Perubatan NUS perkenal program ijazah bersepadu kejururawatan-informatik

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perubatan NUS perkenal program ijazah bersepadu kejururawatan-informatik

Feb 27, 2026 | 4:33 PM

Perubatan NUS perkenal program ijazah bersepadu kejururawatan-informatik

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Perubatan, NUS, program ijazah bersepadu, kejururawatan-informatik 
(Dari kiri) Jururawat kanan Hospital Alexandra, Encik Leo Wong; Timbalan Ketua Pendidikan Sarjana Muda Kejururawatan NUS, Profesor Madya Lydia Lau; dan Penolong Pengarah Kejururawatan Informatik NUH, Cik Theresa Samy, bergambar bersama pada 24 Februari. - Foto ZAOBAO

Dengan peralihan pantas ke arah penjagaan kesihatan digital dan dipacu kecerdasan buatan (AI), Sekolah Perubatan Yong Loo Lin Universiti Nasional Singapura (Perubatan NUS) telah memperkenalkan program baru ijazah kejururawatan-informatik bersepadu.

Ini bagi melengkapkan jururawat dengan peranan profesional dan kepimpinan yang diperluas dalam landskap yang berkembang.

Ditawarkan oleh Pusat Pengajian Kejururawatan Alice Lee (Kejururawatan NUS) di bawah Perubatan NUS, program ijazah serentak itu akan menggabungkan program kepujian Sarjana Muda Sains dalam Kejururawatan sedia ada dan Sarjana Sains dalam Informatik Bioperubatan.

Kurikulum itu akan menyatukan pendidikan kejururawatan profesional dengan informatik bioperubatan.

Ia juga merangkumi topik seperti analisis data dan sokongan keputusan klinikal; reka bentuk dan pengurusan sistem maklumat kesihatan; serta etika, privasi dan keselamatan siber dalam penjagaan kesihatan digital.

Program sepenuh masa selama empat setengah tahun itu menyambut kohort pertamanya melibatkan kira-kira 20 pelajar pada Ogos.

Program baru itu dilancarkan pada 27 Februari sempena majlis perasmian Forum Cendekiawan Kejururawatan Asia Timur 2026 yang diadakan di Pusat Kebudayaan Universiti NUS.

Dianjurkan oleh Kejururawatan NUS, persidangan tentang bagaimana data dan teknologi membentuk semula amalan kejururawatan dan penyampaian penjagaan kesihatan itu disertai lebih 1,800 cendekiawan kejururawatan, pendidik dan pemimpin penjagaan kesihatan dari lebih 34 negara.

Program baru itu menawarkan pelajar dua pengkhususan: Analitik dan pengurusan hospital.

Sebagai sebahagian program sarjana, pelajar akan belajar bersama individu daripada bidang lain seperti kesihatan bersekutu, pengkomputeran dan kejuruteraan.

Dalam satu kenyataan, Perubatan NUS menyatakan ini mencerminkan sifat silang disiplin pasukan penjagaan kesihatan moden.

“Melangkaui laluan kerjaya tradisional dalam amalan klinikal, pendidikan, penyelidikan dan pengurusan, informatik kejururawatan meluaskan rangkaian peranan profesional yang tersedia untuk jururawat dengan ketara,” kata sekolah perubatan itu.

“Lulusan akan memperoleh kepakaran berganda dalam penjagaan dan teknologi, membolehkan mereka berkhidmat sebagai jururawat sambil turut mengambil peranan baru seperti pakar informatik klinikal, pengurus projek kesihatan digital, perunding pelaksanaan rekod kesihatan elektronik dan penganalisis data penjagaan kesihatan,” tambahnya.

Dalam Belanjawan 2026 pada 12 Februari, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengenal pasti penjagaan kesihatan sebagai salah satu daripada empat sektor utama yang menyaksikan pembangunan dan penggunaan penyelesaian AI akan menjadi tumpuan di bawah misi AI nasional.

Program baru itu adalah untuk pelajar kejururawatan yang juga mempunyai minat terhadap teknologi dan mahukan laluan kerjaya lebih luas, kata Profesor Madya Lydia Lau, Timbalan Ketua Pendidikan Sarjana Muda di Kejururawatan NUS.

Beliau menambah, lulusan akan dapat “mengaplikasikan teknologi secara bermakna kepada penjagaan pesakit, menyumbang kepada reka bentuk sistem dan bertindak balas dengan yakin terhadap tuntutan amalan penjagaan kesihatan yang sentiasa berubah”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg