Topik diikuti
Pergi ke BHkuSingHealth akan sokong agensi atom PBB dalam perkukuh upaya serantau
SingHealth akan sokong agensi atom PBB dalam perkukuh upaya serantau
SingHealth akan ditetapkan sebagai pusat tumpuan bagi agensi atom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), di bawah satu inisiatif yang bertujuan membantu negara anggota menubuhkan atau memperluas keupayaan dalam bidang seperti perubatan nuklear.
Sebagai pusat tumpuan di bawah inisiatif ‘Rays of Hope’ (Sinar Harapan) IAEA, SingHealth akan menyokong usaha agensi tersebut untuk memperkukuh keupayaan serantau dalam onkologi (bidang perubatan berkaitan penyakit ketumbuhan dan barah) radiasi, radiologi, perubatan nuklear, dan fizik perubatan, kata Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) dalam satu kenyataan pada 11 September.
Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, akan menyaksikan penetapan tersebut di luar Persidangan Agung IAEA di Vienna, Austria.
Beliau berada di sana dari 13 hingga 15 September.
Teknologi nuklear boleh diaplikasikan untuk mencegah, mendiagnosis dan merawat penyakit.
Sebagai contoh, perubatan nuklear menggunakan radiasi untuk memberikan maklumat diagnostik tentang fungsi organ-organ tertentu seseorang, atau untuk merawatnya.
Menurut laman web IAEA, pusat-pusat tumpuan adalah institusi yang terlibat dalam penjagaan dan penyelidikan barah.
Pusat itu dipilih berdasarkan kecemerlangan klinikal, program pendidikan dan keupayaan penyelidikan mereka, serta berfungsi sebagai hab serantau untuk latihan, penyelidikan, dan pertukaran kepakaran, kata MSE.
Setakat Disember 2025, terdapat 18 pusat sedemikian di seluruh dunia.
Semasa lawatan tersebut, Cik Fu, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan Singapura, menyampaikan kenyataan Singapura.
Beliau akan menegaskan sokongan dan kerjasama berterusan Singapura dengan IAEA mengenai penggunaan sains dan teknologi nuklear secara aman.
Ini di samping mengetengahkan usaha berterusan Singapura untuk memperkukuhkan keupayaan domestik dalam menilai keselamatan nuklear.
Ini termasuk persiapan Singapura untuk melaksanakan fasa pertama Semakan Prasarana Nuklear Bersepadu (INIR) pada 2027, yang merupakan sebahagian daripada proses berstruktur IAEA bagi negara yang mempertimbangkan program tenaga nuklear awam.
Dalam fasa ini, IAEA akan menghimpunkan satu pasukan pakar antarabangsa untuk melawat Singapura dan membuat penilaian bebas mengenai keupayaan negara ini merentasi 19 bidang utama.
Ini termasuk keselamatan nuklear, pengurusan sisa radioaktif dan perancangan kecemasan.
Singapura belum membuat keputusan sama ada tenaga nuklear boleh menjadi sebahagian daripada campuran tenaganya pada masa hadapan, tetapi sedang mengambil langkah untuk mengkaji kebolehlaksanaan penggunaannya.
Cik Fu juga akan bertemu Ketua Pengarah IAEA, Encik Rafael Grossi, dan pihak berkepentingan kanan di seluruh sektor nuklear awam, untuk membincangkan perkembangan terkini dalam teknologi reaktor termaju, keselamatan serta peraturan nuklear.