Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Program kenali bidang jagaan kesihatan bagi pelajar prauniversiti diadakan awal Dis

Dec 2, 2025 | 6:38 PM
Peserta yang menyertai Program Pendekatan Penjagaan Kesihatan Muslim (MHOP) 2025 akan diberi pendedahan tentang pelbagai laluan kerjaya dalam bidang kesihatan, termasuk pengalaman praktikal melalui reruai aktiviti, sesi perkongsian bersama karyawan penjagaan kesihatan, dan peluang pengalaman bekerja bersama karyawan penjagaan kesihatan Muslim.
Peserta yang menyertai Program Pendekatan Penjagaan Kesihatan Muslim (MHOP) 2025 akan diberi pendedahan tentang pelbagai laluan kerjaya dalam bidang kesihatan, termasuk pengalaman praktikal melalui reruai aktiviti, sesi perkongsian bersama karyawan penjagaan kesihatan, dan peluang pengalaman bekerja bersama karyawan penjagaan kesihatan Muslim. - Foto MHOP

Pelajar yang sedang mempertimbangkan kerjaya dalam bidang penjagaan kesihatan tetapi tidak pasti dari mana hendak bermula boleh mengetahui lebih lanjut tentang sektor tersebut dalam acara dua hari yang diadakan di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Program Pendekatan Penjagaan Kesihatan Muslim (MHOP) 2025 dianjurkan oleh pelajar penjagaan kesihatan dari NUS, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), dan Institut Teknologi Singapura (SIT), dengan kerjasama Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA).

Berlangsung pada 6 dan 7 Disember, MHOP 2025 adalah inisiatif tahunan yang dikendalikan oleh pelajar untuk membimbing pelajar prauniversiti Muslim mengenai pelbagai laluan kerjaya dalam bidang kesihatan.

Ini di samping memberi mereka pandangan praktikal tentang proses permohonan universiti, sesi temuduga, dan kehidupan sebagai pelajar.

Pada hari pertama, peserta akan mengikuti sesi perkongsian bersama karyawan penjagaan kesihatan, yang bakal menyentuh aspek penting seperti cara menemukan minat dan menetapkan matlamat diri dalam bidang kesihatan, memahami amanah dalam kerjaya tersebut, serta memupuk ‘Tawakkal dalam Ketidakpastian’.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Ketua Program MHOP 2025, Cik Alisha Insyirah Jasni, berkata program sedemikian seharusnya membantu pelajar memperolehi pemahaman yang lebih mendalam tentang apa yang merangkumi kerjaya penjagaan kesihatan.

Mengambil kira tahap pendedahan pelajar prauniversiti mengenai bidang berkenaan, beliau menjelaskan:

“Melalui acara yang dirancang dengan teliti, saya bersama pasukan penganjur MHOP 2025 berharap pelajar dapat memperolehi pemahaman yang mendalam tentang apa yang terdapat dalam kerjaya dalam bidang kesihatan.

“Ini supaya mereka dapat membuat keputusan sendiri sama ada mereka sesuai untuk laluan tersebut atau tidak.

“Saya rasa MHOP dapat merapatkan jurang pemahaman ini.”

Selain meraih pengetahuan teori, peserta juga berpeluang berkunjung ke reruai kegiatan praktikal yang membolehkan mereka mencuba beberapa prosedur perubatan asas.

Pada hari kedua, peserta akan menjalani sesi yang memberi tumpuan kepada aspek kemahiran permohonan kursus di universiti dan biasiswa.

Ini seperti cara menulis pernyataan peribadi, persediaan hadapi temuduga, dan memperkaya portfolio.

“Aktiviti ini bukan sahaja mempersiapkan mereka untuk temuduga di universiti, bahkan turut membantu pelajar menjadi lebih terbuka apabila berkongsi dan memantulkan idea daripada rakan sebaya mereka,” kongsi Cik Alisha, yang juga sedang mengikuti pengajian Perubatan di NUS.

Program bimbingan juga akan ditawarkan selepas acara tersebut, di mana peserta dipadankan dengan mahasiswa penjagaan kesihatan semasa untuk membimbing mereka sepanjang proses permohonan universiti.

Sementara itu, MHOP juga menawarkan peluang job shadowing, atau pengalaman kerja dengan mengikuti seorang karyawan penjagaan kesihatan Muslim dalam tugasan harian mereka.

Ini bagi memberikan gambaran menyeluruh tentang skop kerja serta cabaran yang mungkin dihadapi, dalam mengalami sendiri realiti pekerjaan dalam sistem penjagaan kesihatan Singapura.

Pelajar yang berminat perlu mendaftar sebelum 6 Disember ini melalui tinyurl.com/mhop2025signup.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg