Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jururawat terus gali ilmu walau punya pengalaman tiga dekad

Terima pengiktirafan melalui beberapa anugerah atas dedikasi, kecekapan semasa bertugas
Aug 29, 2025 | 2:31 PM
jururawat, Kartina Ismail
Jururawat Utama Berdaftar (PEN) di Hospital Khoo Teck Puat, Cik Kartina Ismail, menonjolkan komitmen pembelajaran secara berterusan selepas mendapati jurang pengetahuannya dalam bidang protokol trauma dan campur tangan kecemasan. - Foto BH oleh KHALID BABA

Ada kalanya, hanya satu peristiwa sudah cukup untuk mengorak langkah perubahan dalam kehidupan seseorang.

Bagi Cik Kartina Ismail, 53 tahun, detik itu berlaku ketika beliau menyaksikan seorang kanak-kanak dikejarkan ke jabatan kecemasan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Meski berbekal ilmu dan kemahiran kejururawatan asas, pengalaman itu menjadi pengajaran betapa dirinya kurang bersedia untuk menghadapi situasi kritikal sedemikian.

“Saya sedar bahawa walaupun kemahiran asas saya kukuh, masih wujud jurang pengetahuan dalam protokol trauma dan campur tangan kecemasan yang saya perlu kuasai,” jelasnya.

“Dalam persekitaran seperti di jabatan kecemasan di mana keadaan pesakit boleh berubah dalam sekelip mata, jururawat perlu sentiasa mengukuhkan kemahiran serta menyesuaikan diri dengan amalan dan panduan klinikal yang terkini,” ujar Cik Kartina, yang diisytiharkan sebagai jururawat berlesen pada 1993.

Lantas, beliau memulakan perjalanan pembelajaran sepanjang hayat demi meningkatkan mutu penjagaan yang diberikan dalam kerjayanya sebagai jururawat.

Antara latihan yang diikutinya termasuk Kursus Lanjutan Perubatan dan Pembedahan, Reka Bentuk Pemikiran dalam Penjagaan Kesihatan, serta Perubatan Geriatrik Kecemasan (GEM).

Hasil komitmen berterusan itu, antara pengiktirafan yang diterimanya termasuk Anugerah Kecemerlangan Jururawat Kementerian Kesihatan (MOH) di bawah naungan Penjagaan Kesihatan Nasional (NHG) pada 2025.

Beliau juga telah diberikan Pingat Kepujian (Covid-19) dan Pingat Kecekapan Hari Kebangsaan.

Menurut Cik Kartina, setiap kursus yang diikutinya bukan sekadar memperkukuh kecekapan klinikal, malah turut membina keyakinan diri, pemikiran kritikal serta keupayaan membuat keputusan secara cekap dan pantas.

“Saya percaya bahawa pembelajaran tidak seharusnya berhenti di bangku sekolah.

“Sebagai jururawat, kita perlu sentiasa peka terhadap perubahan teknologi, prosedur dan garis panduan baru agar dapat memberikan rawatan yang bermutu serta berteraskan belas ihsan,” tambah beliau, yang kini menyandang jawatan Jururawat Utama Berdaftar (PEN) di Jabatan Rawatan Akut dan Kecemasan di Hospital Khoo Teck Puat (KTPH).

Kursus-kursus itu juga mendorongnya menjadi jururawat yang bersikap inovatif, sentiasa berfikir dan penyayang, yang mampu mengambil kira keperluan pesakit secara keseluruhan.

Semangat itu juga membimbing pendekatan beliau sebagai mentor kepada jururawat pelatih, Pembantu Perkhidmatan Jagaan (CSA) serta kakitangan kejururawatan lain.

Pengalaman Jururawat Utama Berdaftar di Hospital Khoo Teck Puat, Cik Kartina Ismail (kanan), dimanfaatkan melalui peranannya sebagai mentor untuk melatih dan memupuk kemahiran dalam kalangan jururawat pelatih dan kakitangan sokongan lain.
Pengalaman Jururawat Utama Berdaftar di Hospital Khoo Teck Puat, Cik Kartina Ismail (kanan), dimanfaatkan melalui peranannya sebagai mentor untuk melatih dan memupuk kemahiran dalam kalangan jururawat pelatih dan kakitangan sokongan lain. - Foto BH oleh KHALID BABA

“Melihat mereka berkembang dari segi keyakinan dan kecekapan kerja amat memuaskan bagi saya.

“Saya rasa bertuah kerana diberi peluang untuk membimbing generasi penjaga masa depan dalam memupuk empati, semangat kerjasama, dan profesionalisme.

“Apabila saya melihat pesakit sembuh atau jururawat muda yang saya bimbing mampu berdikari, itu memberi saya kepuasan yang sukar digambarkan.

“Itulah ganjaran sebanar saya dalam bidang kerjaya ini,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg