DOHA: Piala Dunia Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) 2026 yang sedang berlangsung di Amerika Syarikat, Canada dan Mexico memperlihatkan bagaimana sukan, khususnya bola sepak, kini bukan sekadar pertandingan di padang, bahkan merupakan medan persaingan ekonomi, diplomasi dan pengaruh antarabangsa.

Kejohanan edisi 2026 menjadi Piala Dunia pertama yang menampilkan 48 pasukan dan dianjurkan bersama tiga negara, sekali gus menjadikannya acara bola sepak terbesar dalam sejarah moden.

Bagi rantau Teluk, khususnya Arab Saudi, Qatar dan Amiriah Arab Bersatu (UAE), perkembangan itu memberi isyarat jelas bahawa sukan kini semakin penting sebagai alat kuasa lembut dan strategi negara.

Jika Piala Dunia 2026 menjadi contoh bagaimana negara besar menggunakan bola sepak untuk menjana pelancongan, pelaburan dan imej antarabangsa, rantau Teluk pula sedang membina modelnya sendiri.

Qatar sudah melakukannya melalui Piala Dunia 2022, manakala Arab Saudi kini bersiap menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034.

Penyelidik di Pusat Kajian Teluk, Cik Amnah Mosly, dalam analisisnya bertajuk, Sukan di Teluk: Antara Transformasi Domestik dan Unjuran Dasar Luar, berkata negara-negara Teluk kini menggunakan sukan sebagai alat pembangunan ekonomi dan pengaruh antarabangsa.

Sukan di Teluk katanya kini memainkan dua peranan utama iaitu sebagai pemacu transformasi domestik dan sebagai alat unjuran dasar luar.

Menurut beliau, negara Teluk tidak lagi melihat sukan sebagai hiburan semata-mata.

Sebaliknya, ia menjadi sebahagian daripada strategi ekonomi, pembangunan belia, pembinaan identiti nasional dan pengaruh diplomatik.

“Negara seperti Arab Saudi, Qatar dan UAE mengiktiraf kegunaan dwisukan sebagai pemangkin pembangunan dalaman dan sebagai wahana pengaruh luar,” tulis Cik Amnah.

Piala Dunia 2026 juga memberi pengajaran penting kepada Teluk.

Dengan 48 pasukan, lebih banyak perlawanan, lebih ramai penyokong dan lebih besar nilai penyiaran serta penajaan, kejohanan itu membuktikan bola sepak sejagat semakin berkembang sebagai industri raksasa.

Akhbar The Guardian melaporkan Piala Dunia 2026 sudah mencatat pencapaian besar dari segi kehadiran penyokong, dengan format 48 pasukan menarik budaya peminat yang lebih pelbagai dari seluruh dunia.

Namun, pengembangan itu turut mencetuskan perdebatan.

Ada pihak melihatnya sebagai langkah terangkum kerana memberi peluang kepada lebih banyak negara, termasuk negara kecil dan pasukan bukan pilihan, untuk bersaing di pentas tertinggi.

Ada pula yang menganggapnya terlalu didorong pertimbangan komersial.

Bagi negara Teluk, khususnya Arab Saudi, kesan paling penting daripada Piala Dunia 2026 adalah saiz dan kerumitan penganjuran acara mega.

Riyadh perlu melihat bukan sahaja jumlah stadium atau kehadiran peminat, malah, bagaimana kejohanan sebegitu boleh memberi kesan limpahan kepada hotel, pengangkutan, runcit, keselamatan, teknologi, media dan imej negara.

Penganalisis geopolitik sukan, Profesor Simon Chadwick, dari Sekolah Perniagaan Emlyon, di Perancis, menyifatkan sukan moden sebagai ruang pertemuan antara kuasa, politik, wang dengan kepentingan negara.

Dalam konteks Teluk, pandangan itu penting kerana pelaburan sukan Arab Saudi bukan berlaku secara terpisah, tetapi sebahagian daripada usaha lebih besar untuk membentuk kedudukan baharu negara itu dalam ekonomi sejagat.

Arab Saudi menjadikan Visi 2030 sebagai asas strategi sukannya.

Matlamatnya adalah mengurangkan pergantungan kepada minyak, mempelbagaikan ekonomi dan meningkatkan mutu hidup rakyat.

Dalam kerangka itu, sukan digunakan untuk menjana pelancongan, menarik pelaburan, mewujudkan pekerjaan dan membentuk masyarakat lebih aktif.

Strategi Riyadh jelas kelihatan melalui pengambilalihan Newcastle United oleh Dana Pelaburan Awam (PIF), pelancaran LIV Golf, pelaburan dalam e-sukan melalui Savvy Gaming Group serta penganjuran acara besar seperti Formula Satu Grand Prix Arab Saudi, WWE Crown Jewel dan kejohanan tenis antarabangsa.

Di peringkat domestik, Arab Saudi turut memperkukuh liga bola sepaknya dengan membawa masuk bintang dunia, memodenkan kelab seperti Al-Hilal, Al-Nassr, Al-Ittihad dan Al-Ahli, serta merancang pembinaan dan naik taraf stadium menjelang Piala Dunia 2034.

Cik Amnah menulis bahawa Arab Saudi menjangkakan industri sukan menyumbang AS$16.5 bilion ($21.3 bilion) setiap tahun kepada Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) menjelang 2030, bersamaan kira-kira 1.5 peratus GDP.

Qatar pula menjadi contoh awal bagaimana acara mega boleh mengubah profil sebuah negara kecil. Penganjuran Piala Dunia 2022 membolehkan Doha mempercepat pembangunan prasarana, meningkatkan pelancongan dan meletakkan dirinya sebagai jambatan antara Timur dengan Barat.

Menurut data yang dipetik Cik Amnah, jumlah pelawat ke Qatar meningkat 157 peratus pada pertengahan 2023 selepas Piala Dunia, manakala jumlah keseluruhan pelawat pada tahun itu melebihi empat juta orang.

Penganalisis Teluk, Dr Kristian Coates Ulrichsen, dari Institut Baker bagi Dasar Awam, Universiti Rice, di Houston, Texas, Amerika Syarikat, melihat negara Teluk sedang menyesuaikan diri dengan kedudukan baharu dalam sistem sejagat.

Ia termasuk melalui instrumen bukan ketenteraan seperti ekonomi, tenaga, pelaburan dan sukan.

Dalam erti kata lain, sukan menjadi cara bagi negara Teluk menunjukkan kemampuan mereka bukan sahaja sebagai pengeksport minyak, bahkan sebagai pusat pelancongan, hiburan, teknologi dan diplomasi antarabangsa.

Namun, strategi itu tidak bebas daripada kritikan.

Tuduhan ‘sportswashing’ terus menghantui negara Teluk, khususnya Arab Saudi dan Qatar, iaitu istilah yang merujuk kepada usaha sesebuah negara menggunakan acara sukan besar, pemilikan kelab atau pelaburan dalam industri sukan bagi memperbaiki imej antarabangsa dan mengalihkan perhatian daripada isu hak asasi manusia, kebebasan bersuara atau rekod politik mereka.

Pengkritik mendakwa pelaburan besar dalam sukan digunakan untuk mengalihkan perhatian daripada isu hak asasi manusia, pekerja migran, kebebasan politik dan jurang sosial.

Isu kelestarian juga menjadi cabaran besar.

Penganjuran acara mega di negara beriklim panas memerlukan penggunaan tenaga, air dan sistem penyejukan yang besar.

Pengalaman Qatar 2022 menunjukkan bagaimana isu pekerja asing dan alam sekitar boleh menjadi tumpuan antarabangsa.

Arab Saudi sedar Piala Dunia 2034 akan diperhatikan dengan lebih kritikal.

Selepas Qatar 2022 dan Piala Dunia 2026, ukuran kejayaan bukan lagi sekadar penganjuran lancar, bahkan, sama ada acara itu benar-benar meninggalkan manfaat jangka panjang kepada masyarakat.

Di sinilah Piala Dunia 2026 memberi kesan tidak langsung kepada Teluk.

Ia menetapkan piawai baharu dari segi skala, logistik dan nilai komersial.

Arab Saudi perlu membuktikan bahawa model Piala Dunia 2034 bukan hanya projek imej, malah, sebahagian daripada transformasi ekonomi dan sosial yang lebih mendalam.

Cik Amnah berhujah bahawa sukan di Teluk kini menjadi pemangkin perubahan.

Ia membentuk ekonomi baharu, membuka ruang kepada penyertaan wanita, menggalakkan belia, memperkukuh identiti nasional dan memperluas hubungan antarabangsa.

Piala Dunia 2026 bukan sekadar kejohanan semasa.

Ia menjadi cermin masa depan sukan sejagat dan petunjuk kepada cabaran yang menanti rantau Teluk.

Dari Qatar 2022 ke Amerika Utara 2026 dan seterusnya Arab Saudi 2034, bola sepak kini menjadi medan baharu kuasa lembut, persaingan ekonomi dan pembentukan imej negara.

Bagi Teluk, sukan bukan lagi permainan. Ia adalah strategi negara. – Agensi berita.