Pelantikan Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, sebagai Perdana Menteri Singapura yang keempat adalah cerminan langkah ‘negara yang semakin matang’, kata Naib Dekan (Hal Ehwal Akademik), Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, Profesor Madya Dr Suzaina Kadir.
Bercakap kepada Berita Harian (BH) menjelang pelantikan Encik Wong sebagai Perdana Menteri pada 15 Mei, Dr Suzaina berkata, cabaran terbesar bagi pemerintah yang baru adalah dalam meneruskan kemajuan ekonomi dan mengukuh perpaduan sebagai sebuah negara maju.
Cabaran ini, katanya, sangat berbeza jika dibandingkan dengan barisan Perdana Menteri sebelumnya yang lebih fokus untuk mengembangkan sebuah negara yang sedang membangun semasa zaman mereka.
“Kita kini sebuah ekonomi maju, dengan penduduk yang berpendidikan tinggi dan pemikiran global.
“Encik Wong memegang jawatan kepimpinan ini setelah mendapat manfaat daripada dasar-dasar pemerintah sebelum ini, dan beliau pun telah menjadi sebahagian daripada proses negara yang semakin matang ini.
“Beliau amat memahami dasar-dasar negara, dasar yang telah berjaya membawa Singapura ke tahap ini, tetapi juga di mana terdapat cabaran, dan di mana kita mesti menyesuaikan diri untuk terus berkembang sebagai sebuah negara,” kata Dr Suzaina.
Beliau menambah aspirasi penduduk yang berpendidikan tinggi kini sangat berbeza berbanding keperluan generasi terdahulu, yang terpaksa bergelut untuk terus hidup dan memperkukuh institusi Singapura.
Setelah mempunyai kerjaya yang cemerlang dan memperoleh pengalaman luar biasa memegang portfolio di beberapa kementerian, Dr Suzaina berkata, Encik Wong kini berada dalam kedudukan yang baik untuk memahami keutamaan teras Singapura.
“Cabaran untuk ekonomi maju adalah jauh berbeza berbanding negara yang berada di peringkat pertengahan atau sedang membangun. Persaingan, di peringkat global dan di rantau ini, adalah nyata, ditambah lagi dengan landskap geopolitik yang sangat tidak menentu.
“Encik Wong perlu mengimbanginya dengan aspirasi tinggi masyarakat yang matang dan semakin menua. Beliau sudah bersedia untuk mengharungi landskap politik dan sosio-budaya yang berubah,” kata Dr Suzaina.
Encik Wong, 52 tahun, akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Singapura yang keempat pada 15 Mei, sekaligus menerajui sebuah pemerintah yang baru untuk memimpin Singapura ke hadapan.
Dr Suzaina berkata, tugas-tugas yang dipikul kepimpinan 4G akan menjadi sangat mencabar, dan mengekalkan kekuatan ekonomi Singapura menjadi cabaran dan keutamaan teras – disebabkan persaingan global dan serantau serta landskap geopolitik yang tidak menentu.
Mantan Menteri, Dr Yaacob Ibrahim, berkata Encik Wong mewarisi sebuah negara yang berfungsi tinggi berlatarbelakangkan dunia yang semakin kompleks dan mencabar.
Walaupun menghadapi cabaran, Encik Wong katanya, berada dalam kedudukan permulaan yang baik untuk membawa Singapura ke hadapan berkat kemantapan politik dan sistem yang dibina selama bertahun-tahun oleh para pemimpin sebelumnya.
“Saya rasa Encik Wong mempunyai titik permulaan yang sangat baik. Tetapi bagaimana beliau maju ke hadapan, saya fikir ia akan menjadi cabaran terbesar untuk mengemudi dunia dari sini. Banyak perkara yang harus beliau tangani.
“Isu seperti kos sara hidup akan kekal sebagai cabaran bagi kita semua kerana tekanan kos bukan datang dari dalaman, malah dari luar negara. Cabaran bagi Encik Wong ialah bagaimana beliau akan menjelaskan cabaran itu kepada rakyat.
“Kita mahu mengekalkan kedudukan antarabangsa kita. Sesuatu yang telah dicapai oleh Perdana Menteri terdahulu. Kami perlu mengekalkannya kerana itu sangat penting bagi kita sebagai sebuah negara kecil,” kata Dr Yaacob.
Dr Yaacob berkata, beliau yakin Encik Wong dan kepimpinan 4G akan dapat membawa Singapura ke hadapan dengan kukuh.
Beliau menambah pasukan 4G perlu mencipta dan meninggalkan impak mereka sendiri sebagai sebuah pasukan yang padu, kuat, namun mampu memujuk rakyat Singapura untuk mengikuti visi mereka.
“Encik Wong mempunyai pasukan yang sebenarnya mampu membawa Singapura ke peringkat seterusnya. Saya mahu beliau berjaya dan saya mahu pasukannya berjaya.
“Saya yakin mereka akan tahu apa yang perlu dilakukan untuk Singapura, tetapi mereka perlu melakukannya dengan cara mereka sendiri,” kata Dr Yaacob.
“
“Cabaran untuk ekonomi maju adalah jauh berbeza berbanding negara yang berada di peringkat pertengahan atau sedang membangun. Persaingan, di peringkat global dan di rantau ini, adalah nyata, ditambah lagi dengan landskap geopolitik yang sangat tidak menentu. Encik Wong perlu mengimbanginya dengan aspirasi tinggi masyarakat yang matang dan semakin menua. Beliau sudah bersedia untuk mengharungi landskap politik dan sosio-budaya yang berubah.”“
“Saya rasa Encik Wong mempunyai titik permulaan yang sangat baik. Tetapi bagaimana beliau maju ke hadapan, saya fikir ia akan menjadi cabaran terbesar untuk mengemudi dunia dari sini. Banyak perkara yang harus beliau tangani. Isu seperti kos sara hidup akan kekal sebagai cabaran bagi kita semua kerana tekanan kos bukan datang dari dalaman, malah dari luar negara. Cabaran bagi Encik Wong ialah bagaimana beliau akan menjelaskan cabaran itu kepada rakyat.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg