Seperti yang diumumkan Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Penyakit Berjangkit (CDA), vaksinasi kini diwajibkan bagi menjaga kesihatan jemaah haji Singapura sepanjang perjalanan mereka di Arab Saudi.
Dengan jutaan orang dari seluruh dunia berhimpun dalam jarak dekat, risiko penularan penyakit berjangkit seperti influenza dan Covid-19 menjadi jauh lebih tinggi.
Covid-19 juga sedang meningkat di beberapa bahagian Asia dan terus berkembang dengan kemunculan varian baru.
Menerima vaksinasi Covid-19 yang terkini dapat membantu mengurangkan risiko jatuh sakit teruk semasa dalam perjalanan.
Ibadah haji sering digambarkan sebagai salah satu perhimpunan paling padat di dunia dengan kepadatan sehingga 9 orang bagi setiap meter persegi.
Perhimpunan besar seperti itu boleh mempercepat penularan penyakit berjangkit seperti virus pernafasan yang disebarkan melalui titisan pernafasan dan sentuhan dengan permukaan tercemar, terutama apabila langkah pencegahan tidak dipatuhi.
Malah, dilaporkan bahawa jangkitan saluran pernafasan adalah amat lumrah semasa musim haji, dengan radang paru-paru (pneumonia) menjadi antara punca utama pesakit masuk hospital dalam kalangan jemaah.
Namun begitu, terdapat vaksin yang boleh melindungi daripada sebahagian virus pernafasan itu.
Sebagai contoh, vaksin Covid-19 terkini yang lebih sepadan dengan varian yang sedang menular kini tersedia.
Individu yang sihat turut berisiko dijangkiti penyakit saluran pernafasan dalam persekitaran sesak seperti semasa ibadah haji.
Selain risiko pendedahan yang tinggi, jangkitan penyakit ketika menunaikan haji boleh membawa kesan serius.
Akses kepada rawatan perubatan yang pantas dan mencukupi mungkin terjejas disebabkan oleh halangan bahasa, kekangan logistik, serta tekanan tinggi terhadap sistem kesihatan tempatan.
Penyakit ringan yang lazimnya sembuh sendiri boleh menjadi semakin teruk dan memerlukan rawatan lanjut, sekali gus menjejas kelancaran ibadah serta meningkatkan risiko kerumitan, khususnya dalam kalangan warga emas atau individu yang mempunyai masalah kesihatan yang tidak diketahui.
Vaksinasi sebelum perjalanan memberikan perlindungan tambahan dengan mengurangkan kemungkinan jangkitan, mengurangkan tahap keterukan penyakit dan membantu mencegah penularan kepada anggota jemaah lain serta anggota keluarga selepas pulang.
Vaksin mRNA, seperti vaksin Covid-19, sedang mengubah pendekatan dalam pencegahan penyakit.
Para saintis kini berupaya menghasilkan vaksin dengan lebih cepat dan berpotensi menyasarkan pelbagai varian virus secara serentak.
Beberapa vaksin yang sedang diuji juga menawarkan perlindungan terhadap kedua-dua influenza dan Covid-19, serta menunjukkan tindak balas imun yang kuat.
Ini berpotensi menghasilkan vaksin selesema yang lebih sepadan dengan varian yang sedang menular, dan mungkin membawa kepada satu suntikan menyeluruh bagi perlindungan jangka panjang pada masa hadapan.
Selain itu, vaksin mRNA bukan sahaja boleh dihasilkan dengan pantas, membolehkan tindak balas segera terhadap kemunculan virus pernafasan baru, malah terbukti selamat.
Vaksin itu berfungsi merangsang sistem imun untuk mengenal pasti dan melawan virus jika terdedah kepadanya pada masa akan datang.
Vaksin influenza mengandungi virus influenza yang telah dilemahkan atau tidak lagi aktif.
Ia membantu tubuh menghasilkan antibodi terhadap varian yang dijangka menular.
Jika seseorang itu terdedah kepada virus sebenar selepas itu, sistem imun akan ‘mengingati’ virus tersebut dan bertindak balas dengan pantas untuk memusnahkannya.
Ini sekali gus mencegah jangkitan atau sekurang-kurangnya mengurangkan tahap keterukannya.
