Lapan penyedia teleperubatan telah disiasat atau sedang disiasat atas ketidakpatuhan dalam penjagaan klinikal serta memaparkan iklan perkhidmatan yang tidak sesuai, kata Menteri Negara Kanan (Kesihatan), Dr Janil Puthucheary, di Parlimen pada 7 Januari.
Tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap tiga penyedia, termasuk Klinik MaNaDr, tambah Dr Janil.
Klinik MaNaDr didapati menjalankan lebih 100,000 konsultasi teleperubatan yang hanya berlangsung selama satu minit atau kurang.
Kementerian Kesihatan (MOH) menarik lesen klinik itu pada 20 Disember, lapor The Straits Times.
Menjawab soalan di Parlimen mengenai sama ada terdapat penyedia teleperubatan lain yang tidak beretika selepas kes MaNaDr, Dr Janil berkata lapan penyedia teleperubatan sedang disiasat atas ketidakpatuhan dalam dua kategori.
Yang pertama adalah dalam penjagaan klinikal, seperti doktor mengeluarkan preskripsi dan sijil perubatan tanpa penilaian klinikal yang tepat atau tidak menjalankan konsultasi video untuk pesakit kali pertama.
Yang kedua adalah iklan yang tidak sesuai, seperti mempromosikan penggunaan perkhidmatan teleperubatan yang tidak perlu.
Tindakan yang diambil termasuk penangguhan sementara dan amaran tegas, bergantung kepada tahap pelanggaran, kata Dr Janil.
Selain itu, pengamal perubatan telah dirujuk kepada Majlis Perubatan Singapura bagi menyiasat kemungkinan pelanggaran standard profesional.
Semakan oleh majlis tersebut sedang dijalankan.
Beliau tidak menyebut nama penyedia lain kerana siasatan masih berlangsung.
Pada 2024, MOH menerima 59 aduan mengenai teleperubatan yang melibatkan 20 penyedia.
Terdapat beberapa pemegang lesen yang terlibat dan “beberapa konsultasi teleperubatan yang sangat singkat,” kata Dr Janil, sambil menambah bahawa kementerian sedang berusaha untuk menentukan angka yang tepat.
Beliau menegaskan bahawa konsultasi teleperubatan pendek tidak semestinya salah jika ia melibatkan pesakit biasa, sesi susulan, atau jika maklumat yang diperlukan telah diperoleh.
“Kami perlu melihat keseluruhan penjagaan klinikal yang diberikan dan memastikan ia sesuai.
Bukan teleperubatan itu yang salah, tetapi sama ada penjagaan klinikal yang betul telah diberikan melalui kaedah ini,” kata Dr Janil.
Menjawab soalan mengenai penyalahgunaan teleperubatan untuk mendapatkan sijil perubatan dengan mudah, Dr Janil berkata tingkah laku tidak sesuai itu juga boleh berlaku dalam pertemuan secara langsung.
Berkaitan penyalahgunaan teleperubatan, MOH menilai pelbagai aspek, termasuk jumlah pesakit dan justifikasi untuk sijil perubatan atau rawatan terapeutik lain.
“Pada akhirnya, adakah penilaian yang betul telah dibuat? Dan adakah rawatan – sama ada ubat, pemeriksaan, atau sijil perubatan – sesuai dengan keadaan perubatan yang dikenal pasti dan didokumenkan dengan betul?”
Dr Janil berkata teleperubatan memberi manfaat besar kepada pesakit, terutama yang tidak boleh bergerak atau memerlukan rawatan susulan, menjadikannya lebih mudah diakses dan selesa.
“Namun, seperti mana-mana model perkhidmatan baru, akan ada penyalahgunaan, terutama pada peringkat awal.
“MOH akan mengambil tindakan penguatkuasaan yang perlu, supaya amalan terbaik menjadi kebiasaan,” kata beliau.
Orang ramai boleh mengemukakan sebarang persoalan mengenai teleperubatan melalui e-mel di moh_qsm@moh.gov.sg.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg