Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pendapatan isi rumah naik, terima lebih banyak bantuan kewangan pada 2024

Feb 13, 2025 | 4:18 PM
Perangkaan yang dikeluarkan Jabatan Statistik Singapura (SingStat) pada 13 Februari menunjukkan pendapatan isi rumah median daripada pekerjaan meningkat kepada $11,297 pada 2024 daripada $10,869 pada 2023.
Perangkaan yang dikeluarkan Jabatan Statistik Singapura (SingStat) pada 13 Februari menunjukkan pendapatan isi rumah median daripada pekerjaan meningkat kepada $11,297 pada 2024 daripada $10,869 pada 2023. - Foto fail

Pendapatan isi rumah median daripada pekerjaan telah meningkat kepada $11,297 pada 2024 berbanding $10,869 pada 2023, manakala ketidaksamaan pendapatan jatuh ke paras terendah dalam 25 tahun selepas mengambil kira bantuan dan cukai pemerintah.

Perangkaan yang dikeluarkan Jabatan Statistik Singapura (SingStat) juga menunjukkan bahawa isi rumah penduduk menerima lebih banyak bantuan kewangan daripada skim pemerintah, berikutan langkah sokongan yang dilaksanakan pada 2024.

Menurut laporan SingStat pada 13 Februari, dalam kalangan isi rumah dengan pekerja, pendapatan isi rumah median bulanan daripada pekerjaan meningkat sebanyak 3.9 peratus dalam kadar nominal, sebelum disesuaikan untuk mengambil kira inflasi.

Pendapatan isi rumah median bulanan daripada pekerjaan meningkat 1.4 peratus dalam kadar sebenar, atau selepas disesuaikan untuk mengambil kira inflasi pada 2024.

Pendapatan isi rumah daripada pekerjaan termasuk sumbangan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) majikan.

Dari 2019 hingga 2024, pendapatan isi rumah median bulanan daripada pekerjaan dalam isi rumah dengan pekerja meningkat sebanyak 3.6 peratus, atau 0.7 peratus setahun dalam kadar sebenar.

Isi rumah tersebut mempunyai sekurang-kurangnya seorang pekerja, dan individu rujukan isi rumah – sebelum ini dirujuk sebagai ketua isi rumah – yang merupakan warganegara Singapura atau penduduk tetap.

Dengan mengambil kira saiz isi rumah, median pendapatan isi rumah bulanan daripada pekerjaan setiap anggota isi rumah meningkat daripada $3,500 pada 2023, kepada $3,615 pada 2024.

Ia adalah peningkatan sebanyak 3.3 peratus daripada kadar nominal, atau 0.8 peratus selepas disesuaikan untuk mengambil kira inflasi.

Dari 2019 hingga 2024, pendapatan isi rumah median bulanan bagi setiap ahli isi rumah meningkat sebanyak 6.8 peratus secara kumulatif, atau 1.3 peratus setahun dalam kadar sebenar.

Isi rumah di kebanyakan lapisan pendapatan menyaksikan peningkatan dalam purata pendapatan isi rumah daripada pekerjaan bagi setiap anggota isi rumah selepas disesuaikan untuk mengambil kira inflasi.

Pada 2024, purata pendapatan isi rumah daripada pekerjaan bagi setiap anggota isi rumah dalam isi rumah dengan pekerja, di semua kumpulan pendapatan meningkat dalamkadar nominal, dengan peningkatan antara 3.0 peratus hingga 5.9 peratus.

Selepas disesuaikan untuk mengambil kira inflasi, peningkatannya adalah antara 0.6 peratus hingga 3.2 peratus.

Antara 2019 hingga 2024, purata pendapatan isi rumah daripada kerja bagi setiap anggota isi rumah dalam isi rumah dengan pekerja, di sembilan lapisan pendapatan pertama meningkat sebanyak 0.3 peratus hingga 1.9 peratus setahun dalam kadar sebenar.

Isi rumah di desil teratas pula turun sebanyak 0.7 peratus setahun.

Desil ialah satu per sepuluh daripada semua isi rumah yang diatur mengikut pendapatan mereka daripada jumlah terendah kepada jumlah tertinggi.

Desil terakhir, atau ke-10, ialah satu per sepuluh daripada isi rumah dengan pendapatan tertinggi.

Tidak semua isi rumah berada di kumpulan desil yang sama dari tahun ke tahun secara konsisten.

Sebagai contoh, isi rumah mungkin bertukar daripada desil yang lebih tinggi kepada desil yang lebih rendah pada tahun tertentu kerana pengangguran sementara anggota isi rumah, sebelum ia naik semula apabila ahli tersebut mendapat pekerjaan pada tahun berikutnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg