Topik diikuti
Pergi ke BHkuKesilapan sistem Mindef jejas 15,000 penerima pelepasan cukai NSmen
Satu kesilapan dalam sistem Kementerian Pertahanan (Mindef) menyebabkan kira-kira 15,000 pembayar cukai – yang merangkumi Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara (NSmen), serta ibu bapa dan pasangan yang layak – terjejas dengan jumlah pelepasan cukai NSmen yang tidak tepat.
Daripada 15,000 pembayar cukai yang terjejas, sekitar 7,000 daripada mereka akan mendapati peningkatan dalam bil cukai masing-masing, manakala kira-kira 8,000 lagi akan mendapati pengurangan.
Demikian menurut Mindef dan Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras) dalam satu kenyataan bersama pada 3 September.
Sebilangan besar pembayar cukai yang terjejas akan melihat pelarasan tambahan atau pengurangan kurang daripada $200 dalam bil cukai masing-masing, jelas kedua-dua pihak berkuasa tersebut.
Pelarasan itu boleh merangkumi julat daripada bawah $10 hingga kira-kira $900, bergantung pada kelayakan pelepasan dan lingkungan cukai pendapatan individu berkenaan.
Secara keseluruhan, sekitar $930,000 akan dituntut semula dan kira-kira $995,000 akan dibayar balik, kata Mindef dan Iras.
Jumlah pelepasan cukai yang tidak tepat itu melibatkan Tahun Taksiran 2025 dan 2026, dan tidak menjejas anggota NS Sepenuh Masa (NSF).
Ketidaktepatan itu berlaku apabila ralat dalam sistem Mindef mengeluarkan rekod kegiatan NS yang salah, dan kemudian digunakan untuk mengira pelepasan cukai bagi NSmen terjejas, ujar kenyataan tersebut.
Berdasarkan laman web Iras, Pelepasan NSman atau NSman Relief – yang layak diterima oleh semua NSmen jika mereka dapat memenuhi syarat – bertujuan mengiktiraf sumbangan mereka kepada perkhidmatan negara.
Pelepasan cukai turut diberikan kepada isteri dan ibu bapa NSmen bagi mengiktiraf sokongan yang dihulurkan kepada suami dan anak lelaki mereka, tambah laman web berkenaan.
Pelepasan ini diberikan berdasarkan perkhidmatan negara yang dijalankan pada tahun kerja sebelumnya, iaitu dari tempoh 1 April hingga 31 Mac.
Kesilapan itu dikesan pada Mei semasa semakan dilakukan berikutan pertanyaan daripada NSmen serta pemeriksaan ketepatan rekod mereka, tambah kenyataan itu.
“Sebagai tindakan susulan, Mindef menjalankan semakan menyeluruh ke atas semua rekod pelepasan cukai NS bagi Tahun Taksiran 2025 dan 2026, serta telah bekerjasama dengan Iras bagi memastikan jumlah pelepasan yang betul tertera dalam penaksiran pembayar cukai terjejas,” jelas kenyataan tersebut.
Menurut Mindef, pihaknya telah membetulkan kesilapan tersebut dan kesemua NSmen yang terjejas telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut.
Dalam satu surat daripada Mindef kepada individu yang terjejas – yang dimuat naik ke wadah media sosial Reddit – kementerian itu menyatakan ia telah melaksanakan langkah tambahan bagi mencegah pengulangan isu yang menyebabkan ralat tersebut.
Iras sedang menyemak semula Notis Taksiran (NOA) terjejas, yang bakal dikeluarkan menjelang September dan akan memaparkan sebarang cukai tambahan yang perlu dibayar atau dipulangkan, tambah kenyataan bersama itu.
Pembayar cukai terjejas tidak perlu mengambil sebarang tindakan sebelum menerima NOA yang telah disemak.
Bagi pembayar cukai yang menggunakan pelan ansuran Giro, sebarang bayaran cukai tambahan akan diselaraskan secara automatik.
Bagi sebilangan kecil pembayar cukai yang tidak menggunakan pelan ansuran Giro, mereka perlu membuat pembayaran sebelum tarikh akhir yang dinyatakan dalam NOA yang disemak semula, kata kenyataan itu.
Pembayaran balik wang, jika ada, akan dibuat secara automatik.
Kenyataan itu menambah: “Mindef dan Iras akan terus bekerjasama rapat bagi memastikan semua NSmen menerima pelepasan cukai yang betul sebagai mengiktiraf sumbangan mereka kepada perkhidmatan negara.”
