Pope (Paus) Francis, ketua Gereja Roman Katolik sedunia, tiba di Singapura pada 11 September, persinggahan terakhir lawatannya ke Asia.
Pesawat yang membawa ketua berusia 87 tahun itu meninggalkan lapangan terbang Dili di Timor-Leste pada sekitar 11.20 pagi waktu Singapura, dan mendarat di sini pada 2.50 petang.
Ketibaannya di Singapura merupakan lawatan pertama oleh seorang paus ke negara ini sejak 1986, apabila mendiang Paus John Paul II singgah di sini selama lima jam.
Pada 2.30 petang, sekitar 1,000 penganut Roman Katolik menanti sepanjang Jurassic Mile di Lapangan Terbang Changi untuk menyambut kedatangan beliau.
Ramai mengenakan pakaian kuning dan putih, iaitu warna bendera Vatican, dan membawa bendera mini Singapura.
Lebih 30 sepanduk alu-aluan tersusun di Penghubung Lapangan Terbang Changi dari kompleks VIP lapangan terbang ke Jurassic Mile.
Perarakan itu, yang bermula sekitar 3.25 petang, menyaksikan orang ramai melambai dan mendekati Paus Francis ketika kereta bugi yang dinaikinya menyusuri laluan sepanjang 1 kilometer itu.
Ramai melaungkan “Viva, viva, Papa Francesco”, yang mengucapkan selamat sejahtera kepada Paus dari Argentina itu.
Selepas perarakan di sepanjang Jurassic Mile, Paus Francis akan bertemu dengan ahli Persatuan Jesus, atau Jesuit – sebuah perintah Roman Katolik – di St Francis Xavier Retreat Centre di Punggol.
Paus Francis disambut di lapangan terbang oleh Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, dan isteri; serta duta bukan pemastautin Singapura ke Vatican, Cik Janet Ang, dan suami.
Wakil dari Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan Kawasan Kekuasaan Ketua Biskop Roman Katolik Singapura, yang diketuai Ketua Biskop William Goh, turut hadir untuk menerima kedatangan Paus Francis, dengan mereka menyaksikan tarian dipersembahkan oleh kanak-kanak yang berpakaian tradisional etnik Singapura.
Lawatan Paus Francis ke Asia, yang bermula pada 2 September, juga membawanya ke Papua New Guinea dan Indonesia dan merupakan perjalanan terpanjangnya.
Pada 12 September, beliau akan bertemu dengan Presiden Tharman Shanmugaratnam di Bangunan Parlimen, dan bertemu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.
Paus Francis kemudian akan memberikan ucapan di Pusat Kebudayaan Universiti, Universiti Nasional Singapura (NUS).
Pada hari yang sama, Paus Francis dijadual mengadakan satu perhimpunan bagi sekitar 50,000 penganut Roman Katolik di Stadium Negara.
Jadual perjalanannya pada 13 September termasuk dialog antara agama dengan golongan belia, sebelum melakukan perjalanan pulang ke Rome.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg