Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rangka kerja akan dilakar bagi tingkat piawai pakar kesihatan mental

Jawatankuasa antara agensi dijangka umum butiran jelang 2026
Mar 29, 2025 | 5:48 PM
Rangka kerja pendaftaran itu akan membolehkan tindakan diambil terhadap ahli psikologi yang berlaku salah atau mereka yang secara palsu mendakwa sebagai ahli psikologi berdaftar, kata Dr Janil. 
Rangka kerja pendaftaran itu akan membolehkan tindakan diambil terhadap ahli psikologi yang berlaku salah atau mereka yang secara palsu mendakwa sebagai ahli psikologi berdaftar, kata Dr Janil.  - Foto fail

Pakar psikologi yang melanggar peraturan serta mereka yang menyamar sebagai ahli psikologi berdaftar, akan diambil tindakan di bawah satu rangka kerja pendaftaran baru untuk meningkatkan piawai karyawan kesihatan mental.

Sebuah jawatankuasa antara agensi, yang akan menjalankan perundingan mengenai rangka kerja itu pada lewat 2025, dijangka menyelesaikan tugasnya menjelang 2026.

Ia kini sedang mentakrifkan keperluan untuk pendaftaran, lapor The Straits Times.

Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Dr Janil Puthucheary, memberikan maklumat terkini itu pada 29 Mac, semasa simposium kesihatan mental yang julung kali diadakan oleh Persatuan Psikologi Singapura (SPS) di YWCA Fort Canning.

Semasa perbahasan Belanjawannya pada Mac, Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan bahawa Singapura akan berusaha mendaftarkan ahli psikologi, di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat terhadap keselamatan pelanggan dalam sektor yang tidak dikawal.

“Rangka kerja pendaftaran itu akan mewujudkan garis panduan yang jelas mengenai gelaran yang dilindungi dan skop perkhidmatan.

“Yang penting, ia akan merangkumi mekanisme penguatkuasaan untuk mengambil tindakan terhadap ahli psikologi yang berlaku salah atau mereka yang secara palsu mendakwa sebagai ahli psikologi berdaftar bagi memastikan orang ramai dilindungi daripada amalan yang tidak dibenarkan,” kata Dr Janil.

Beliau menegaskan bahawa ahli psikologi memainkan peranan yang diperluaskan, bukan sekadar menyediakan perkhidmatan kesihatan mental.

Golongan karyawan ini juga menyumbang di sekolah, agensi perkhidmatan masyarakat dan di tempat kerja, dengan tugas mereka memberi kesan yang mendalam kepada kesejahteraan individu, keluarga dan masyarakat.

Dengan tumpuan yang meningkat pada kesihatan mental dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat keperluan untuk perlindungan tambahan.

“Pendaftaran akan memberikan lebih kejelasan dan jaminan. Ahli psikologi yang ingin menjalankan tugas di Singapura perlu memiliki kelayakan yang ditetapkan. Mereka perlu dapat menunjukkan pengalaman klinikal tertentu untuk memenuhi piawaian tersebut. Dan piawaian ini akan dirujuk kepada penanda aras antarabangsa,” kata Dr Janil.

Beliau berkata MOH mengambil berat tentang implikasi jangka pendek dan jangka panjang yang dibawa oleh langkah pendaftaran kepada profesion itu.

Sebagai permulaan, pendaftaran akan memberi tumpuan kepada mereka yang menyediakan penjagaan pesakit secara langsung, melakukan penilaian dan campur tangan dengan risiko yang lebih tinggi, dan bekerja merentasi pelbagai sektor.

Jawatankuasa itu akan bekerjasama dengan SPS untuk menganjurkan sesi perundingan pada separuh kedua 2025.

Ini adalah untuk mendapatkan maklum balas mengenai cadangan keperluan pendaftaran itu dan cabaran operasi yang dijangkakan.

“Perkongsian dan maklum balas ini akan membantu kami menentukur piawaian untuk pendaftaran, serta merangka rancangan untuk menyokong perusahaan ini bagi mengurangkan gangguan kepada perkhidmatan psikologi yang penting,” kata Dr Janil.

“Kami tahu bahawa khidmat yang anda sediakan adalah penting kepada pelanggan dan pesakit anda, yang ada kini dan masa depan, serta keluarga mereka. Kami mahu memastikan anda boleh berbuat demikian dan terus melakukannya dengan baik,” kata beliau kepada hadirin.

Dr Syed Harun Alhabsyi, pengarah perubatan The Starfish Clinic of Psychiatry and Mental Wellness, berkata: “Saya fikir ini adalah satu langkah ke hadapan untuk memastikan setiap orang yang menyokong keperluan pesakit kami dikawal selia. Ia satu rangka kerja ke arah menambah baik golongan bidang kesihatan mental secara keseluruhan, dan untuk meneruskan pembelajaran sepanjang hayat karyawan dalam golongan ini.”

Dr Syed Harun ialah mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) yang meletak jawatan di Parlimen pada 14 Februari, mencetuskan spekulasi bahawa beliau mungkin bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) akan datang, yang perlu diadakan menjelang November.

Namun, beliau enggan bercakap mengenai isu berkaitan GE2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg