Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura ikrar sumbang $1.3j kepada kumpulan vaksin global Gavi

Langkah cermin sokongan negara terhadap usaha sediakan vaksin kepada masyarakat memerlukan
Jun 26, 2025 | 4:24 PM
Singapura, Gavi, suntikan, vaksin, kesihatan global
Gavi menyasarkan untuk mengumpul AS$9 bilion untuk kerja-kerjanya dari 2026 hingga 2030. - Foto AFP

Singapura telah menjanjikan AS$1 juta ($1.3 juta) kepada kumpulan vaksin sejagat, Gavi sebagai sebahagian daripada komitmen berterusannya terhadap kesihatan global dan ekuiti vaksin.

Kementerian Kesihatan (MOH) berkata pada 26 Jun langkah itu mencerminkan sokongan Singapura terhadap usaha menyediakan vaksin penyelamat nyawa kepada masyarakat yang memerlukan, terutama di negara berpendapatan rendah.

“Vaksin adalah salah satu alat paling berkesan dalam mencegah penyakit dan menyelamatkan nyawa. Namun, berjuta-juta orang di seluruh dunia masih kekurangan akses kepada vaksin penting,” kata MOH.

“Gavi merapatkan jurang ini menerusi kerjasama dengan pemerintah, pertubuhan antarabangsa dan rakan kongsi sektor swasta untuk mengedarkan vaksin kepada penduduk yang kurang mendapat perkhidmatan.

“Ia juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesiapsiagaan wabak dan sistem imunisasi serta memastikan akses saksama kepada vaksin semasa kecemasan kesihatan global.”

Pada Jun, Gavi berkata ia sedang mencari penderma baru untuk membiayai imunisasi kanak-kanak di negara termiskin di dunia.

Ia menyasarkan mengumpul AS$9 bilion daripada keperluannya sebanyak AS$11.9 bilion pada sidang puncak di Brussels pada 26 Jun.

Jumlah tersebut adalah untuk kerja-kerjanya dari 2026 hingga 2030.

Dalam hantaran di Facebook pada 26 Jun, Ketua Eksekutif Gavi, Cik Sania Nishtar, berkata Gavi telah menerima ikrar lebih AS$9 juta daripada penderma, yang katanya akan melindungi 500 juta kanak-kanak yang disasarkan kumpulan itu untuk diberi suntikan vaksin dalam tempoh lima tahun akan datang.

Gavi memberi tumpuan kepada usaha memerangi wabak campak sejagat dan bertindak balas terhadap wabak taun di Sudan, Sudan Selatan dan Angola.

Ia telah membuat pengaturan khas untuk membekalkan vaksin daripada stok simpanannya, dan juga menyokong Sierra Leone dalam mengekang penyebaran mpox.

Dalam mesej video kepada Sidang Puncak Global Gavi pada 26 Jun, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, memuji peranan “penting” Gavi dalam tindak balas sejagat terhadap pandemik Covid-19.

Beliau menyifatkannya sebagai “pencapaian bersejarah, menunjukkan kuasa perpaduan dan kepentingan kritikal untuk melabur dalam prasarana kesihatan sejagat”.

Bagaimanapun, beliau berkata Gavi berdepan dengan kritikan – ia boleh melakukan lebih banyak lagi dan ia tidak dapat menghapuskan ketidaksamaan vaksin secara total antara ekonomi.

“Kadang-kadang bukan mudah untuk berada di pihak yang baik. Ia memerlukan keberanian, semangat mencapai tujuan yang kuat. Gavi telah melakukan ini, dan ia patut mendapat sokongan padu kami,” kata Encik Ong.

Singapura pertama kali menjadi penderma Gavi pada 2020 semasa pandemik Covid-19, menyumbang AS$5 juta kepada Komitmen Pasaran Terdahulu Gavi, yang merupakan mekanisme di bawah Kemudahan Akses Global Vaksin Covid-19 yang memastikan akses kepada vaksin Covid-19 dan sokongan untuk negara berpendapatan rendah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg