Bagi sesetengah keluarga, masa makan adalah saat menggembirakan.
Namun, bagi ibu bapa yang menjaga anak-anak dengan alahan makanan, ia boleh menjadi masa yang penuh kegelisahan dan ketakutan.
Setiap bahan, setiap alat memasak, dan setiap gigitan makanan perlu diteliti kerana sedikit kecuaian boleh membawa padah.
Empat keluarga di Singapura berkongsi pengalaman mereka dalam menghadapi cabaran menjaga anak-anak dengan alahan serius, termasuk anafilaksis, rawatan imunoterapi, tekanan emosi dan perjuangan untuk mendapat sokongan dalam masyarakat.
Anafilaksis adalah kehiperpekaan terhadap bahan tertentu yang menyebabkan alahan teruk.
Pada 2012, ketika Hayden Anash berusia tiga bulan, Cik Izlin Ismail, mula memberikan anaknya susu tepung buat kali pertama.
Tidak lama selepas itu, wajah dan badan Hayden membengkak dan kulitnya menjadi merah.
Beliau segera membawa anaknya ke Jabatan Kecemasan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), dan di situlah Hayden disahkan mengalami alahan terhadap susu, telur dan kacang tanah.
“Tiada dalam keluarga kami yang ada alahan makanan. Kejutan itu sangat menakutkan,” akui Cik Izlin, 50 tahun.
Sejak itu, Hayden diberikan susu ibu secara khusus dan makanan disediakan sendiri di rumah untuk mengelakkan pencemaran silang.
Sepanjang tempoh tersebut, dia mengalami dua episod anafilaksis akibat pendedahan tidak disengajakan kepada pencetus alahan.
Kini, Hayden, 13 tahun, telah melepasi alahan terhadap kacang soya dan badam, dan sedang menjalani rawatan imunoterapi oral (OIT) untuk susu dan telur di NUH.
“Dia kini boleh makan dalam jumlah kecil, dan saya berharap dia akan sembuh sepenuhnya suatu hari nanti,” kata Cik Izlin.
Beliau meluahkan kekecewaan terhadap kurangnya kesedaran tentang alahan di tempat awam.
“Ramai yang tak faham bahawa bukan sekadar mengelak makanan, malah pencemaran silang juga boleh membahayakan. Di negara seperti Australia, kesedaran dan kemudahan lebih baik,” ujarnya.
Sebagai Pengarah dan Ketua Kreatif kumpulan sokongan SPEAK (Ibu Bapa Singapura bagi Anak-Anak yang Mengalami Ekzema dan Alahan), Cik Izlin berharap kajian seperti, Kisah Alahan Makanan Kanak-Kanak Singapura, dapat membantu mencari jawapan kepada peningkatan alahan makanan, khususnya dalam kalangan masyarakat Asia.
Sejak lahir, David mengalami ruam kulit di sekitar mulut dan siku setiap kali meminum susu dan memakan telur.
“Saya syak dia alah, tapi hanya selepas sertai kajian Kisah Alahan Makanan Kanak-Kanak Singapura Mac lalu, kami dapat pengesahan,” kata Cik Rachel.
Beliau ditemui oleh kakitangan kajian ketika membawa David ke janji temu imunisasi di Poliklinik Bukit Batok.
Ujian kulit di NUH kemudian mengesahkan alahannya. Walaupun berjaga-jaga, pendedahan tidak sengaja masih berlaku.
“Kadang-kadang dia garu selama 10 minit tanpa henti,” katanya.
David kini mengambil susu tepung hipoalergenik yang jauh lebih mahal.
Keluarga ini sedang mempertimbangkan rawatan imunoterapi dan berharap David dapat bebas daripada alahan satu hari nanti.
“Kami lebih teliti sekarang baca label makanan dengan berhati-hati dan elak semua makanan berisiko,” katanya.
Bagi Cik Amanda Chan, membesarkan dua anak termasuk seorang dengan alahan serius adalah ujian seharian.
Anak lelakinya, Corey, mengalami alahan terhadap hama habuk, susu, telur dan kacang tanah sejak bayi.
Walaupun telah mencuba imunoterapi oral dan sublingual atau pemberian dos kecil alergen dalam bentuk titisan atau tablet yang diletakkan di bawah lidah, Corey masih mengalami episod alahan yang kerap.
“Corey seorang anak yang tabah dan sentiasa ceria.
“Setiap hari, dia hadapi hidup dengan semangat dan keberanian yang luar biasa,” kata Cik Chan dengan nada bangga.
Harapan beliau ialah agar Corey tidak pernah berasa terpinggir akibat keadaannya, dan terus percaya bahawa dia mampu memburu minat dan impiannya seperti kanak-kanak lain.
“Alahan bukan sesuatu yang mudah difahami. Ia bukan penyakit yang boleh dilihat dengan mata kasar, tetapi kesannya boleh jadi amat serius.
“Malangnya, ramai hanya menyedari tahap bahaya alahan apabila sesuatu yang buruk sudah pun berlaku,” jelas beliau.
Sebagai Pengasas SPEAK, beliau memperjuangkan keperluan data kebangsaan yang lebih terkini mengenai alahan makanan untuk mempertingkat kesedaran dan membentuk dasar sokongan yang lebih baik.
Bagi Cik Wing Yin, kehidupan sehari-hari adalah ibarat berjalan di atas tali – mengimbangi keperluan dua anak yang masing-masing mempunyai alahan makanan berbeza tetapi serius.
Vinn disahkan alah kepada gandum, makanan laut dan pelbagai jenis kekacang, manakala Vera mengalami anafilaksis akibat susu lembu sejak kecil.
“Setiap perjalanan keluarga kami dirancang dengan teliti dari membawa peralatan memasak sendiri, menyewa penginapan dekat pasar raya dan hospital, hinggalah berbincang dengan staf restoran dan guru sekolah,” jelasnya.
Namun, anak-anaknya masih berdepan insiden seperti bengkak wajah, sesak nafas, batuk dan keletihan akibat pencemaran silang yang tidak disengajakan.
“Alahan boleh mengancam nyawa. Kami hanya mahu keselamatan anak-anak terjamin,” katanya sambil merayu supaya lebih ramai pekerja sektor makanan dan pendidikan diberi latihan tentang alahan makanan.
“
“Tiada dalam keluarga kami yang ada alahan makanan. Kejutan (berita anak alah susu tepung pada usia tiga bulan) itu sangat menakutkan... Ramai yang tak faham bahawa bukan sekadar mengelak makanan, malah pencemaran silang juga boleh membahayakan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg