KAHIRAH: Piala Dunia Fifa 2026 bukan sekadar kejohanan bola sepak terbesar dalam sejarah dengan penyertaan 48 pasukan.

Di Timur Tengah dan Afrika Utara (Mena), kejohanan itu turut menjadi pentas persaingan pengaruh politik, pembinaan imej negara serta lambang perpaduan terhadap Palestin.

Buat kali pertama, sembilan negara dari rantau Mena layak ke Piala Dunia, mencerminkan peningkatan pengaruh rantau itu dalam bola sepak antarabangsa.

Namun, di sebalik kejayaan di atas padang, setiap pasukan membawa naratif politik dan sosial yang berbeza.

Maghribi misalnya sedang memanfaatkan kejayaan bola sepak untuk memperkukuh imej negara menjelang penganjuran bersama Piala Dunia 2030.

Pemerintah sedang membina stadium dan prasarana baharu dengan harapan kejayaan sukan mampu meningkatkan keyakinan rakyat serta meredakan rasa tidak puas hati, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Iran pula berdepan cabaran berbeza.

Walaupun dikenali sebagai kuasa tradisi bola sepak Asia, penyertaannya kali ini dibayangi konflik ketenteraan dengan Amerika Syarikat dan Israel, menjadikan setiap aksi pasukan kebangsaan turut dipengaruhi perkembangan geopolitik.

Qatar dan Arab Saudi pula menggunakan pelaburan besar dalam industri bola sepak sebagai sebahagian strategi meningkatkan pengaruh antarabangsa.

Qatar membuktikan kemampuannya melalui penganjuran Piala Dunia 2022, manakala Arab Saudi bakal menjadi tuan rumah edisi 2034 selepas melabur berbilion dolar dalam liga domestik, kelab Eropah dan pemain bertaraf dunia.

Di Mesir, bola sepak turut mempunyai dimensi politik yang besar.

Ketika negara itu bergelut dengan tekanan ekonomi, kejayaan pasukan kebangsaan dilihat mampu meningkatkan semangat rakyat dan memberi kelebihan politik kepada pemerintah Presiden Encik Abdel Fattah al-Sisi.

Namun, perlawanan Mesir menentang Argentina dalam pusingan 16 terbaik memperlihatkan bagaimana bola sepak boleh berubah menjadi lambang identiti serantau.

Perhatian awal tertumpu kepada dakwaan bahawa beberapa keputusan pengadil memihak kepada Argentina.

Namun, reaksi masyarakat Arab selepas perlawanan menunjukkan isu yang lebih besar daripada kemenangan atau kekalahan.

Di media sosial, penyokong dari Mauritania hingga Oman memberikan sokongan luar biasa kepada Mesir, termasuk mereka yang sebelum ini lantang mengkritik rekod hak asasi manusia pemerintah Mesir.

Fenomena itu dianggap luar biasa kerana penyokong bola sepak Arab biasanya terbahagi kepada dua kelompok besar, iaitu penyokong Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo.

Kesetiaan terhadap kedua-dua bintang itu sering mengatasi sokongan kepada negara tertentu.

Namun, apabila Mesir berdepan Argentina, ramai penyokong Messi sendiri memilih untuk berdiri bersama Mesir.

Perubahan itu menunjukkan bahawa identiti Arab masih mampu mengatasi perbezaan politik dan kesetiaan kepada individu.

Penganalisis berpendapat perkara itu turut memperlihatkan kegagalan usaha sesetengah pemerintah yang cuba membentuk identiti nasional secara terasing daripada rantau Arab.

Walaupun negara Arab mempunyai kepentingan politik berbeza, sokongan kepada Mesir membuktikan hubungan sejarah, bahasa, budaya dan agama masih menjadi ikatan yang kukuh.

Faktor utama yang mengukuhkan sokongan itu ialah pendirian jurulatih Mesir, Hossam Hassan, terhadap Palestin.

Selepas Mesir menewaskan Australia untuk mara ke pusingan 16 pasukan terbaik, Hassan mengibarkan bendera Palestin di tengah padang dan mendedikasikan kemenangan itu kepada rakyat Mesir serta Palestin.

“Kemenangan ini untuk rakyat Mesir dan Palestin,” katanya.

Beliau kemudian mengulangi sokongan tersebut dalam sidang media sebelum menentang Argentina.

“Saya menyeru masyarakat dunia supaya menyokong rakyat Palestin dan menghentikan penderitaan mereka,” katanya.

Kenyataan itu mendapat pujian meluas di dunia Arab kerana dibuat ketika Gaza terus berdepan krisis kemanusiaan akibat peperangan.

Di Gaza sendiri, penduduk berkumpul berhampiran runtuhan kediaman mereka untuk menyaksikan perlawanan Mesir menentang Argentina menerusi skrin besar.

Perlawanan berkenaan lebih daripada sekadar acara sukan.

Ia menjadi lambang hubungan erat antara rakyat Mesir dengan Palestin, selain mengingatkan bahawa isu Palestin terus menjadi agenda bersama masyarakat Arab.

Ramai pemerhati di media sosial berpendapat tindakan Hassan mengibarkan bendera Palestin jauh lebih bermakna daripada keputusan perlawanan itu sendiri.

Bagi mereka, tindakan tersebut menunjukkan bola sepak masih mampu menjadi wadah untuk menyuarakan isu kemanusiaan.

Pada masa sama, kekalahan Mesir turut membuka ruang kepada perbincangan mengenai keadaan politik dalam negara itu.

Bekas tahanan politik dan keluarga individu yang masih dipenjarakan menyatakan simpati kepada pasukan kebangsaan, namun menggunakan momentum itu untuk mengingatkan rakyat mengenai isu hak asasi manusia di Mesir.

Peguam hak asasi manusia terkenal, Encik Gamal Eid, mempersoalkan mengapa kemarahan rakyat terhadap keputusan pengadil tidak diterjemahkan kepada bantahan terhadap layanan terhadap tahanan politik.

“Mengapa kemarahan terhadap keputusan bola sepak begitu besar, tetapi tidak terhadap ketidakadilan yang berlaku di penjara?” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Pada masa sama, rakyat Mesir yang tinggal di luar negara mempersoalkan mengapa mereka tidak dapat pulang meraikan kejayaan pasukan kebangsaan bersama keluarga di tanah air.

Bagi pemerhati, keadaan itu membuktikan bahawa bola sepak sering mencerminkan realiti politik sesebuah negara.

Di Barat, ramai berpendapat sukan perlu dipisahkan daripada politik.

Namun, pendirian itu sering dipersoalkan apabila negara Eropah menggunakan kejohanan sukan selepas pencerobohan Russia ke atas Ukraine untuk menunjukkan perpaduan kepada rakyat Ukraine.

Di dunia Arab pula, sukan sejak sekian lama dilihat sebagai sebahagian daripada identiti politik dan sosial.

Piala Dunia 2026 membuktikan bahawa walaupun rantau Arab berdepan pelbagai konflik dan perpecahan politik, masih wujud isu yang mampu menyatukan masyarakatnya. – Agensi berita.