Dua dakwaan palsu mengenai Covid-19 di Singapura telah disangkal oleh Kementerian Kesihatan (MOH), yang turut menggesa orang ramai untuk tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menyebabkan kegelisahan awam.
Pada 3 Jun, MOH berkata ia sedar tentang “dua maklumat palsu” yang kini tersebar di media sosial.
Dakwaan pertama melibatkan mesej yang mendakwa Singapura merupakan negara pertama yang menjalankan bedah siasat ke atas individu yang positif Covid-19.
Mesej itu turut mendakwa hasil bedah siasat mendapati virus tersebut sebenarnya adalah bakteria dan bukan virus, lapor The Straits Times (ST).
Dakwaan itu mula tersebar pada 2021 dan kembali tular baru-baru ini.
“Ini tidak benar. Seperti yang telah dijelaskan oleh kementerian pada waktu itu, Singapura tidak pernah melakukan bedah siasat tersebut dan ia juga tidak benar bahawa Covid-19 berpunca daripada bakteria,” kata MOH.
MOH turut menafikan dakwaan di media sosial yang menyatakan Singapura telah menggubal undang-undang untuk mewajibkan vaksinasi dan memenjarakan individu yang tidak divaksin selepas pengasas Microsoft, Encik Bill Gates, melawat Singapura pada awal Mei.
ST mendapati dakwaan tersebut diterbitkan dalam artikel di dua laman web – Slay News dan The People’s Voice – yang menggelar diri mereka sebagai laman berita.
Slay News menggambarkan diri mereka sebagai laman “pro-Amerika dan menyokong kebebasan bersuara”, manakala The People’s Voice mendakwa menerbitkan “topik yang tidak dilaporkan media arus perdana”.
Satu carian dalam talian menunjukkan bahawa laman web Slay News didaftarkan di North Carolina, Amerika Syarikat, dan alamatnya di Google Maps menghala ke sebuah rumah ladang kecil di tepi lebuh raya.
Sementara itu, The People’s Voice pula berdaftar di Arizona, Amerika, namun tidak mempunyai alamat syarikat yang dinyatakan.
Kebanyakan artikel di kededua laman web ini memberi fokus kepada ideologi kanan, teori konspirasi dan retorik antivaksin.
Laman semakan fakta, Snopes, turut mengenal pasti The People’s Voice sebagai jenama semula laman penyebar maklumat palsu, NewsPunch.
Untuk maklumat yang tepat dan terkini, orang ramai digalakkan merujuk laman rasmi MOH di www.moh.gov.sg.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg