Seperti penyakit pernafasan endemik lain, lonjakan berkala dalam kes Covid-19 dijangka berlaku sepanjang tahun. Peningkatan semasa ini disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk penurunan imuniti dalam komuniti. Secara umum, terdapat empat sebab utama peningkatan kes ini.
Pertama, imuniti terhadap Covid-19 semakin berkurangan.
Kedua, virus telah bermutasi dan menembusi perlindungan daripada imuniti yang sedia ada sama ada daripada vaksin sebelumnya atau jangkitan terdahulu, yang kini hanya memberikan sedikit perlindungan terhadap varian baru.
Ketiga, kadar pengambilan vaksin Covid-19 yang rendah telah melemahkan imuniti kelompok, menjadikan virus lebih mudah merebak.
Keempat, kurangnya langkah perlindungan diri seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan selamat menyebabkan pertahanan terhadap virus menjadi minimum.
Di Singapura, varian utama yang kini beredar ialah F.7 dan NB.1.8 kedua-duanya berasal dari strain JN.1. Varian ini sebenarnya tidak lebih teruk daripada yang sebelumnya, tetapi ramai pesakit melaporkan gejala yang lebih teruk berbanding jangkitan terdahulu.
Ini kerana sebelum ini, tubuh dilatih dengan vaksinasi yang membantu mengurangkan gejala. Kini, ramai yang belum menerima vaksin terkini, menjadikan sistem imun tidak bersedia. Akibatnya, tubuh menganggap jangkitan ini sebagai jangkitan baru.
Walaupun masih disebut Covid-19, virus ini telah cukup berubah sehingga memerlukan tindak balas imun baru, iaitu pembentukan antibodi baru.
Penting untuk diketahui bahawa walaupun individu sihat masih berisiko dijangkiti SARS-CoV-2, beban penyakit yang serius banyak menimpa golongan warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan termasuk kanak-kanak dengan penyakit kronik.
Golongan rentan ini lebih cenderung dimasukkan ke hospital, ke unit rawatan rapi dan menghadapi kematian berkaitan Covid-19. Selain itu, ada juga individu yang telah sembuh daripada jangkitan akut tetapi masih mengalami simptom berpanjangan yang dikenali sebagai “long Covid” - keadaan yang boleh menjejaskan mutu hidup selama berbulan-bulan selepas sembuh.
Kajian juga menunjukkan bahawa walaupun kes tidak membawa maut, kemasukan ke hospital akibat Covid-19 kerap mengakibatkan kemerosotan fungsi dalam kalangan warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit asas. Ia menjejas kegiatan harian seperti untuk makan dan berjalan.
Mereka yang lebih tua sering tidak pulih sepenuhnya daripada penurunan fungsi ini, yang akhirnya memberi kesan jangka panjang terhadap kesihatan keseluruhan. Banyak daripada risiko ini dapat dikurangkan dengan memastikan mereka menerima vaksin Covid-19 yang terkini.
Selain komplikasi seperti radang paru-paru dan kemasukan ke hospital, penyelidikan dalam tempoh 4-5 tahun ini menunjukkan bahawa jangkitan Covid-19 membawa risiko kesihatan jangka panjang yang lebih meluas.
Kajian menunjukkan bahawa jangkitan Covid-19 meningkatkan risiko strok, kencing manis (termasuk diabetes gestasi), penurunan fungsi kognitif seperti kehilangan keupayaan intelek serta penurunan fungsi buah pinggang.
Risiko untuk mengalami penyakit neurodegeneratif baharu seperti Alzheimer dan Parkinson juga meningkat.
Semua ini memberi tekanan besar kepada keluarga dan sistem kesihatan dalam jangka panjang. Kanak-kanak dan orang dewasa juga berisiko mengalami ‘long Covid’, dengan anggaran risiko 5–6 peratus bagi setiap jangkitan.
Walaupun pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan, Kementerian Kesihatan (MOH) masih menasihatkan pemakaiannya di kawasan sesak terutama bagi golongan berisiko.
Amalan kebersihan diri yang baik tetap penting. Ini termasuk mencuci tangan dengan sabun dan air. Jika tidak ada, gunakan sanitasi tangan yang mengandungi sekurang-kurangnya 60 peratus alkohol.
Secara umum, orang ramai kini sudah letih dengan penjarakan selamat dan pemakaian pelitup muka yang berpanjangan. Setiap individu harus mengambil tanggungjawab keselamatan diri dengan memastikan vaksinasi mereka lengkap dan memakai pelitup muka apabila perlu.
Saya sangat mengesyorkan anda mendapatkan vaksin Covid-19 yang dikemas kini jika belum menerimanya. Perlindungan daripada vaksinasi atau jangkitan lama akan berkurangan dari masa ke masa.
Kajian mendapati bahawa keberkesanan vaksin akan menurun selepas 6 bulan dan hanya tinggal kurang daripada 30 peratus selepas 9 bulan dos kemas kini diberikan. Ini bermakna risiko jangkitan semula adalah nyata, dan setiap jangkitan boleh membawa kepada komplikasi yang lebih teruk, terutama bagi warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan.
MOH mengesyorkan supaya warga emas berusia 60 tahun ke atas, penghuni pusat jagaan warga emas, dan mereka berumur 6 bulan ke atas dengan masalah kesihatan menerima satu dos tambahan vaksin Covid-19 kira-kira setahun selepas dos terakhir mereka.
Vaksin terkini telah dirumus terhadap varian JN.1, yang berkait rapat dengan varian yang kini beredar di kawasan setempat.
MOH menasihatkan supaya pengembara berunding dengan profesional kesihatan sekurang-kurangnya 4 hingga 6 minggu sebelum berlepas untuk pemeriksaan kesihatan penuh, nasihat vaksinasi dan ubat-ubatan yang diperlukan.
Vaksin Covid-19 menggunakan teknologi mRNA untuk membantu tubuh membina imuniti terhadap virus, termasuk varian baru.
Saya sangat mengesyorkan supaya pengembara menerima dos penggalak sekurang-kurangnya dua minggu sebelum berlepas untuk perlindungan yang optimum. Vaksin Covid-19 boleh didapati di klinik SG Yang Lebih Sihat atau Healthier SG, klinik perubatan umum (GP) dan poliklinik terpilih.
Saya ingin menekankan bahawa walaupun ramai warga Singapura hanya mengambil penggalak Covid-19 sebelum mengembara, penting untuk kekal dilindungi walaupun ketika berada di rumah.
Vaksinasi yang diberikan pada waktu yang sesuai dapat membantu mencegah penyakit serius dan melindungi golongan rentan. Langkah ini juga mengurangkan risiko penularan kepada ahli keluarga anda.
Jika anda mengesyaki dijangkiti Covid-19, adalah disyorkan untuk melakukan ujian ART. Keputusan positif harus dianggap sebagai pengesahan jangkitan. Walaupun rawatan antivirus berkesan wujud, ia masih mahal.
Jika anda positif, doktor akan menilai keadaan anda dan memberikan ubat jika perlu. Ini penting untuk memastikan pesakit yang berisiko tinggi mendapat rawatan segera.
Seperti jangkitan pernafasan lain, amalkan kawalan kontak sosial yang bijak sehingga anda pulih sepenuhnya. Selepas simptom hilang, anda boleh menyambung semula aktiviti harian.
Walaupun fasa pandemik sudah berakhir, ‘Long Covid’ gejala yang berlanjutan lebih daripada empat minggu selepas jangkitan masih menjadi isu kesihatan awam. Gejala biasa termasuk keletihan, sesak nafas dan masalah kognitif.
Walaupun risiko ‘Long Covid’ berkaitan dengan keterukan penyakit dan jumlah jangkitan, ia juga boleh berlaku pada individu yang hanya mengalami gejala ringan atau tanpa gejala sama sekali. Pencegahan yang paling berkesan adalah dengan mengelakkan jangkitan Covid-19 sama sekali.
Pilihan yang paling selamat dan bertanggungjawab adalah untuk menangguhkan perjalanan anda jika disahkan positif. MOH amat tidak menggalakkan perjalanan semasa dijangkiti kerana ia boleh membahayakan kesihatan anda dan orang lain terutamanya jika simptom menjadi lebih teruk semasa perjalanan.
Adakah Sistem Kesihatan Bersedia Menghadapi Lonjakan Baru?
Sistem kesihatan Singapura sudah bersedia untuk menangani penyakit berjangkit, termasuk lonjakan kes Covid-19. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kapasiti hospital dan protokol telah diperkukuh, termasuk penubuhan Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) untuk menyelaras fungsi kesihatan awam seperti pemantauan, pencegahan dan tindak balas wabak.
Kita semua mempunyai peranan untuk melindungi kesihatan awam dan mengurangkan tekanan pada sistem kesihatan. Memastikan vaksinasi lengkap dan bertindak secara bertanggungjawab ketika sakit adalah kunci utama untuk menguruskan virus ini dengan berkesan sambil melindungi golongan yang paling rentan.
+ Penulis ialah tutor klinikal di Sekolah Perubatan Yong Loo Lin. Beliau merupakan ahli fakulti di Sekolah Perubatan Siswazah Duke-NUS dan masih mengekalkan jawatan tambahannya sebagai penolong profesor semasa bekerja di Hospital Mount Elizabeth Novena. Beliau kekal sebagai perunding pelawat di Hospital Besar Singapura, Pusat Kanser Nasional Singapura, dan Hospital Hospis Dover Park.
Peningkatan mendadak kes Covid-19 di beberapa kawasan Asia mengingatkan kita bahawa walaupun Covid-19 kini dianggap endemik, ia belum lenyap. Trend ini mencerminkan gabungan faktor seperti imuniti yang semakin berkurangan, varian yang terus berkembang, dan jurang dalam pengambilan vaksin terutamanya di kalangan mereka yang belum menerima vaksin Covid-19 terkini.
Ini juga menunjukkan bahawa persepsi awam telah berubah; ramai yang menganggap Covid-19 mudah diuruskan atau memandang rendah tahap keparahannya, yang membawa kepada keutamaan yang lebih rendah terhadap vaksinasi.
Sebagai penyakit endemik, virus penyebab Covid-19 terus beredar menyebabkan gelombang jangkitan sepanjang tahun. Kesan penyakit ini paling ketara dalam kalangan warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada.
Hal ini menunjukkan pentingnya pendidikan berterusan dan akses kepada vaksin, memastikan orang ramai memahami kepentingan vaksin terkini, bukan hanya semasa lonjakan kes tetapi juga sebagai sebahagian daripada penjagaan pencegahan rutin.
Terdapat penekanan yang kuat terhadap pengawasan awal, protokol kesihatan awam yang jelas, dan kerjasama antara sektor awam dan swasta untuk memastikan kesiapsiagaan. Apa yang lebih menggalakkan ialah banyak sistem kesihatan, termasuk di Singapura, kini menggabungkan vaksinasi Covid-19 ke dalam rangka kerja penjagaan rutin, seperti inisiatif Healthier SG, yang memastikan akses melalui rangkaian penjagaan primer.
Di Moderna, kami bekerjasama dengan doktor awam dan rangkaian penjagaan primer untuk menyokong inisiatif Pendidikan Perubatan Berterusan (CME) serta usaha pendidikan awam. Kerjasama ini menekankan kepentingan untuk terus berwaspada terhadap Covid-19 dan potensi komplikasinya.
Peranan industri hari ini bukan sekadar untuk menyediakan vaksin yang selamat dan berkesan tetapi juga untuk kekal tangkas dan responsif terhadap keperluan kesihatan awam yang cepat berubah.
Di Moderna, teknologi mRNA kami membolehkan kami menyesuaikan diri dengan pantas terhadap varian virus baru dan perubahan epidemiologi dengan ketepatan dan kelajuan. Ini membantu kami memastikan vaksin kami terus relevan dan berkesan dalam landskap kesihatan yang sentiasa berubah.
Kami komited untuk menyokong keputusan kesihatan yang bijak dengan bekerjasama rapat dengan profesional penjagaan kesihatan, pemimpin komuniti dan pekerja kesihatan bersekutu bagi mengukuhkan keyakinan terhadap vaksin.
Inisiatif kami tertumpu kepada meningkatkan pemahaman awam tentang kesan kesihatan Covid-19 dan meningkatkan kesedaran tentang sains di sebalik teknologi mRNA, membantu individu membuat keputusan yang termaklum berdasarkan maklumat yang jelas dan berasaskan bukti.
+ Penulis Naib Presiden, Hal Ehwal Perubatan, Asia Pasifik, Moderna
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg