Walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak cacar monyet atau ‘mpox’ sebagai kecemasan kesihatan awam global pada 14 Ogos, Kementerian Kesihatan (MOH) berkata risiko kesihatan awam Afrika itu merebak ke Singapura dikira rendah.
“Walaupun terdapat penyebaran rentas sempadan Clade I mpox yang berpotensi menjadi lebih teruk di bahagian Afrika Tengah dan Timur, wabak itu setakat ini kekal di dalam benua Afrika, tanpa kes Clade I yang dilaporkan dieksport keluar dari benua Afrika,” kata MOH pada 15 Ogos.
Sejak Januari, Singapura mempunyai 10 kes mpox yang disahkan MOH semuanya dari virus lebih ringan, dikenali sebagai Clade II.
Mpox menyebabkan gejala seperti flu dan luka berisi nanah pada badan.
Terdapat 32 kes di Singapura pada 2023, dan 18 kes pada 2022 sejak penyakit itu mula dilaporkan pada akhir bulan Jun 2022.
Sehingga kini, semua jangkitan yang dikesan di Singapura adalah jangkitan Clade II yang lebih ringan, kebanyakannya berlaku semasa wabak global pada 2022 hingga 2023.
Kini, subvarian Ib dikira lebih berbahaya berbanding strain Clade I.
Ini telah membimbangkan pakar kesihatan global kerana keupayaannya merebak dengan mudah melalui kontak yang rapat, termasuk hubungan seksual.
WHO kemudian mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global pada 14 Ogos untuk kali kedua dalam dua tahun.
Menurut laporan organisasi itu mengenai wabak mpox, terdapat peningkatan yang tidak pernah dilihat sebelum ini dalam bilangan negara di rantau WHO Afrika yang melaporkan kes dan wabak mpox dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Walaupun hampir kesemua kes mpox berada di Republik Demokratik Congo (DRC), wabak itu mengancam negara sempadan.
Burundi, Kenya, Rwanda dan Uganda telah melaporkan kes mpox pertama mereka, disebabkan oleh Clade Ib.
Kanak-kanak membentuk lebih daripada 70 peratus kes mpox dan 85 peratus kematian di DRC, di mana kadar kekurangan zat makanan yang tinggi menyebabkan kanak-kanak terdedah kepada jangkitan.
MOH berkata sistem penjagaan kesihatan Singapura mempunyai keupayaan untuk mengurus jangkitan mpox secara berkesan.
MOH juga telah memaklumkan semua pengamal perubatan dan institusi penjagaan kesihatan supaya berwaspada dalam mengesan dan melaporkan semua kes mpox, termasuk yang disyaki mempunyai jangkitan Clade I.
Untuk mengurangkan penularan, mereka yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang disahkan mempunyai mpox akan dikuarantin dan dipantau sehingga 21 hari dari tarikh kontak terakhir.
Kes pertama mpox di Singapura dikesan pada 2019 apabila seorang peniaga dari Nigeria mengalami demam, menggigil, sakit otot dan benjolan penuh nanah di seluruh badan.
Tiada penularan tempatan di Singapura ketika itu, dan tiada kes tempatan sehingga wabak mpox 2022.
Singapura mula melaporkan penyakit virus itu pada pertengahan 2022 berikutan wabak global apabila penyakit itu muncul di banyak negara – termasuk Amerika Syarikat, Australia dan Eropah – di mana ia tidak dikira sebagai endemik – yakni merujuk kepada penyakit atau wabak yang sentiasa wujud di sesuatu kawasan atau daerah tertentu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg