Kejadian penyakit arteri koronari kian meningkat di Singapura.
Menurut Yayasan Jantung Singapura, penyakit jantung, khususnya CAD, merupakan antara punca utama kematian di negara ini.
Pada 2022, penyakit kardiovaskular menyebabkan 31.4 peratus daripada semua kematian di Singapura, dengan CAD memainkan peranan ketara dalam angka itu.
Pelbagai faktor menyumbang kepada peningkatan tersebut.
Singapura mencatat salah satu kadar penghidap tertinggi di Asia Tenggara, dengan 13.7 peratus daripada penduduk menghidap penyakit itu berbanding kadar serantau sebanyak 8.5 peratus.
Kencing manis memainkan peranan penting dalam perkembangan penyakit arteri koronari (CAD).
Kencing manis boleh menyebabkan CAD khususnya melalui paras gula darah tinggi yang berpanjangan, yang merosakkan saluran darah dan saraf yang mengawal jantung.
Kerosakan itu kemudian menyumbang kepada perkembangan aterosklerosis, iaitu keadaan yang melibatkan pembentukan plak lemak pada dinding arteri.
Pesakit kencing manis lazimnya mengalami aterosklerosis yang lebih meluas, sekali gus meningkatkan tahap penyempitan salur darah dan risiko kejadian kardiovaskular.
Tambahan pula, faktor gaya hidup seperti kurangnya kegiatan fizikal dan pengambilan diet tinggi lemak masih berleluasa dalam kalangan masyarakat.
Peningkatan kadar obesiti turut meningkatkan risiko gejala metabolik, menjadikannya satu kebimbangan kesihatan awam yang ketara di Singapura.
Obesiti menyumbang kepada penyakit arteri koronari terutama melalui mekanisme seperti peningkatan pembentukan plak dalam arteri, yang seterusnya membawa kepada aterosklerosis.
Tisu lemak berlebihan yang dikaitkan dengan obesiti boleh menghasilkan bahan keradangan, yang mungkin menyumbang kepada keradangan dan penyempitan arteri.
Obesiti juga kerap dikaitkan dengan faktor risiko lain bagi CAD, termasuk tekanan darah tinggi, paras kolesterol tinggi, rintangan insulin dan gangguan fibrinolisis atau pembekuan darah yang seterusnya memburukkan risiko kardiovaskular.
Singapura juga menghadapi isu penduduk yang semakin menua, dengan unjuran menunjukkan bahawa menjelang 2030, kira-kira seorang daripada empat rakyat Singapura akan berumur 65 tahun ke atas.
Ini merupakan peningkatan ketara berbanding seorang daripada 10 pada 2010.
Pada masa ini, hampir 20 peratus daripada penduduk sudah berada dalam kumpulan umur ini, mewakili peningkatan ketara 11.7 peratus dalam dekad lalu.
Penduduk yang menua dengan pantas menyumbang kepada peningkatan CAD disebabkan beberapa faktor yang saling berkait.
Apabila usia meningkat, faktor risiko untuk mendapat CAD seperti darah tinggi, dislipidemia atau ketidakseimbangan paras lemak dalam darah dan kencing manis menjadi lebih lazim.
Kita sedang menyaksikan peralihan ke arah demografi lebih muda.
Penyakit arteri koronari yang berlaku dalam kalangan individu berumur kurang daripada 45 tahun dikenali sebagai CAD muda.
Sebuah audit nasional baru-baru ini mengenai angioplasti akut di Singapura menunjukkan peningkatan ketara dalam kalangan pesakit muda berumur 30 hingga 40 tahun sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.
Ia juga ketara dalam kumpulan umur 40 hingga 50 tahun.
Walaupun majoriti pesakit yang memerlukan pemasangan sten atau campur tangan koronari melalui kulit (PCI) masih berada dalam lingkungan umur 50-an dan 60-an, peningkatan dalam kalangan pesakit muda semakin ketara dan tidak boleh diabaikan.
Kajian terkini menunjukkan kadar kejadian penyakit CAD dalam kalangan individu muda berada pada paras 1.2 peratus.
Dari segi etnik, kaum Asia Selatan khususnya etnik India mempunyai risiko lebih tinggi mengalami CAD pada usia muda, dengan kadar antara 5 dengan 10 peratus.
Faktor risiko biasa seperti merokok, kencing manis, darah tinggi, obesiti, dan sejarah keluarga kekal ketara dalam kalangan pesakit CAD muda, sama seperti dalam penduduk lebih berusia.
Namun begitu, kadar kemunculan faktor risiko itu cenderung berbeza dalam kalangan individu muda, dengan tabiat merokok dikenal pasti sebagai faktor paling lazim dikaitkan dengan kumpulan tersebut.
Walaupun merokok secara tradisinya merupakan faktor risiko utama, langkah yang dilaksanakan oleh pihak pemerintah berjaya mengurangkan kadar merokok secara beransur-ansur.
Garis panduan rawatan dan berbeza mengikut usia, tahap penyakit
Matlamat utama rawatan adalah untuk mencegah perkembangan penyakit dan serangan jantung akut atau dikenali dengan istilah biasa untuk ‘infarksi miokardium akut’ atau ringkasnya AMI dan juga angin ahmar.
Kami mengikuti garis panduan khusus dalam pengurusan CAD, yang berbeza mengikut sama ada kes melibatkan CAD kronik atau keadaan akut.
Pesakit yang menunjukkan gejala akan menjalani lebih banyak ujian berbanding mereka yang tidak bergejala.
Petunjuk utama untuk saringan termasuk penilaian faktor risiko dan penilaian gejala.
Saringan untuk CAD adalah keutamaan, dan saranan berbeza mengikut jantina dan usia.
Saringan bagi lelaki bermula lebih awal pada usia 35 hingga 40 tahun, manakala bagi wanita, saringan adalah sekitar umur 45 hingga 50 tahun, disebabkan oleh kesan perlindungan estrogen sebelum putus haid.
Saringan memberi tumpuan dalam mengenal pasti faktor risiko bagi pencegahan utama sebelum penyakit berkembang.
Faktor risiko dibahagikan kepada kategori yang boleh diubah suai dan yang tidak boleh diubah suai.
Faktor risiko tidak boleh diubah suai termasuk genetik iaitu mereka yang mempunyai sejarah keluarga CAD lebih cenderung untuk mengalaminya; usia, iaitu apabila risiko meningkat seiring usia; dan jantina, dengan lelaki berisiko lebih tinggi pada peringkat awal dan wanita menyusul selepas putus haid.
Faktor risiko yang boleh diubah suai termasuk tekanan darah tinggi, paras kolesterol tinggi dan kencing manis.
Dalam sesetengah kes, kami turut menilai penanda risiko yang kurang dikenali, seperti protein C-reaktif sensitiviti tinggi (hs-CRP), paras homosistein, dan lipoprotein (a), yang boleh membimbing susulan dan pengurusan yang lebih intensif.
Bagi CAD akut, rawatan memberi tumpuan kepada menstabilkan pesakit dan menangani kejadian akut dengan campur tangan yang sesuai seperti PCI atau ubat-ubatan.
Bagi CAD kronik, rawatan bermula dengan pencegahan.
Dalam kedua-dua kes kronik dan akut, pencegahan kekal sebagai asas utama pengurusan jangka panjang.
Campur tangan dipertimbangkan untuk pesakit yang didiagnosis dengan penyakit tahap sederhana hingga teruk melalui imbasan CT koronari atau angiografi.
Keputusan itu berdasarkan kriteria khusus, termasuk kehadiran gekala dan iskemia – kekurangan aliran darah ke satu-satu bahagian tubuh disebabkan oleh penyekatan saluran darah pembekal yang boleh dibuktikan.
Dua jenis utama campur tangan adalah:
PCI selalunya menggunakan sten bersalut ubat untuk merawat kerosakan vaskular yang sukar dirawat dengan sten biasa atau yang melibatkan kawasan arteri yang meluas.
Selain itu, terapi hibrid yang menggabungkan belon bersalut ubat dan sten digunakan untuk kes tertentu. Teknologi sten juga telah berkembang, dengan pilihan terkini seperti teknologi bioadaptor kini tersedia.
Sering dirujuk sebagai ‘pembedahan pintasan jantung’. CABG ialah prosedur pembedahan apabila pakar bedah mengalihkan aliran darah di sekitar arteri koronari yang sempit atau tersumbat di dalam jantung dengan menggunakan salur darah yang sihat diambil dari bahagian lain badan.
CABG sering dipertimbangkan untuk penyakit yang lebih meluas.
Kriteria Penentuan Keperluan Sten
Sekiranya tahap penyumbatan pada injap tidak dapat dikenal pasti melalui imbasan, prosedur angiogram akan dilakukan.
Garis panduan klinikal menekankan keperluan untuk mengesahkan kewujudan iskemia sebelum sebarang bentuk campur tangan dilakukan.
Bagi stenosis sederhana antara 40 dengan 70 peratus, ujian tambahan seperti pengukuran tekanan melalui wayar atau pengimejan lanjutan digunakan untuk menilai keparahan iskemia.
Manakala bagi stenosis teruk melebihi 70 peratus yang disertai gejala seperti sakit dada atau perubahan pada ECG, pemasangan sten lazimnya dilakukan tanpa memerlukan ujian iskemia tambahan.
Ujian Tekanan Wayar: Mengukur penurunan tekanan merentasi penyumbatan. Jika tekanan menurun lebih 20 peratus, stenosis dianggap signifikan.
Analisis Angiografi Berasaskan AI (QFR): Kaedah berasaskan kecerdasan buatan (AI) itu digunakan untuk menganalisis imej angiogram koronari dan mengira Nisbah Aliran Kuantitatif (QFR), iaitu anggaran terhadap kepentingan fungsi stenosis arteri koronari tanpa memerlukan penggunaan wayar tekanan.
Kaedah tidak invasif itu membolehkan penilaian aliran darah ke jantung hanya melalui imej angiografi, dan digunakan bagi menilai kelajuan aliran darah serta kehadiran iskemia.
CT-FFR: Simpanan Aliran Pecahan berasaskan tomografi berkomputer (FFR-CT) ialah kaedah tidak invasif yang menggunakan imej angiografi tomografi berkomputer koronari (CTA) untuk menganalisis aliran darah dalam arteri koronari.
Kaedah itu membantu mengenal pasti kawasan yang berisiko mengalami iskemia dengan mengira nilai Simpanan Aliran Pecahan (FFR), sekali gus menilai tahap kepentingan fungsi stenosis arteri tanpa perlu prosedur invasif.
Pengimejan Intravaskular: Teknik seperti ultrabunyi intravaskular (IVUS) atau tomografi koherens optik (OCT) digunakan untuk mengukur keluasan penyempitan (stenosis) dalam salur darah.
Bagi arteri utama seperti arteri menurun anterior kiri (LAD), penyempitan yang berkeluasan kurang daripada 4 mm² lazimnya memerlukan pemasangan sten untuk memulihkan aliran darah yang mencukupi.
Faktor Pengaruh Pemilihan Campur Tangan dan Pertimbangan Mengenai Jumlah Sten
Beberapa faktor mempengaruhi pilihan campur tangan untuk keadaan seperti penyumbatan arteri, termasuk spesifikasi anatomi arteri, perincian lesi yang dirawat, pengalaman pengendali, dan penggunaan peranti perlindungan serebrum yang sesuai semasa prosedur stenting.
Sten adalah pilihan utama untuk kebanyakan penyumbatan tetapi dielakkan dalam lesi yang sangat menyeluruh bagi mengurangkan komplikasi, manakala belon bersalut ubat merupakan alternatif dalam kes restenosis atau apabila meminimumkan penggunaan sten menjadi keutamaan.
Pemasangan sten adalah amalan standard untuk kebanyakan kes, terutama apabila iskemia disahkan, manakala belon bersalut ubat digunakan untuk senario khusus seperti restenosis dalam sten atau lesi yang menyeluruh bagi mengelakkan pemasangan sten berganda.
Cabaran dengan sten berganda termasuk peningkatan risiko restenosis dan kejadian buruk, manakala penggunaan sten berlebihan dikenali sebagai ‘full metal jacket’ memberi kesan negatif terhadap fisiologi salur darah.
Tumpuan diberikan kepada jumlah panjang sten dan bukan bilangannya.
Sten yang panjang atau berganda dalam satu salur darah, terutama dalam arteri kritikal seperti arteri menurun anterior kiri (LAD), dielakkan disebabkan potensi komplikasi.
Komplikasi Pembedahan Pintasan: Jika seluruh arteri LAD dipasang sten, pakar bedah mungkin menghadapi kesukaran memasang cantuman semasa pembedahan pintasan.
Risiko Restenosis: Sten yang lebih panjang meningkatkan kemungkinan berlakunya restenosis.
Pembekuan Akut: Sten berlebihan boleh menyebabkan pembekuan darah, yang boleh mengancam nyawa.
Pengubahsuaian gaya hidup dan ubat-ubatan memainkan peranan penting dalam mencegah perkembangan penyakit, terutama dalam keadaan seperti penyakit arteri koronari.
Kegiatan fizikal secara tetap, tabiat pemakanan sihat dan berhenti merokok adalah perubahan gaya hidup yang terbukti mempengaruhi faktor risiko penyakit kardiovaskular, yang akhirnya membawa kepada kesihatan jantung yang lebih baik.
Perubahan itu membantu mengurus berat badan, mengurangkan tekanan darah, dan memperbaiki paras kolesterol, seterusnya mengurangkan risiko masalah jantung.
Ubat-ubatan seperti statin dan ubat bagi menangani darah tinggi boleh menyokong lagi pengubahsuaian gaya hidup itu dengan secara langsung menyasarkan faktor risiko seperti paras kolesterol tinggi dan hipertensi.
Gabungan kedua-dua pendekatan itu bertujuan menstabilkan pembentukan plak sedia ada dan mencegah kerumitannya.
Seterusnya, meningkatkan keseluruhan hasil pesakit dalam CAD.
Memberikan penekanan kepada pendidikan dan sokongan untuk pesakit mengamalkan perubahan itu adalah penting bagi pengurusan penyakit jangka panjang.
Pencegahan merupakan kunci untuk meningkatkan hasil pesakit bagi CAD.
Pencegahan primer menumpukan kepada faktor risiko sejak awal untuk mengelakkan permulaan penyakit, manakala pencegahan sekunder melibatkan pengurusan keadaan yang telah didiagnosis bagi mengelakkan komplikasi.
Kedua-dua strategi pencegahan itu sama pentingnya dengan penggunaan teknologi baru.
Penulis Pakar Perunding Campur Tangan Kardiologi, Pusat Perubatan Mount Elizabeth.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg