Pelbagai inisiatif nasional Kementerian Kesihatan (MOH) seperti SG Lebih Sihat dan Sihat Menua SG akan lebih diselaraskan, dengan Encik Ong Ye Kung kekal sebagai Menteri Kesihatan dalam penggal kedua perkhidmatannya.
Bercakap kepada pihak media semasa acara masyarakat, Festival Gaya Hidup Sihat @ North West, anjuran CDC North West di Turf Club pada 1 Jun, Encik Ong berkata program seperti Sihat Menua SG, kendalian MOH, yang membantu warga emas menua dengan baik, melengkapi program pencegahan, SG Lebih Sihat, yang diusahakan MOH bersama Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pembangunan Negara.
“Sesiapa yang menghidap penyakit kronik atau tidak pasti tentang status kesihatan mereka boleh mendapatkan bantuan di pusat kesihatan masyarakat.
“Pusat-pusat ini berperanan sebagai titik sentuhan yang membantu penduduk kekal dengan pelan kesihatan peribadi mereka di bawah inisiatif SG Lebih Sihat,” katanya.
Encik Ong turut berkata bahawa kerjasama antara agensi akan berlaku secara semula jadi, tetapi sebagai Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, beliau akan memberi tumpuan kepada isu penuaan terlebih dahulu.
Isu-isu lain yang juga memerlukan perhatian akan muncul dari semasa ke semasa, namun isu penuaan merupakan cabaran sosial terbesar yang memerlukan kerjasama pelbagai agensi untuk menanganinya.
Sesi berjalan pantas sempena Festival Gaya Hidup Sihat @ North West itu diadakan sebagai sebahagian usaha bagi penduduk mencapai jarak sejauh 60,000 kilometer melalui aktiviti seperti berjalan kaki, berlari, berenang dan berbasikal.
Sehingga 1 Jun, lebih 18,000 penduduk daerah North West, yang meliputi SMC Bukit Panjang dan empat GRC, iaitu Holland-Bukit Timah, Marsiling-Yew Tee, Nee Soon dan Sembawang, telah mencatat jarak terkumpul sebanyak 88,502 kilometer, melebihi sasaran yang ditetapkan.
Syarikat binaan setempat, Lih Ming Construction, telah mengikrar sumbangan $60,000 bagi membantu penduduk kurang berkemampuan, dengan pencapaian penduduk menerusi kegiatan gaya hidup sihat itu.
Acara ini juga sempena cabaran Kempen SG60 Lebih Sihat Bersama.
Mayor CDC North West, Encik Alex Yam, berkata: “Festival Gaya Hidup Sihat @ North West kini menjadi antara acara utama kami dalam memupuk gaya hidup sihat dan semangat kekitaan dalam kalangan penduduk.
“Sempena sambutan SG60, festival ini telah diperluaskan dengan pelbagai aktiviti yang terangkum untuk semua lapisan masyarakat.
“Saya berharap penduduk akan terus melibatkan diri bukan sahaja dalam festival ini, tetapi juga dalam program kesihatan yang ditawarkan, demi mengamalkan gaya hidup lebih aktif dan bermakna.”
Beliau turut diiringi Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial merangkap Menteri Kesihatan dan Penasihat Pertubuhan Akar Umbi Sembawang, Encik Ong Ye Kung, dan Encik Ng Shi Xuan.
Menurut Encik Yam, inisiatif seperti ini mencerminkan semangat gotong-royong apabila seluruh masyarakat bergerak bersama untuk menjaga kesihatan dan membantu mereka yang memerlukan.
Beliau ulangi komitmen CDC North West untuk terus menawarkan lebih banyak program buat generasi muda seperti Zumba, HIIT dan yoga, yang setakat ini menerima sambutan menggalakkan.
Anggota Parlimen baru di GRC Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi, yang bakal dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara) mulai 1 Oktober 2025, menekankan bahawa kelestarian gaya hidup sihat hanya dapat dicapai apabila ia lahir daripada minat dan semangat penduduk sendiri.
“Sesetengah kumpulan penduduk telah mula merancang aktiviti mereka sendiri, daripada aktiviti berjalan pantas secara berkumpulan, kepada program sukan untuk kanak-kanak, dan juga projek kebun masyarakat,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Beliau memuji usaha penduduk Nee Soon yang kian berkembang dalam menganjurkan pelbagai inisiatif gaya hidup sihat secara sukarela, sekali gus menyemarakkan semangat kekitaan dan kesejahteraan masyarakat.
“Saya berharap gaya hidup sihat yang dipupuk menerusi acara ini dapat diteruskan dalam kehidupan seharian, dan tidak hanya terbatas dalam tempoh festival ini sahaja,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg