JAKARTA: Umat Islam di Indonesia akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 6 Jun, menurut kenyataan rasmi Menteri Agama Encik Nasaruddin Umar pada 27 Mei.

Pengumuman itu dibuat selepas mempengerusikan mesyuarat ‘rukyatul hilal’ bagi menentukan 1 Zulhijah 1446 dan Hari Raya Aidiladha.

“Berdasarkan laporan yang diterima daripada pelaku rukyah di pelbagai lokasi seluruh Indonesia, kita telah memutuskan bahawa 1 Zulhijah jatuh pada Rabu, 28 Mei 2025. Ini bermakna 10 Zulhijah atau Hari Raya Aidiladha jatuh pada Jumaat, 6 Jun 2025,” kata Encik Nasaruddin dalam sidang media di Auditorium Kementerian Agama, Jakarta Pusat.

Dengan keputusan ini, Indonesia bakal menyambut Aidiladha sehari lebih awal berbanding negara jiran, Malaysia dan Singapura.

Di Malaysia, Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja Datuk Mohd Aseral Jusman mengumumkan bahawa 1 Zulhijah jatuh pada Khamis, 29 Mei.

Oleh itu, Hari Raya Aidiladha di Malaysia akan disambut pada 7 Jun.

Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir, turut mengesahkan awal bulan Zulhijah 1446 Hijriah bagi umat Islam Singapura jatuh pada 29 Mei juga.

Ini menjadikan Hari Raya Aidiladha di Singapura juga akan dirayakan pada 7 Jun.

Sementara itu, Arab Saudi mengumumkan tarikh sambutan Aidiladha yang sama dengan Indonesia, iaitu pada 6 Jun.

Ini bermakna, jemaah haji akan memulakan ibadah wuquf di Arafah pada 5 Jun (9 Zulhijah), bermula selepas gelincir matahari (zuhur) hingga subuh keesokan harinya (10 Zulhijah).

Kerajaan Arab Saudi memaklumkan negara itu sudah menerima lebih satu juta jemaah dari pelbagai negara di seluruh dunia bagi 2025.

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Al-Rabiah, berkata sebanyak 53 peratus daripada jumlah jemaah yang tiba ialah lelaki, manakala baki 47 peratus wanita, lapor portal berita Saudi Gazette.

Direktorat Jeneral Pasport turut mengumumkan bahawa sejumlah 1,003,447 anggota jemaah haji dari luar negara sudah tiba di Arab Saudi melalui pelbagai pintu masuk udara, darat dan laut setakat 25 Mei lalu. – Agensi berita.