Senaman berintensiti rendah seperti qigong menjadi rutin penting dalam kehidupan harian Cik Aisah Abdul Wahid, yang terus memilih untuk kekal aktif dan bertenaga walaupun ramai wanita seusianya sudah memperlahankan rentak kehidupan.
Sebagai wanita Melayu yang mengetuai kumpulan qigong di bawah Jawatankuasa Penduduk (RC) Zhenghua Greenridge, Cik Aisah, 73 tahun, penglibatannya dalam kegiatan yang lebih sinonim dengan masyarakat Cina ini, amat menggalakkan.
Sebabnya, beliau bukan sahaja mengamalkan senaman ini, bahkan mula memperkenalkannya kepada jiran tetangga melalui sesi mingguan setiap hujung minggu sejak 2005.
“Pergerakan qigong memang lembut dan perlahan, tetapi memberi kesan mendalam kepada kesihatan tubuh dan ketenangan fikiran,” katanya, yang masih bertugas sebagai atendan bas sambilan di sebuah sekolah antarabangsa.
Minat beliau terhadap qigong mula tercetus selepas melihat arwah bapanya mengalami masalah jantung pada masa itu. Lantas, beliau mengamalkannya secara konsisten ketika mereka menetap di kejiranan Tanglin pada 1975.
“Saya sering ikuti beliau ke taman dan lihat bagaimana kegiatan qigong membantu pernafasannya. Dari situ, saya mula rasa tertarik,” kata Cik Aisah.
Beliau berkata gaya hidup aktif bukan sahaja menyumbang kepada kesihatan dan keceriaan, tetapi juga membantu membina ketahanan diri dalam menghadapi cabaran harian.
“Kita tidak boleh biarkan badan dan minda menjadi lesu.
“Gaya hidup aktif buat kita rasa lebih cergas, ceria dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan atau kesibukan seharian,” tambahnya, semasa ditemui selepas acara Festival Gaya Hidup Sihat @ North West, anjuran CDC North West, di Turf Club pada 1 Jun.
Cik Aisah memulakan rutin hariannya seawal 4 pagi dan berjalan ulang alik sepanjang hari dalam tugasannya.
Beliau menyifatkan pekerjaan atendan bas ini sebagai sesuatu yang memberi fleksibiliti dan sesuai untuk warga emas sepertinya yang ingin kekal cergas.
Tambahan juga, dengan kedua-dua anaknya yang kini bekerja sepenuh masa — seorang dalam bidang kejuruteraan dan seorang lagi dalam bidang pengurusan — beliau lebih banyak mengatur masa sendiri dan memilih untuk terus mengisi harinya dengan perkara bermanfaat.
“Saya tak mahu hanya menunggu masa. Selagi ada tenaga, saya akan terus bergerak demi kesihatan dan semangat ingin berdikari,” ujar beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg