Topik diikuti
Pergi ke BHkuDetik bersejarah Canada belasah Qatar 6-0 dibayangi kecederaan serius
Detik bersejarah Canada belasah Qatar 6-0 dibayangi kecederaan serius
Pemain tengah, Ismael Kone, cedera semasa berebut bola dengan pemain Qatar
Detik bersejarah Canada belasah Qatar 6-0 dibayangi kecederaan serius
VANCOUVER: Kecederaan serius yang dihadapi pemain tengah Canada, Ismael Kone, bukan sahaja menyebabkan pengurus, Jesse Marsch, mengalirkan air mata, malah ia turut meragut kegembiraan skuad tersebut yang mencatat kemenangan sulung dalam pusingan akhir Piala Dunia.
Ini selepas skuad negara penganjur bersama kejohanan itu membelasah Qatar 6-0 yang beraksi dengan sembilan orang pemain.
Ketika pasukan tersebut mendahului 3-0 di Stadium BC Place Vancouver, dan mempunyai kelebihan bilangan pemain, kekasaran antara pemain Qatar, Assim Omer Madibo, dengan Kone tercetus semasa perebutan bola.
Insiden tersebut menyebabkan perlawanan dihentikan agak lama sebelum pemain Canada itu diusung keluar.
Madibo pada asalnya dilayangkan kad kuning, namun ia ditukar kepada kad merah selepas campur tangan Video Pembantu Pengadil (VAR).
Meskipun mengalami kecederaan serius, ketika nama Kone dilaungkan oleh penyokong Canada, bekas pemain tengah Watford itu sempat duduk dan melambaikan tangan ketika diusung ke tepi padang sambil menyedut ubat penahan sakit.
Canada kini mempunyai peluang untuk melangkah ke pusingan kalah mati, namun kecederaan Kone menjadi tamparan hebat buat prospek pasukan itu untuk mara lebih jauh melangkaui pusingan 32 terakhir.
Pencapaian yang sepatutnya menjadi detik bersejarah buat Canada itu berubah suram menyusuli kecederaan teruk Kone.
Pemain Canada, Cyle Larin, membuka tirai jaringan menerusi penyudah jarak dekat pada minit ke-16, sebelum Jonathan David menjaringkan gol pertama daripada hatriknya 13 minit kemudian.
Qatar kemudian dilayangkan kad merah pertama daripada dua kad merah mereka apabila Homam El Amin dibuang padang akibat kekasaran terhadap penyerang Canada, Tajon Buchanan, pada minit ke-33.
David menambah gol kedua peribadinya pada masa kecederaan separuh pertama.
Kesan daripada kecederaan Kone terus dirasai pada babak kedua.
Apabila Nathan Saliba membuat rembatan menerusi sepakan percuma untuk membawa kedudukan kepada 4-0 pada minit ke-63, beliau meraikannya dengan mengangkat jersi Kone.
Tindakan Saliba itu disambut dengan sorakan gemuruh daripada penyokong.
Canada menambah gol kelima ketika perlawanan berbaki 15 minit apabila pemain Qatar, Mohammad Al Mannai, tersilap langkah lalu menendang bola sepakan Jacob Shaffelburg ke gawang sendiri.
David melengkapkan hatrik hebatnya pada masa kecederaan selepas menyambar hantaran Buchanan sebelum melepaskan rembatan padu menewaskan penjaga gol Qatar, Mahmoud Abunada.
Kemenangan enam gol itu menyaksikan Canada kini menerajui Kumpulan B – berkongsi mata sama dengan Switzerland, namun mempunyai kelebihan tiga gol.
Canada bakal menentang Switzerland di Vancouver pada 8.00 malam, 24 Jun (3 pagi, 25 Jun waktu Singapura), dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.
Pada masa yang sama, Qatar akan menentang Bosnia di Seattle, Amerika Syarikat. – Agensi berita.
