Topik diikuti
Pergi ke BHkuKerjasama S’pura-UK perkukuh keupayaan keselamatan nuklear
Kerjasama S’pura-UK perkukuh keupayaan keselamatan nuklear
Langkah berterusan S’pura kaji kebolehlaksanaan penggunaan tenaga nuklear secara selamat
Kerjasama S’pura-UK perkukuh keupayaan keselamatan nuklear
Perjanjian untuk bertukar maklumat dan kepakaran dalam pengawalseliaan keselamatan nuklear, termasuk bagi reaktor modular kecil (SMR), telah ditandatangani antara Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dengan sebuah pejabat pengawalseliaan nuklear United Kingdom (UK).
Perjanjian yang ditandatangani pada 1 Jun itu turut meliputi latihan bagi kakitangan saintifik dan teknikal.
Pejabat Pengawalseliaan Nuklear (ONR) bertanggungjawab terhadap lebih 30 tapak nuklear di UK, dan merupakan antara pengawal selia antarabangsa terawal yang menilai aspek keselamatan SMR.
SMR dianggap lebih sesuai untuk kawasan berpenduduk padat seperti Singapura kerana mempunyai keupayaan kuasa yang lebih rendah, mempunyai piawaian keselamatan yang dipertingkatkan, serta memerlukan kawasan keselamatan yang jauh lebih kecil berbanding reaktor lazim yang besar.
Menurut kenyataan NEA pada 2 Jun, kerjasama itu menyokong usaha berterusan Singapura membina keupayaan keselamatan nuklear serta mengkaji kebolehlaksanaan penggunaan tenaga nuklear secara selamat.
Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, pada hari pertama lawatan lima harinya ke London dan Paris, untuk bertemu pengawal selia nuklear, pakar serta penyedia teknologi nuklear.
Walaupun Singapura belum memutuskan sama ada untuk melaksanakan tenaga nuklear, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan pada Mei, ia akan menjalani penilaian oleh badan pemantau atom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2027, bagi menentukan sama ada ia bersedia membuat keputusan berasaskan maklumat mengenai penggunaan tenaga nuklear.
Beliau berkata penilaian Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) akan membantu menentukan sama ada Singapura mempunyai kepakaran, institusi dan rangka kerja yang diperlukan untuk membuat keputusan termaklum mengenai kemungkinan pelaksanaan teknologi tenaga nuklear maju, termasuk SMR pada masa hadapan.
Sebagai sebahagian penilaian itu, IAEA akan menghimpunkan pasukan pakar antarabangsa untuk melawat Singapura dan menilai keupayaannya dalam 19 bidang utama, termasuk keselamatan nuklear, pengurusan sisa radioaktif dan perancangan kecemasan.
Menurut IAEA, unit SMR boleh dihasilkan terlebih dahulu sebelum dihantar dan dipasang di tapak penggunaan, menjadikannya lebih murah dibina berbanding reaktor besar yang lazimnya direka khas untuk tapak tertentu, kadangkala menyebabkan kelewatan pembinaan.
“Perjanjian ini akan memperkukuh keupayaan Singapura dalam perlindungan radiasi, keselamatan nuklear dan penilaian,” kata Timbalan Ketua Eksekutif, Perkhidmatan Meteorologi dan Perlindungan Radiasi di NEA, Cik Koh Li-Na.
Beliau menandatangani perjanjian itu bersama Pengarah Pengawalseliaan Reaktor Baru di pejabat UK, Encik Paul Dicks.
“Melalui kerjasama dengan pengawal selia berpengalaman seperti ONR, NEA akan memperdalam kepakaran teknikalnya dalam memahami teknologi reaktor baru dan membina keupayaan institusi yang diperlukan untuk menilai keselamatan nuklear secara menyeluruh dan ketat,” tambah Cik Koh.
NEA juga telah membangunkan keupayaan keselamatan nuklear dan pengawalseliaan Singapura melalui kerjasama rapat dengan badan pengawal selia berpengalaman di Finland, Perancis dan Amerika Syarikat, serta rakan Asean dalam kerjasama dan perbincangan berkaitan keselamatan nuklear.
