Topik diikuti
Pergi ke BHkuKetabahan keluarga bekas pesalah dadah diabadi dalam buku baharu HGEF
Dana Pendidikan Harun Ghani lalui dua dekad perkasa keluarga banduan, bekas pesalah dadah
Ketabahan keluarga bekas pesalah dadah diabadi dalam buku baharu HGEF
Daripada kegigihan kanak-kanak yang membesar tanpa kehadiran ibu bapa, isteri yang terpaksa membesarkan anak-anak bersendirian hinggalah keluarga yang berusaha meneruskan kehidupan meskipun berdepan pelbagai cabaran.
Itulah antara kisah sebenar kehidupan keluarga yang terjejas akibat dadah yang diketengahkan dalam penerbitan terbaharu Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF) sempena ulang tahun ke-20 badan amal itu.
Penerbitan bertajuk, Of Heroes and Heroin 2: Addicted to Good juga memberi penghormatan kepada para penderma, relawan, rakan kerjasama dan semua pihak yang telah membantu HGEF menjalankan amanahnya selama dua dekad.
Buku setebal lebih 90 muka surat itu merakamkan dedikasi, jasa bakti, ihsan serta sokongan masyarakat dalam memperkasa kanak-kanak serta ahli keluarga banduan dan bekas pesalah dadah untuk membina semula kehidupan mereka melalui pendidikan, meskipun dibelenggu masalah kewangan.
Pelancaran buku meja kopi itu akan dirasmikan menerusi satu acara khas pada 14 November di Senior Police Officers’ Mess di Mount Pleasant Road.
Majlis pelancaran tersebut akan turut diserikan dengan sesi bacaan secara langsung oleh individu yang kisah hidupnya terpapar dalam buku itu, di samping persembahan serta perkongsian daripada anggota HGEF.
HGEF dibentuk pada 2005 sebagai memperingati jasa Allahyarham Harun Ghani, mantan Setiausaha Politik (Ehwal Dalam Negeri) dalam menangani isu penyalahgunaan dadah.
Kini, ia turut digerakkan oleh Setiausaha Kehormat HGEF, Cik Haslinda Putri Harun, anak Allahyarham, khusus untuk membantu kanak-kanak daripada keluarga yang terkesan akibat penyalahgunaan dadah dan jenayah.
Antara usaha utama pertubuhan itu adalah memberi bantuan kewangan untuk meringankan beban perbelanjaan sekolah, seperti menerusi pengagihan dermasiswa.
Selain itu, pertubuhan itu juga menyediakan sokongan holistik, seperti bantuan dari segi emosi dan bimbingan mentor kepada ahli keluarga banduan menerusi inisiatif seperti Projek Pelita Hati.
Menurut Cik Haslinda, penerbitan terkini itu bukan sekadar meraikan kesungguhan semua pihak yang telah menyumbang kepada misi HGEF selama dua dekad, sama ada dengan mencurahkan masa, tenaga dan kepakaran.
Malah, beliau berharap buku itu dapat menyedarkan generasi muda masalah dadah bukan sahaja melibatkan penagih, malah, turut memberi kesan kepada seluruh keluarga, terutama anak-anak yang tidak bersalah.
“Untuk membantu orang lain, kita tidak perlu melakukan sesuatu yang besar. Kadangkala, perkara kecil yang dilakukan dengan ikhlas boleh membawa makna yang cukup besar kepada seseorang.
“Harapan saya, apabila tiba masanya generasi kami berundur, akan ada generasi baharu yang sudi menyambung usaha ini,” kata Cik Haslinda.
Mengulas, Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Ulang Tahun ke-20 HGEF, Profesor Madya Dr Rashid Tahir, berkata buku tersebut juga memberi peringatan bahawa tugas menyokong penerima bantuan mereka merupakan satu komitmen yang berterusan.
“Setiap generasi mempunyai cabaran yang baharu dan sifat belas kasihan serta tanggungjawab akan kekal penting,” katanya dalam satu kenyataan HGEF.
Sementara itu, buku tersebut turut merupakan sumber rujukan bagi mereka yang memerlukan pertolongan.
Misalnya, ia dilengkapi dengan nombor telefon agensi relevan yang boleh dihubungi untuk mendapatkan bantuan, jelas Cik Haslinda.
Cik Haslinda berharap buku itu juga dapat memberitahu keluarga yang menjadi mangsa kancah dadah bahawa mereka sentiasa diingati dan bantuan sentiasa ada jika mereka memerlukannya.
“Sepanjang 20 tahun ini, kami telah mengenali banyak keluarga yang terjejas akibat masalah dadah.
“Kami mendengar kisah kesusahan mereka, melihat ketabahan mereka dan mengikuti perjalanan kanak-kanak yang berusaha meneruskan pendidikan walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.
“Bagi kanak-kanak dan keluarga yang pernah menerima bantuan, saya berharap buku ini menjadi peringatan bahawa kisah mereka penting, suara mereka didengari dan perjuangan mereka tidak dilupakan,” kongsi Cik Haslinda.
Dermasiswa HGEF
Jendela permohonan bagi Dermasiswa HGEF akan dibuka daripada 16 November hingga 4 Disember.
– Pelajar sekolah rendah – $200
– Pelajar sekolah menengah, maktab rendah dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) – $300
– Pelajar politeknik – $1,800
– Mahasiswa universiti – $2,500