Topik diikuti
Pergi ke BHkuSakit mental: Bukan tanda lemah, pesakit boleh pulih seiring rawatan, sokongan
Kurang pemahaman masyarakat punca stigma kesihatan mental sukar dikikis
Tanggapan bahawa penyakit mental berpunca daripada kelemahan diri, pesakit cenderung bersikap ganas atau berbahaya dan tidak mampu pulih masih menjadi antara salah faham yang perlu diperbetulkan dalam masyarakat.
Penolong Pengarah Kejururawatan (Pendidikan dan Pembangunan), Institut Kesihatan Mental (IMH), Encik Wang Jia, berkata stigma terhadap masalah kesihatan mental sebahagiannya berpunca daripada kurangnya pemahaman masyarakat mengenai keadaan tersebut.
Menurut beliau, kekurangan pemahaman boleh menyebabkan masyarakat membuat andaian negatif terhadap individu yang mengalami masalah kesihatan mental.
Usaha pendidikan awam perlu diteruskan bagi meningkatkan kesedaran bahawa penyakit mental boleh menjejas sesiapa sahaja dan pesakit berpeluang untuk pulih dengan rawatan serta sokongan yang sesuai.
“Antara salah tanggapan umum mengenai penyakit mental ialah kepercayaan yang salah bahawa ia tanda kelemahan diri, individu yang mengalaminya bersikap agresif atau berbahaya dan mereka tidak boleh pulih,” katanya.
Sebaliknya, penyakit mental bukan berpunca daripada kelemahan seseorang kerana terdapat pelbagai faktor yang boleh menyumbang kepada keadaan tersebut.
Dalam keadaan tertentu, pesakit yang sedang mengalami gejala akut mungkin tidak menyedari sepenuhnya keadaan mereka dan tekanan yang dialami boleh bertukar dengan cepat kepada tingkah laku agresif.
Namun, Encik Wang menegaskan keadaan itu tidak bermakna semua pesakit mental berbahaya.
Dengan rawatan dan sokongan yang betul, keadaan pesakit boleh bertambah baik.
Keluarga dan penjaga pula mempunyai peranan penting dalam proses pemulihan, terutama dengan menerima bahawa apa yang dialami pesakit adalah sesuatu yang nyata meskipun gejalanya mungkin tidak dapat dilihat secara fizikal.
“Perkara paling penting yang boleh dilakukan anggota keluarga ialah mempercayai bahawa apa yang dilalui insan tersayang itu benar-benar berlaku, walaupun mereka tidak dapat melihatnya, dan memberi respons tanpa menghakimi,” katanya.
Bantuan praktikal seperti menemani pesakit ke janji temu perubatan dan membantu mereka mengekalkan rutin harian juga boleh membawa perubahan bermakna.
Masalah kesihatan mental boleh menjejas keyakinan dan pandangan seseorang terhadap dirinya sendiri dalam jangka panjang.
Justeru, galakan secara tekal dan pengiktirafan terhadap setiap kemajuan yang dicapai, walaupun kecil, boleh membantu dalam proses pemulihan.
Pada masa sama, keluarga perlu berhati-hati dengan ungkapan kata-kata yang digunakan ketika berkomunikasi dengan pesakit.
Menurut Encik Wang, ungkapan seperti “semuanya hanya dalam fikiran” atau “jangan terlalu lemah” boleh menyebabkan pesakit berasa pengalaman mereka tidak dipercayai atau dipandang ringan.
Kata-kata sedemikian juga boleh menyebabkan mereka menangguhkan usaha mendapatkan bantuan, menjejas kepercayaan terhadap anggota keluarga dan akhirnya memburukkan keadaan.
Keluarga juga tidak seharusnya menganggap penyakit mental sebagai masalah yang boleh diatasi seseorang dengan kekuatan diri semata-mata tanpa mendapatkan rawatan.
Seiring perubahan pendekatan terhadap kesihatan mental di Singapura, peranan jururawat psikiatri turut berkembang dengan ketara.
Pada masa lalu, penjagaan psikiatri lebih tertumpu kepada menempatkan pesakit di institusi sehingga mereka dianggap bersedia untuk dibenarkan pulang.
Tugas jururawat ketika itu pula lebih banyak tertumpu kepada memastikan keperluan asas pesakit dipenuhi, termasuk pemberian ubat, makanan dan persekitaran yang bersih.
Kini, IMH beralih kepada pendekatan yang meletakkan pesakit sebagai tumpuan dan memberi perhatian kepada proses pemulihan.
Tugas jururawat bukan sahaja menjaga pesakit di dalam wad.
Selain merawat pesakit di katil, mereka terlibat merangka pelan rawatan dan pemulihan; menjadi pendidik kesihatan bagi pesakit serta keluarga; di samping menjadi jambatan sokongan utama sebaik sahaja pesakit kembali ke pangkuan masyarakat.
Sebagai contoh, terapi psikologi lazimnya dikendalikan ahli psikologi, tetapi IMH kini mempunyai Jururawat Amalan Lanjutan (APN) yang dilatih menyediakan Terapi Tingkah Laku Kognitif (CBT) kepada pesakit yang mengalami psikosis.
Seramai 25 APN di IMH juga diberi latihan untuk menetapkan ubat kepada pesakit di bawah jagaan mereka menerusi Program Preskripsi Kolaboratif Nasional.
Di Unit Penginapan Singkat IMH yang menyediakan rawatan krisis dan membantu menstabilkan pesakit dengan gejala akut, jururawat turut memainkan peranan utama dalam merangka pelan penjagaan bersama pesakit dan pasukan rawatan pelbagai disiplin.
Encik Wang berkata selain kemahiran klinikal, sifat belas ihsan dan minat yang tulen untuk menjaga pesakit amat penting bagi seseorang jururawat psikiatri.
Keupayaan mendengar tanpa terburu-buru mahu menyelesaikan masalah atau menghakimi pesakit juga merupakan kemahiran penting.
Jururawat, katanya, perlu mempunyai keyakinan bahawa pesakit mempunyai kemampuan untuk pulih kerana sikap petugas kesihatan terhadap pemulihan boleh mempengaruhi hasil rawatan.
Dalam menyediakan generasi baharu jururawat psikiatri, Pengajar Klinikal (CI) pula menjadi penghubung penting antara teori yang dipelajari di bilik darjah dengan keadaan sebenar ketika merawat pesakit.
Menurut Encik Wang, pelajar kejururawatan yang pertama kali menjalani latihan klinikal di IMH mungkin membawa bersama mereka salah tanggapan dan kebimbangan mengenai penyakit mental yang turut terdapat dalam masyarakat.
Pengajar berpengalaman selama lebih 40 tahun seperti jururawat psikiatri, Encik Abu Shah, membantu mengubah persepsi itu sejak awal, sambil membina pemahaman dan keyakinan profesional dalam kalangan pelajar.
Mereka turut mengajar kemahiran seperti komunikasi terapeutik, teknik meredakan keadaan tegang, pengurusan ubat dan penilaian risiko.
“Setiap pelajar yang dididik dengan baik oleh seorang Pengajar Klinikal akan menyebarkan amalan baik itu apabila mereka bekerja di wad, dalam masyarakat dan akhirnya apabila mereka sendiri mengajar orang lain,” katanya.
Bagi mengurangkan stigma, Encik Wang berkata perbincangan mengenai kesihatan mental perlu diperluaskan ke sekolah, tempat kerja, pusat masyarakat dan tempat ibadah.
Pengalaman individu yang pernah menghadapi masalah kesihatan mental juga boleh dikongsi bagi membantu mengubah pandangan masyarakat, manakala gambaran mengenai penyakit mental dalam media dan hiburan perlu diberikan perhatian.
“Di IMH, kami melihat setiap hari bahawa individu yang menerima rawatan boleh bertambah baik dan ramai dapat kembali kepada keluarga, pekerjaan dan kehidupan mereka.
“Lebih awal seseorang mendapatkan rawatan, lebih baik peluang mereka untuk pulih,” katanya.