Penyakit meningokokus, yang boleh menyebabkan meningitis berbahaya dan jangkitan dalam aliran darah, kekal sebagai ancaman serius semasa ibadah haji, dengan sejarah wabak yang pernah dikaitkan dengan perhimpunan ini.
Vaksin meningokokus yang diwajibkan terbukti berkesan dalam mencegah penularan penyakit tersebut sepanjang musim haji dan secara ketara mengurangkan kes jangkitan.
Oleh itu, amat penting untuk terus berwaspada dan mendapatkan vaksin itu bagi melindungi diri sendiri serta jemaah lain sepanjang pelaksanaan ibadah.
MOH mengesyorkan agar jemaah berunding dengan penyedia penjagaan kesihatan empat hingga enam minggu sebelum berlepas untuk penilaian kesihatan, termasuk nasihat berkaitan vaksinasi.
Tempoh itu memastikan semua vaksinasi yang diperlukan dapat dijadual dan disempurnakan dengan teratur sebelum berangkat.
Suntikan Covid-19 sebaiknya diambil sekurang-kurangnya dua minggu sebelum berangkat, bagi memastikan vaksin sempat memberi perlindungan penuh.
Perancangan awal membantu memastikan diri dilindungi sepenuhnya sepanjang perjalanan, terutama dalam suasana berisiko tinggi dan sesak seperti ibadah haji.
Jatuh sakit akibat influenza atau Covid-19 semasa menunaikan haji boleh membawa kesan serius, bukan sahaja kepada jemaah itu sendiri, bahkan juga kepada individu di sekeliling.
Bagi jemaah warga emas atau berisiko tinggi, Covid-19 boleh menyebabkan masalah pernafasan yang teruk, terutama bagi mereka yang belum divaksin.
Ramai juga tidak menyedari jangkitan itu boleh membawa kepada komplikasi seperti serangan jantung dan angin ahmar.
Walaupun hospital di Arab Saudi menyediakan rawatan, mendapatkannya di negara asing boleh menjadi pengalaman mencabar disebabkan oleh perbezaan bahasa dan kos perubatan.
Jemaah yang jatuh sakit mungkin terpaksa berehat di penginapan atau dikuarantin di kemudahan kesihatan, sekali gus berisiko terlepas peluang menyempurnakan ibadah haji dan berpisah daripada rombongan.
Terdapat juga risiko penularan penyakit dalam kalangan penghuni penginapan atau kumpulan jemaah lain, yang boleh mengubah perjalanan ibadah itu menjadi isu kesihatan awam yang serius.
Salah satu faedah utama memastikan semua jemaah menerima vaksinasi ialah mengurangkan risiko membawa pulang jangkitan ke Singapura.
Jemaah yang telah divaksin mempunyai risiko yang lebih rendah untuk dijangkiti influenza atau Covid-19 semasa haji.
Ini amat penting bagi keluarga pelbagai generasi, kerana terdapat risiko menjangkiti anggota keluarga lebih tua atau kanak-kanak kecil selepas pulang dari tanah suci.
Jemaah warga emas dan mereka yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit jantung, masalah paru-paru kronik atau sistem imun yang lemah mempunyai risiko lebih tinggi mengalami gejala serius akibat jangkitan saluran pernafasan seperti influenza, Covid-19 dan penyakit meningokokus.
Bagi kumpulan itu, vaksinasi amat penting kerana:
+ Penyakit saluran pernafasan boleh menyebabkan kerumitan yang mungkin memerlukan rawatan hospital.
+ Akses kepada rawatan perubatan semasa ibadah haji mungkin terhad disebabkan permintaan tinggi dan sistem kesihatan yang berbeza daripada biasa.
Doktor juga mungkin akan mencadangkan vaksin tambahan bagi kumpulan itu, seperti vaksin pneumokokus dan/atau vaksin virus pernafasan sinsitium (RSV), yang melindungi daripada jangkitan paru-paru serius.
Sebaik-baiknya, jemaah berbincang lebih awal dengan penyedia penjagaan kesihatan bagi memastikan semua vaksin yang disyorkan telah diambil sebelum berangkat.
Penulis Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit di klinik, Infectious Diseases Care Pte Ltd.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg