Setiap anggota isi rumah Singapura menerima bantuan kewangan berjumlah purata $7,825 pada 2024, bertambah daripada $6,418 pada 2023.
Jumlah itu mengambil kira anggota isi rumah yang tidak bekerja.
Demikian menurut laporan Trend Pendapatan Isi Rumah Utama 2024 (KHIT) oleh Jabatan Perangkaan (DOS) pada 13 Februari.
Demi membantu isi rumah menampung kos sara hidup, persaraan dan keperluan penjagaan kesihatan, pelbagai langkah telah dikenalkan oleh pemerintah pada 2024.
Bantuan kewangan yang disampaikan termasuk Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS), baucar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), rebat utiliti dan Skim Ihsan Senja (Silver Support).
Menurut laporan KHIT, bantuan kewangan dan skim pemerintah menyumbang kepada peningkatan pendapatan isi rumah median dan kemerosotan pekali Gini.
Pekali Gini mengukur ketidaksaksamaan pendapatan mengikuti pendapatan daripada pekerjaan setiap anggota isi rumah.
Angka itu meningkat dengan sederhana daripada 0.433 pada 2023 kepada 0.435 pada 2024, sebelum mengambil kira bantuan kewangan pemerintah dan cukai.
Setelah mengambil kira bantuan kewangan, pekali Gini pada 2024 adalah 0.354, lebih rendah daripada 0.371 pada 2023.
Nombor itu merupakan pekali Gini terendah sejak rekod dimulakan pada 2000.
Ini memaparkan tambahan bantuan pemerintah buat isi rumah berpendapatan rendah dan pertengahan, dan kesan besar bantuan kewangan pemerintah terhadap pendapatan isi rumah pada 2024.
Melihat keperluan setiap isi rumah, mereka yang menginap di flat HDB satu bilik dan dua bilik telah menerima jumlah bantuan kewangan tertinggi.
Isi rumah tersebut telah menerima purata $16,805 jumlah nilai bantuan kewangan yang diberikan kepada setiap anggota isi rumah pada 2024.
Nilai bantuan kewangan yang boleh dimanfaatkan bergantung kepada komposisi isi rumah, seperti jenis isi rumah dan jumlah anggota isi rumah yang menganggur ataupun masih sekolah.
Contohnya, kebanyakan keluarga isi rumah flat HDB lima bilik mempunyai lebih ramai kanak-kanak bersekolah, dibandingkan isi rumah HDB empat bilik, dan diberikan lebih banyak subsidi pelajaran.
Oleh itu, bantuan kewangan isi rumah flat HDB empat bilik dan HDB lima bilik adalah hampir sama.
Jumlah nilai bantuan kewangan terbesar telah dihulurkan kepada isi rumah flat HDB satu bilik dan flat HDB dua bilik, iaitu $16,805.
Yang paling rendah adalah isi rumah rumah berhalaman, yang telah menerima bantuan kewangan sebanyak $4,852.
Namun demikian, setiap saiz isi rumah telah menikmati peningkatan jumlah bantuan kewangan daripada 2023 hingga 2024.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg