Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sakit kayap menyengat, terbakar, menikam seperti kejutan elektrik

Oct 20, 2025 | 5:30 AM
kayap
Penyakit kayap atau ‘shingles’ jika tidak diberikan rawatan yang betul, boleh membawa maut kepada penghidapnya. Ini kerana, penyakit itu boleh menyebabkan jangkitan bakteria dan jika gagal dirawat secepatnya, ia boleh mengalir sehingga ke darah dan menyebabkan penghidapnya perlu mendapatkan rawatan di hospital. - Foto ISTOCKPHOTO

Pada mulanya, ‘Encik Halim’ (bukan nama sebenar), 72 tahun, hanya terasa gatal halus di bahagian dada kanan dan menyangka ia sekadar ruam biasa akibat peluh.

Namun, dalam tempoh dua hari, lepuh-lepuh kecil berisi cecair mula timbul membentuk jalur di sepanjang rusuknya.

“Waktu itu saya tak tahu apa. Saya sapu minyak gamat dan bedak sejuk. Tapi bila rasa sakit makin kuat, saya terus ke klinik,” katanya.

Doktor memberitahunya bahawa beliau menghidap penyakit kayap, disebabkan oleh virus cacar air lama yang aktif semula dalam tubuhnya.

Encik Halim terkejut kerana beliau menyangka virus itu sudah lama lenyap daripada tubuhnya.

Selepas diberi ubat antivirus,  gelembung airnya mula kering.

Namun rasa sakit di bawah kulit tidak pernah berhenti.

“Setiap kali saya tarik nafas panjang, rasa mencucuk di dada. Saya dah makan ubat tahan sakit, tapi rasa itu tetap datang semula,” ujarnya.

Akibatnya, beliau jarang keluar rumah.

“Saya takut pada angin atau peluh terkena kulit. Bila rasa sakit datang, saya terpaksa berhenti buat apa saja seolah-olah ada arus elektrik mengalir di bawah kulit,” katanya.

Di Bedok pula, seorang lagi warga emas, ‘Encik Rashid’ (nama samaran), 77 tahun, masih belum dapat melupakan detik pertama kayap menyerangnya.

Dua hari sebelum ruam muncul, beliau mula rasa kebas dan panas di bahagian belakang.

“Mula-mula saya sangka hanya tersalah urut atau otot tegang.

“Tapi apabila lepuh mula timbul dan rasa pedih semakin kuat, saya tahu ini bukan perkara biasa,” katanya.

Beliau segera ke klinik kerana rasa sakitnya sukar dijelaskan – gabungan antara gatal, panas, dan pedih menyengat.

“Waktu ruam keluar, saya tak boleh tidur. Bila nak baring, kulit terasa seperti terbakar.

“Saya cuma duduk di kerusi, letak tuala sejuk atas dada,” katanya.

Selepas seminggu makan ubat antivirus, ruamnya mula surut.

Namun, seperti dialami Encik Halim, rasa sakit itu masih belum hilang, seolah-olah menjerat kehidupannya setiap hari.

“Kadang-kadang saya rasa macam ada semut menyusup dalam kulit.

“Saya tepuk-tepuk nak hilangkan, tapi tak jalan. Tak boleh mandi air panas, tak boleh pakai baju tebal, semua menyakitkan,” singkap Encik Halim.

Bagi warga emas seperti mereka, kesakitan selepas kayap bukan hanya fizikal, tapi turut menjejas seluruh kehidupan seharian.

Encik Halim tidak lagi memandu ke pasar, ke masjid atau minum kopi dengan rakan lama.

“Kalau duduk lama, rasa mencucuk datang. Saya cepat marah sekarang sebab tak cukup tidur,” katanya.

Encik Rashid pula mula hilang keyakinan diri.

“Saya malu bila orang nampak parut kayap di dada. Kulit saya jadi gelap, tebal dan sakit bila disentuh.

“Kadang saya rasa saya ini beban pada anak-anak,” katanya sambil menunduk.

Kedua-duanya mengakui bahawa kesakitan saraf akibat kayap membuat mereka murung dan cepat letih.

“Bila malam sunyi, sakit itu datang semula. Saya tak boleh lari daripadanya,” kata Encik Halim.

“Saya pernah menangis sebab rasa putus asa.”

Kini, kedua-dua mereka menjalani rawatan berterusan untuk mengawal rasa sakit.

Encik Rashid mengambil ubat saraf setiap malam bagi membantunya tidur.

“Kalau tak makan ubat, memang tak boleh lena. Tapi ubat ni pun buat kepala berat,” katanya.

Sementara Encik Halim pula menggunakan losen capsaicin dan pek ais sejuk setiap kali sakit menyerang.

“Kalau siang hari panas, saya tak boleh keluar. Saya duduk depan kipas dengan baju nipis. Sekurang-kurangnya itu boleh redakan sikit.”

Walaupun kesakitan masih ada, mereka berdua berpegang pada semangat yang sama bertahan dengan sabar dan berharap akan sembuh.

“Saya cuma harap satu hari nanti, bila bangun pagi, saya boleh bernafas tanpa rasa pedih,” ujar Encik Halim.

Selepas pengalaman itu, kedua-duanya sepakat tentang satu perkara, vaksin kayap sepatutnya diambil lebih awal.

“Saya baru tahu vaksin ini boleh elak kayap atau kurangkan tahap teruknya,” kata Encik Rashid.

“Kalau saya tahu dulu, saya dah ambil.”

Vaksin kayap disarankan untuk individu berusia 60 tahun ke atas dan boleh didapati di kebanyakan klinik di Singapura.

Ia mampu mengurangkan risiko jangkitan sehingga 70 peratus dan mencegah kesakitan berpanjangan seperti postherpetic neuralgia (PHN), iaitu bisa di sepanjang saraf yang berlanjutan.

“Bila umur makin tua, badan kita dah tak kuat lawan virus.

“Sekarang saya akan galakkan semua kawan saya ambil vaksin,” kata Encik Halim.

Beliau kini mengingatkan warga emas lain supaya tidak memandang ringan gejala awal seperti gatal, kebas, atau sakit di satu sisi badan.

“Kalau rasa pelik, terus jumpa doktor. Jangan tunggu sampai ruam keluar. Lagi cepat rawatan, lagi cepat pulih,” katanya.

Encik Rashid menambah, “Sakit ini tak nampak di luar, tapi dalam badan macam disiat setiap hari.

“Tapi saya tetap bersyukur, sekurang-kurangnya saya masih hidup untuk cerita pengalaman ini.”

“Kalau saya boleh berpatah balik, saya akan lindungi diri saya lebih awal. Sekarang, saya hanya mahu sembuh perlahan-lahan, satu hari pada satu masa,” ujar Encik Halim.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg