreal (MoCA), dua ujian standard untuk menilai fungsi kognitif.
Profesor Madya Adjung Lim Si Ching, penyiasat bersama percubaan itu berkata, seorang pesakit yang lama mengalami kemurungan dan keresahan dilihat menjadi lebih tenang selepas pembedahan.
Beliau berkata seorang lagi pesakit yang mengalami masalah pertuturan turut menunjukkan perubahan positif apabila menjadi lebih mesra dan mampu berkomunikasi dengan lebih baik.
Seorang anggota keluarga pesakit yang enggan dikenali berkata perubahan ketara dapat dilihat tidak lama selepas pembedahan dilakukan.
“Perubahan paling kami sedari ialah beliau mula bercerita tentang kisah lama yang kami sendiri sudah lupa.
“Kami juga melihat dia menjadi lebih ceria dan keupayaannya mengingati sesuatu semakin bertambah baik secara perlahan-lahan,” katanya.
Profesor Lim berkata walaupun penemuan itu masih di peringkat awal, ia memberi sinar harapan kepada keluarga pesakit Alzheimer.
Keempat-empat pesakit itu akan terus menjalani penilaian neuropsikologi, imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) dan tomografi pancaran positron (PET) serta analisis biopenanda darah sepanjang tempoh susulan dua tahun.
Menurut Profesor Tay, pihak penyelidik berharap dapat merekrut enam lagi pesakit pada 2026 sebelum memperluaskan kajian ke institusi lain dengan sasaran menambah 60 pesakit.
“Kita perlu melihat bagaimana keadaan pesakit berubah dan bagaimana kita boleh membantu mereka supaya benar-benar meraih manfaat maksimum daripada pembedahan ini,” katanya.
Perkembangan itu berlaku seiring kemunculan rawatan baharu seperti ubat lecanemab dan donanemab, yang bertindak membantu membersihkan protein amiloid yang terkumpul dalam otak – protein yang dipercayai menyumbang kepada kerosakan sel otak, kehilangan daya ingatan dan kemerosotan fungsi pemikiran pesakit Alzheimer.
Kedua-dua ubat itu diluluskan untuk digunakan di Singapura pada 2025.
Pada masa sama, saintis dari Universiti Monash di Australia dan Sekolah Perubatan Yale di Amerika Syarikat turut membangunkan peranti bukan invasif bagi meningkatkan saliran limfatik otak yang berpotensi digunakan untuk merawat angin ahmar dan Alzheimer.
Pasukan CGH berkata mereka akan terus memantau perkembangan teknologi dan rawatan baharu bagi mencari lebih banyak pilihan bagi membantu pesakit Alzheimer pada masa depan.
